67 views

MINGGU KATEKETIKAL: IMAN KEPADA KRISTUS ADALAH MENGENAL DIA, MENGASIHI DIA DAN BERSAKSI BAGI DIA

FacebookTwitterWhatsApp

IMAN KEPADA KRISTUS ADALAH

MENGENAL DIA,MENGASIHI DIA DAN BERSAKSI BAGI DIA

Kasih karunia dan damai Tuhan Yesus kepada semua.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua suka makanan. Kita mempunyai gerai kegemaran laksa atau koay teow goreng di mana tempat kita akan membawa keluarga, rakan-rakan dan pengunjung kita. Iman dalam Kristus ibarat seperti “gerai laksa” atau “gerai koay teow goreng” – kita ingin mengunjung semula gerai tersebut berulang kali dan ingin berkongsinya dengan orang lain. Iman adalah untuk disayangi dan dikongsikan. Itulah tema minggu kateketikal tahun ini: “Iman dalam Kristus – untuk mengenali Dia, mengasihi Dia, untuk berkongsi-Nya”

Apakah itu iman dalam Kristus? Iman adalah respons peribadi yang bebas kita akan kepercayaan terhadap Tuhan. Iman dalam Yesus Kristus adalah mempercayai bahawa Ia adalah anak Tuhan, wahyu penuh Allah Bapa. Iman dalam Tuhan dinyatakan melalui ibadah kita, doa-doa dan sakramen-sakramen serta kesaksian hidup. Ini adalah respons kita kepada anugerah iman Allah.

Cabaran besar yang dihadapi oleh pengetahuan kita mengenai Kristus hari ini adalah apabila berhadapan dengan persoalan tentang agama, pelampau agama, polarisasi kaum, pertukaran agama yang tidak beretika, Islamisasi, isu mengenai perkataan “Allah”, pelbagai bentuk ketidakadilan serta isu-isu sosial dan ekonomi yang lain yang kita hadapi hari ini sebagai rakyat Malaysia. Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, saya perlu bertanya pada diri sendiri jika saya mempunyai jawapan-jawapan yang diperlukan.

Tindakan kita sebagai umat Katolik bukanlah suatu respons yang bersifat pencerobohan atau berputus-asa tetapi seperti kata St. Paul iaitu untuk “berdiri teguh dan berpegang sekuat-kuatnya kepada tradisi yang telah diajarkan oleh kami, sama ada secara lisan atau dengan surat kami” (2 Thes 2: 15). Sama seperti kita yang membincangkan tentang gerai laksa mana yang terbaik, kita dijemput untuk berbincang dan memahami iman melalui Firman Allah – Alkitab – dan Tradisi Gereja kita dalam komuniti paroki kita. Kita berharap bahawa dengan “niat mencari kefahaman” (St. Anselm) kita melalui pembacaan, penyelidikan dan doa, kita akan mengenali Yesus dan mengasihi-Nya.

Dalam menikmati makanan laksa atau kaoy teow goreng bersama dengan keluarga dan rakan-taulan, kita mengingati bahawa kebanyakan ajaran penting Yesus telah dikongsikan sewaktu jamuan makan bersama dengan kawan-kawan-Nya. Bagaikan semangkuk laksa atau kaoy teow goreng yang enak untuk dinikmati dan dikongsi, dalam kita mengenali dan mengasihi Yesus, begitu juga kita boleh berkongsi pengalaman kita tentang Yesus bersama orang lain. Kita boleh berkongsi bagaimana Kristus telah memakbulkan doa-doa kita, pengalaman rohani kita, hubungan kita yang mengembirakan dengan Yesus, suatu yang kita belajar tentang iman atau pemahaman kita tentang siapa itu Allah. Adalah diharapkan dengan berkongsi iman kita tentang Yesus, orang lain turut digalakkan dan diperkukuhkan dalam perjalanan iman mereka sendiri atau berubah untuk percaya kepada Yesus. Iman yang dikongsi akan menjadi lebih indah, agama menjadi suatu kegembiraan dan Yesus menjadi nyata.

Semoga Maria, Ibu Tuhan, yang pertama mengenali, mencintai dan berkongsi tentang Yesus, memberi syafaat untuk kita.

Komisi Kateketikal Malaysia