GEREJA ST. BLASIUS MAGATANG RAIH JUBLI EMAS

KENINGAU : “Kita bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan, kerana Dialah yang telah melindungi dan menyertai perjalanan iman KUK Magatang sehingga 50 tahun” Uskup dalam pembukaan Misa.

Pada 12 Mei lalu, Komiti Umat Katolik (KUK) Magatang telah berkumpul bersama meraihkan Jubli Emas terbentuknya KUK Magatang. Perayaan Misa yang disempurnakan oleh YM Uskup Cornelius Piong bertempat di Gereja St. Blasius Magatang.

Uskup memalu gong merasmikan sambutan Jubli Emas KUK Magatang

Sedikit sejarah mengenai perkembangan umat di KUK Magatang. Sekitar tahun 1965, En. Paulus Gampaul Bin Balantas, katekis dari Kg. Marapok telah menginjil di Kg. Magatang dan berjaya membawa 9 orang untuk dibaptis dan memasuki Katolik salah satunya adalah En. Melibin bin Kiamas. Mereka sering menghadiri Misa di Katedral St. Francis Xavier (KSFX).

Pada awal tahun 1967, En. Blasius Gahim, seorang lagi Katekis berasal dari Kg. Toboh Laut datang ke Kg. Magatang untuk menginjil. Pada waktu itu semakin ramai umat yang telah dibaptis menjadi Katolik. Oleh itu, En. Justin Melibin berjumpa dengan Rev. Fr. Bertus Visschedijk, paderi paroki menyatakan hasrat untuk membina sebuah chapel di Kg. Magatang.

Antara umat yang terawal merayakan Misa bersama Rev. Fr Bertus Visschedyk

Fr. Visschedijk mencadangkan agar mereka mencari tapak untuk mendirikan chapel dan mengajar En Justin untuk mengetuai Doa Rosari. Setelah bangunan chapel siap, umat di KUK Magatang beribadat dengan berdoa rosari sahaja.

Pada tahun 1969, bangunan chapel telah diberkati oleh Fr. Lampe dari Keuskupan Kota Kinabalu. Umat pada waktu itu dapat merayakan Misa Kudus bersama. Dengan kata sepakat, umat KUK Magatang memberi nama Chapel St. Blasius Magatang sempena dengan nama Kat. Blasius Gahim.

Bangunan Gereja St. Blasius pada hari ini telah melalui tiga peringkat pembangunan untuk menampung umat Katolik yang semakin bertambah. Bangunan Gereja St. Blasius kini boleh menampung lebih 300 orang umat.

Bangunan Chapel yang pertama pada tahun 1968
Gereja St. Blasius Magatang pada Tahun 1973 (Bangunan Ke 2)
Bangunan gereja yang ke tiga dibina pada tahun 1991
Gereja St. Blasius Magatang pada Tahun 2019 (Bangunan sekarang) yang memuatkan lebih kurang 300 orang umat

Uskup dalam homilinya, berpesan kepada umat agar mensyukuri dan tidak melupakan umat yang membantu dalam pembentukan dan perjalanan iman di KUK Magatang, khususnya mereka yang sudah dipanggil Tuhan.

Uskup memercik air berkat pada kawasan bangunan dewan yang baru

Pemberkatan bangunan dewan yang diberi nama Dewan Bonda Maria dari Lourdes disempurnakan oleh Uskup seusai Misa. Majlis diteruskan dengan acara menandatangani plak perasmian dewan oleh Uskup dan Datuk Ellron Alfred Angin. Prelatus itu berkata, dewan terbuka tersebut perlu dalam aktiviti sosial yang membawa kepada pembangunan dan perkembangan iman umat khususnya di KUK Magatang.

Lawatan Uskup menjamu makanan tradisi sempena dengan Pesta Kaamatan yang disediakan oleh KKD sekitar KUK Magatang

Majlis kesyukuran yang juga merayakan Pesta Kaamatan turut diadakan di dewan tebuka. KOMSOS K’GAU

Sharing is caring!

Leave a Reply