110 views

PERKONGSIAN PARA KATEKUMEN – IKOT KSFX

FacebookTwitterWhatsApp

IKOT - Yurus InggamPuji dan syukur kerana kasih Tuhan mengizinkan saya untuk mengongsikan sedikit pengalaman mengapa saya mahu dibaptis dan tergabung di dalam Gereja Katolik. Pada mulanya, saya mengikuti kelas bimbingan IKOT hanya kerana kemahuan dan dorangan dari isteri dan anak-anak. Boleh dikatakan 90% datangnya dari anggota keluarga dan hanya 10% keluar dari hati saya sendiri. Kerana permintaan anggota keluarga yang begitu kuat, akhirnya saya bersetuju untuk mendaftarkan diri menjadi seorang simpatisan. Dari simpatisan akhirnya saya melangkah untuk menjadi seorang katekumen.

Melalui proses demi proses, pembelajaran demi pembelajaran, akhirnya hati dan fikiran saya mulai terbuka. Di dalam sesi pembelajaran, guru-guru pembimbing memperkenalkan kepada saya, peribadi Yesus dan apa yang telah dan sudah dikerjakan-Nya. Perkenalan dengan Firman Tuhan, membuat hati saya semakin rindu untuk mengenal dan mengalami peribadi Yesus. Saya jatuh cinta dengan keperibadian Yesus, tanggungjawab dan kesetiaan-Nya melakukan kehendak Bapa. Jawapan untuk menderita, mati dan bangkit, adalah bukti konkrit, begitu besar kasih Tuhan bagi dunia dan bagi saya.

Firman Tuhan yang berbunyi “Akulah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan” adalah tanda bahawa hanya melalui Dia sahajalah, saya akan sampai kepada kehidupan kekal. Banyak tawaran dari dunia mahupun kepercayaan lainnya, tapi Firman Tuhan ini, adalah janji nyata dan hanya melalui Dia sahajalah, saya akan memperoleh keabadian.

Kini, saya dapat katakan bahawa keinginan untuk dibaptis dan tergabung dalam Gereja Katolik, datangnya dari diri saya dan ianya 100% tanpa paksaan dari pihak mana pun. Sesudah dibaptis pada malam Paskah nanti, saya berharap dapat membimbing anggota keluarga saya, dan menjadikan Keluarga Kudus di Nazaret sebagai model dan teladan di dalam membentuk iman keluarga saya sendiri.

Saya sedar bahawa semuanya ini hanya permulaan. Masih banyak yang perlu saya pelajari dan fahami. Untuk itu, saya berharap dengan bantuan Roh Kudus dan dengan doa-doa saudara-saudari seiman, saya semakin bertumbuh di dalam iman, harapan dan kasih.

(oleh: Yurus Inggam – IKOT KSFX)

IKOT - JusipinPada mulanya, keinginan untuk dibaptis dan diterima menjadi anggota Gereja Katolik hanya kerana keluarga besar saya semuanya sudah dibaptis dan memiliki pegangan soal keagamaan. Boleh dikatakan 70% atas dorongan anggota keluarga dan hanya 30% datangnya dari diri saya secara peribadi. Disebabkan dorongan dari anggota keluarga, akhirnya saya memberanikan diri untuk melangkah dan mendaftarkan diri mengikuti kelas bimbingan IKOT.

Sebagai simpatisan hinggalah diterima menjadi katekumen, semua pelajaran dan bimbingan yang diberikan oleh guru-guru pembimbing, telah membuka hati dan mata saya, dan akhirnya saya katakan bahawa keinginan untuk menjadi pengikut Yesus dan dibaptis dalam Gereja Katolik, semuanya atas dorangan dan kerinduan saya sendiri. Bukan lagi kerana dorangan orang lain, melainkan atas kerinduan dan kehendak sendiri.

Dalam sesi pembelajaran, saya sedikit demi sedikit, mengenal dan mengalami peribadi Yesus. Firman Tuhan banyak membantu saya untuk mendekatkan diri lagi kepada Tuhan dan Gereja-Nya. Firman-Nya bagaikan pedang bermata dua yang tajam, yang selalu mengajarkan dan menegur sekaligus mengajar jalan kebenaran dan kehidupan. Kesengsaraan, kematian dan kebangkitan Tuhan Yesus, bukanlah suatu cerita dongeng belaka, melainkan kejadian yang nyata. Yesus rela menderita dan mati demi saya. Memakukan dosa-dosa saya dikayu salib. Tidak ada yang dapat kubalas, melainkan memberikan seluruh hidup ini hanya bagi-Nya. Saya berharap Roh Kudus akan mengajarkan, membimbing dan memperkuatkan iman saya untuk dibaptis pada malam Paskah nanti. Semoga rencana dan rancangan Tuhan di dalam hidup saya, akan tergenapi.

(oleh: Jusipin – IKOT KSFX)