GINAWARI SOLIDARITI PAROKI HOLY CROSS TOBOH TAMBUNAN

Ginawari Solidariti atau Tamu Solidariti buat julung kalinya telah diadakan di Paroki Holy Cross Toboh Tambunan pada 26 Ogos 2018. Ginawari Solidariti ini telah dimulakan selepas sahaja selesai Misa Kudus, iaitu dilangsungkan dari Jam 9.30 pagi sehingga jam 6.00 p.m bertemakan  “Umat Allah Berjalan Bersama Dalam KESATUAN, KESETIAAN dan KEKUDUSAN Yesus Kristus.”

Menurut pengerusi penganjur, En. Fredoline Umis, Ginawari Solidariti Holy Cross Toboh ini diadakan berdasarkan kepada empat tujuan utama iaitu memupuk dan memantapkan sikap solidariti di kalangan umat Katolik sekitar Paroki Holy Cross Toboh melalui Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus,  pengumpulan dana bagi pembinaan bangunan katekatikal di Holy Cross Toboh, penaiktarafan sanctuary gereja serta dana pembangunan gereja-gereja di outstation Paroki Holy Cross Toboh.

Beliau merasa begitu bersyukur kerana umat di Paroki Holy Cross Toboh mempunyai semangat solidariti yang padu dalam apa-apa program yang disusun oleh pihak gereja. Beliau juga berterima kasih atas sumbangan yang diberikan oleh mana-mana pihak dari segi sokongan doa mahupun material yang diperlukan sepanjang program ini berjalan.

Sementara itu, paderi paroki Rev. Fr. Bede Anthonius pula mengucapkan rasa syukur kerana akhirnya Ginawari Solidariti ini dapat dilaksanakan. Beliau menegaskan bahawa program ini dapat dijalankan dengan adanya sokongan padu daripada umat. Beliau menambah bahawa kekuatan sebenar umat adalah dalam melakukan apa-apa sahaja program adalah melalui sikap berjalan bersama dalam Kesatuan, kesetiaan dan Kukudusan Yesus Kristus.

Aktiviti berjual beli yang merupakan aktiviti utama Ginawari Solidariti ini, berjalan dengan begitu lancar dan telah dihadiri oleh ribuan umat. Aktiviti berjual beli ini diadakan di perkarangan dewan Holy Cross Toboh. Bahan-bahan jualan seperti makanan dan minuman, pakaian terpakai, peralatan sekolah, alat-alat tradisional, dan banyak lagi mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.  Sementara itu, perasmian Ginawari Solidariti ini telah disempurnakan oleh Rev. Fr. Bede Anthonius.

Selain daripada aktiviti berjual beli, beberapa aktiviti lain sebagai pengisian untuk Ginawari Solidariti ini seperti mini fun fair, cabutan tiket bertuah juga mendapat sambutan yang sangat baik. Persembahan-persembahan beberapa artis tempatan juga turut memeriahkan suasana Ginawari Solidariti ini. Pihak Hospital Daerah Tambunan juga telah membuka premis bagi orang ramai menderma darah dan telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada umat yang berkunjung ke Ginawari Solidariti ini. GILBERT