HIDUP DALAM TERANG KRISTUS

HARI MINGGU KE 4 MUSIM PUASA (B)

Bc.1. 2Taw 36:14-16,19-23                Bc.2. Ef 2:4-10                                    Bc.3 Yoh 3:14-21

Biasanya orang suka pada terang. Tetapi Yohanes berkata, bahawa ketika terang Kristus itu datang ke dunia, ada juga orang yang tidak mahu menerima-Nya. Kenapa? Terang Yesus itu dapat menerangi perbuatan-perbuatan mereka yang tidak baik. Namun, kitapun kekadang tidak mahu menerima terang Kristus itu kerana takut segala kejahatan dan keseronokan hidup kita yang tidak baik diketahui.

HIDUP DALAM TERANG KRISTUS

            Seorang kanak-kanak perempuan mengidap sejenis penyakit yang jarang-jarang terjadi. Hanya satu sahaja harapannya untuk hidup adalah tranfusi darah, dan orang yang sesuai dengan jenis darahnya hanyalah abangnya yang baru berumur enam tahun. Dokter yang menangani kes kanak-kanak perempuan tersebut bercakap dengan hati-hati kepada kanak-kanak lelaki tersebut. “Adik kamu sangat kesakitan” katanya, “Dan kami fikir jika kami boleh mengambil sedikit darah kamu dan memasukkannya ke dalam badannya, dia akan sembuh. Mahukah engkau memberikan darah kepada adikmu?” Kanak-kanak tersebut diam sejenak kemudian mengangguk-anggukkan kepalanya tanda setuju.

            Beberapa hari kemudian, apabila kanak-kanak lelaki tersebut datang bersama ibu bapanya untuk melawat adiknya, mereka pergi menemui doktor tersebut. “Darah kamu telah menyembuhkan adikmu,” kata dokter tersebut “Tidak lama lagi dia boleh pulang ke rumah.” Tetapi mata kanak-kanak lelaki tersebut dibasahi dengan air mata lalu menangis. Dokter tersebut bertanya kenapa? “Bila” tanya kanak-kanak tersebut, “Saya akan mati?” Rupa-rupanya selama ini kanak-kanak tersebut beranggapan bahawa dia sendiri akan mati sesudah dia memberikan darahnya kepada adiknya itu, namun dia tetap rela memberikan darah kepada adiknya.

            Kisah kanak-kanak lelaki tersebut sangat sesuai dengan pesan Kristus: “Kerana begitu besar kasih Allah akan dunia ini, sehingga Ia telah mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal (Yoh 3:16). Namun terdapat dua kumpulan manusia ciptaan-Nya ini mempunyai haluan masing-masing terhadap Tuhan. Ada yang menerima Tuhan dengan sepenuh hati dan ada yang menolaknya secara halus malah secara terang-terangan.

            Mungkin orang-orang yang menolak Tuhan inilah yang dimaksudkan oleh Yohanes apabila dia menulis, “Terang telah datang ke dalam dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada terang, sebab perbuatan-perbuatan mereka jahat. Memang ada yang merindukan terang tersebut dan ada yang menolaknya. Tetapi sayangnya, bukan orang-orang yang betul-betul jahat sahaja menolak-Nya, tetapi ada juga orang-orang yang menganggap diri mereka baik, suci misalnya orang-orang Farisi. Rupa-rupanya terang yang dibawa oleh Yesus itu menjadi ancaman bagi mereka. Mengapa? Kerana terang Yesus itu boleh membongkar ‘kegelapan’ yang terdapat di dalam kehidupan mereka.

            Bagi kita pula, kemungkinan dua kumpulan orang yang saya sebut itu tadi pasti ada. Sebab terdapat ‘kegelapan’ di dalam diri kita dalam bentuk kesombongan, ketidakadilan, perbuatan jahat dan macam-macam kejahatan yang menguasai hidup kita. Tetapi terdapat juga kebaikan di dalam diri kita. Kita merindukan cahaya terang yang dibawa oleh Kristus itu, iaitu cahaya keadilan, kebenaran, cinta kasih dan kesucian. Bahawa cinta kasih itu sebenarnya lebih kuat dan  berkuasa di dalam diri kita daripada kebencian itu sendiri.

            Namun cabaran yang mungkin selama ini yang sering menghantui kita adalah kedua-dua sikap menerima dan menolak terang itu pada satu-satu masa dalam kehidupan kita. Seakan-akan kita berada di suatu titik terang yang samar-samar. Apabila kita berada di dunia yang samar-samar, maka kita tidak dapat melihat jelas tentang apa yang harus kita lakukan. Namun pada masa yang sama, kita masih dapat melihat titik terang untuk dijadikan pedoman dan petunjuk ke jalan yang benar.

            Ini bererti bahawa pada hakekatnya, kita berusaha untuk melakukan apa sahaja di dua dunia yang bertentangan. Kaki kita seakan-akan berpijak pada kedua-dua dunia tersebut. Iaitu, kita tidak 100% berpijak pada terang tapi juga tidak 100% berpijak pada kegelapan.

            Lalu apakah sebenarnya kedudukan kita jika kita berada dalam keadaan tersebut? Jika demikian maka bolehlah dikatakan kita orang yang tidak berpendirian tetap. Bukan orang-orang yang terbaik namun pada masa yang sama bukan orang-orang yang pendosa yang sesungguhnya. Pendik kata, orang yang tidak layak disebut sebagai si penakut atau si pemberani.

            Tetapi yang menarik di sini, sesiapa yang berada atau merasa berada di dalam kegelapan, maka pasti pada suatu ketika dia akan dapat melihat titik terang dan merasakannya dengan senang hati. Tetapi bagaimana lagi caranya mengajarkan kepada orang-orang yang mengaku hidup dalam ‘terang’ misalnya orang-orang Farisi itu?

            Bagi kebanyakan orang, tikus merupakan simbol kekotoran dan yang suka tinggal di tempat-tempat yang gelap. Memang betul, jika tikus kita masukkan ke dalam perangkap dan dedahkan kepada cahaya yang terang, di bawah sinaran matahari, lambat laun tikus itu akan mati sendiri. Tikus boleh bertahan dengan kekotoran dan kuman apa jenis sekalipun, tetapi tidak tahan menghadapi terang matahari.

            Di dalam setiap kita terdapat sikap jahat yang memang jahat dan sikap jahat tapi jahat yang baik. Sikap yang boleh diperbaiki kerana berani mengakui kelemahan sendiri. Maka pada masa dan musim puasa ini, eloklah kita mengikuti Kristus yang adalah cahaya dunia yang pernah berjanji, “Sesiapa yang mengikuti Aku, tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan sentiasa mempunyai terang kehidupan” (Yoh 8:12). (JL)

Ya Allah, kami bersyukur atas anugerah keselamatan yang kami terima, bukan kerana
jasa dan usaha kami tetapi kerana kemurahan hati-Mu. Semoga keyakinan iman ini selalu  menyokong hidup kami sehingga kami mempunyai pengharapan yang kuat akan keselamatan abadi yang Kau janjikan. Dengan pengantaraan Kristus, Tuhan kami, yang hidup dan berkuasa sepanjang segala masa.