MARI, TERIMALAH ROH SUKACITA!

SONY DSC

SONY DSC

Pertapaan Karmel, Tambunan – 17hb hingga 20hb Mac telah dibanjiri oleh ratusan para belia dan remaja dari ketiga-tiga dioses di Sabah dan 2 peserta dari Dioses Kuching yang mengikut Kem Belia dan Remaja. Program ini merupakan salah satu program tahunan yang diadakan oleh Kongregasi Putri Karmel dan Kongregasi Carmelitae Sancti Eliae (CSE) khusus untuk menjangkau para belia dan remaja dan menanggapi seruan Bapa Suci Pope Francis dalam Seruan Apostolik Evangelii Gaudium atau Sukacita dalam Pewartaan. Oleh itu, tema Kem ini adalah “Mari, terimalah Roh Sukacita!”.

SONY DSC

SONY DSC

Kem Belia dan Remaja ini diawali dengan Misa Pembukaan serta acara perasmian yang dipimpin oleh Bapa Uskup Keuskupan Keningau, Bishop Datuk Cornelius Piong. Dalam homilinya, beliau mengajak para belia dan remaja untuk membuka mata hati agar dapat melihat kehadiran Kristus dalam kehidupan masing-masing. Tuhan sentiasa memanggil kita untuk datang kepadaNya dan menerima Roh Sukacita secara penuh iaitu cintakasih Tuhan itu sendiri. Bagaimana caranya? Dengan sungguh-sungguh mengikuti setiap acara yang ada dalam kem ini sehingga akhirnya para belia dan remaja dapat menemukan apa yang Tuhan ingin berikan kepada setiap peribadi yang datang mengikuti Kem ini. Pada hari pertama acara dibuka dengan ‘Welcoming Night’ sebagai sesi perkenalan antara pihak pertapaan dengan para peserta yang seramai 570 orang ini. Inti utama acara ini adalah ajakan kepada para peserta supaya mempunyai kerinduan yang besar untuk mengalami Roh sukacita dari Yesus sendiri melalui sebuah persembahan drama yang dilakonkan oleh para Brother dan Sister sendiri bersama dengan Komuniti Tritunggal Mahakudus. Tajuk Drama adalah “Mencari Harta yang Terpendam”. Untuk mendapatkan harta yang terpendam itu bukanlah mudah tetapi mempunyai banyak halangan dan rintangan yang pastinya menguji iman seseorang apakah mahu terus bertahan dalam perjalanan untuk menemukan sesuatu yang jauh lebih berharga. Apabila sudah menempuh banyak ranjau dan onak duri, pasti tidak sia-sia iman itu kerana akhirnya bertemu dengan apa yang dicari itu iaitu Yesus sendiri sumber sukacita itu.

SONY DSC

Adapun acara-acara yang diadakan dalam kem ini adalah sesi ceramah-ceramah sangat menarik iaitu “Sukacita Syurgawi vs Sukacita Duniawi” dan “Sukacitaku kini penuh”. Ceramah-ceramah bukan saja disampaikan oleh para sister Putri Karmel dan brother CSE sendiri, tetapi juga oleh 2 orang padri diosesan iaitu Fr. Rudolf Joannes dan Fr. Ronnie Mailap. Pada hari kedua kem ini, Fr. Rudolf Joannes menyampaikan ceramah yang bertajuk “Saya Bangga Menjadi Katolik”. Kenapa saya harus bangga menjadi katolik? Fr. Rudolf menjelaskan secara mendalam mulai dari sejarah gereja awali sampai pada saat ini, di mana sebenarnya gereja katolik mempunyai kekayaan yang sungguh luarbiasa sejak dahulukala yang tidak dimiliki oleh gereja atau dominasi yang lain. Kekayaan ini perlu disedari oleh para belia dan remaja sehingga tidak mudah goncang dalam arus zaman kerana dunia dewasa ini sangat haus akan kesaksian iman sehingga dunia dapat bersaksi bahawa Yesus sungguh hidup dan tidak pernah meninggalkan manusia walau sesaatpun. Pada petang hari, Fr. Rudolf memimpin Misa Maria di mana para peserta dapat mempersembahkan diri mereka secara khusus kepada Bonda Maria melalui perarakan lilin di akhir Perayaan Ekaristi ini. Dalam homilinya, beliau menjelaskan tentang ‘Mariologi’ iaitu pengetahuan akan Bonda Maria. Siapakah dan apakah peran Maria dalam hidup kita? Dalam hal yang sama para belia dan remaja diajak agar mampu mempertanggugjawabkan iman mereka akan Kristus ketika berhadapan dengan banyak pertanyaan yang berhubungan dengan peranan Maria dalam hidup ini.

Hari yang berikutnya, para peserta disajikan dengan ceramah yang juga sangat menarik iaitu sesi seksualiti yang disampaikan oleh Fr. Ronnie Mailap. Para peserta diajak untuk semakin mengerti akan makna dan keluhuran manusia yang terdiri dari tubuh, jiwa dan roh. Setiap peribadi manusia perlu menghargai tubuhnya sendiri dan sesamanya yang merupakan ciptaan Tuhan yang paling unik dan secitra dengan Sang Pencipta. Pada hari ketiga ini, merupakan hari yang istimewa bagi para peserta kerana mereka mempunyai kesempatan untuk mengenali siapakah Paderi dan para religious kerana dalam Perayaan Ekarisiti, mereka mempunyai kesempatan untuk mendengarkan sharing-sharing dari mereka yang sudah menjalani dan memaknai erti panggilan itu. Seminarian David Richard Gasikol yang sedang menjalani masa pastoralnya di Paroki Katedral Keuskupan Keningau mewakili Paderi Diosesan. Brother Ignatius mewakili Kongregasi La Salle Brother, Sister Betty mewakili Kongregasi Infant Jesus dan Sr. Helena Afra mewakili kongregasi Putri Karmel. Rupanya, melalui sharing-sharing ini, banyak juga peserta yang tertarik dan diteguhkan panggilan mereka untuk membaktikan diri kepada Tuhan, apalagi tahun ini merupakan Tahun Hidup Bakti.

Selain dari sesi-sesi ceramah para peserta juga dibawa untuk mengalami kehadiran Tuhan melalui sesi-sesi doa iaitu Doa Yesus, Adorasi, Sharing Kitab suci secara berkumpulan, menerima Sakramen Pertobatan serta mengalami Yesus yang menyembuhkan melalui sesi Penyembuhan Luka Batin. Biasanya setelah para peserta melalui semua acara ini dan mereka semakin mengerti ajakan Kristus dalam hidup mereka, mereka akan dipimpin untuk menerima Yesus secara baru dalam hidup mereka iaitu melalui sesi Pencurahan Roh. Sesi ini bertujuan untuk mengajak para peserta untuk memperbaharui kembali iman yang telah diterima saat dibaptis sehingga ketika mengakhiri kem ini para peserta mempunyai bekalan untuk menjadi saksi atau pewarta bahawa sukacita mereka telah penuh dan mereka adalah anak-anak Allah dan milik Allah yang sangat berharga. Apalagi yang seterusnya? Acara unggun api merupakan kemuncak dari semua acara kerana para peserta dapat menyaksikan nyala api Roh Kudus yang telah membakar isi hati mereka iaitu surat-surat cinta yang telah mereka tulis sejak mereka datang ke tempat ini. Surat-surat yang mereka tulis dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang kemudian dipersembahkan dalam Misa Kudus dan akhirnya menjadi buah bakaran yang harum mewangi kerana Tuhan sudah membaca surat cinta mereka. Walaupun tapak atau kawasan unggun api sangat terhad untuk ratusan orang, namun para peserta tetap dapat bersukacita dengan lagu-lagu pujian dan penyembahan yang sangat hidup yang diselingi dengan renungan yang sederhana tetapi ertinya sungguh mendalam. Begitu juga dengan tempat acara ceramah, doa-doa, misa dan senaman pagi semuanya dilakukan di dalam chapel kerana kekurangan tempat. Namun, itu semua tidak menghalang perjalanan acara kerana para peserta tetap dapat mengikuti kem ini dengan baik.

Pada hari terakhir kem ini, Misa Perutusan dipimpin oleh Fr. Giovanni CSE. Dalam homilinya, beliau mengajak para peserta untuk terus bersyukur kepada Tuhan yang telah mengutus Roh KudusNya dan telah membimbing para belia dan remaja sehingga sungguh-sungguh menerima Roh Sukacita itu sendiri. Beliau mengatakan bahawa hari ini bukanlah suatu pengakhiran, tetapi merupakan suatu permulaan yang baru agar apa yang telah dialami oleh para belia dan remaja dan dikongsikan kepada sesamanya nanti supaya mereka juga dapat mengalami apa yang telah dialami oleh para peserta itu sendiri. Di akhir Perayaan Ekaristi ini, diadakan paluan gong oleh Fr. Giovanni sendiri sebanyak tiga kali untuk menutup seluruh rangkaian acara Kem Belia dan Remaja 2015 dan juga sebagai perutusan kepada para peserta agar terus dapat berbagi sukacita di dalam pewartaannya.

SONY DSC