MISA KRISMA DISAMBUT DI KEUSKUPAN KENINGAU

KENINGAU : Perayaan Misa Krisma telah diadakan pada 27 Mac 2018  di Katedral St. Francis Xavier. Dalam perayaan in, selain daripada pemberkatan minyak, para Paderi dari setiap paroki di bawah naungan Keuskupan Keningau berkumpul bersama untuk memperbaharui komitmen.

Perayaan ini dipimpin oleh YM Uskup Cornelius Piong yang dihadiri oleh 23 orang paderi dan Dikon David. Di meriahkan lagi dengan kedatangan lebih 4000 orang umat dari sekitar Paroki Keningau.

Perayaan ini merupakan peringatan dan mengenang apa yang telah dilakukan Yesus pada malam perjamuan terakhirnya. Yesus telah menetapkan Ekaristi dan Imamat yang mana Yesus mengungkapkan keinginannya untuk menyertai umatNya selama-lamanya.

 

Uskup mengingatkan tiga perkara yang Yesus doakan bagi pengikutNya semasa perjamuan terakhir.

 “Yesus berdoa kepada BapaNya di syurga, bagi para pengikutNya dan yang akan datang termasuklah para paderi, religius dan orang awam pada masa kini agar bersatu seperti kesatuannya dengan Bapa.  Yesus mendoakan bagi pengikutnya, agar melindungi mereka dari si jahat. Pengaruh jahat yang merosakkan kesatuan, keharmonian, rencana penyelamatan Tuhan. Oleh itu, sentiasa berwaspada akan perbuatan dan pengaruh si jahat. Dan terakhir Yesus berdoa supaya pengikutNya diKuduskan, Yesus ingin kita hidup dalam kekudusan. Dalam setiap kehidupan kita perlulah membina relasi dengan Tuhan.”demikianlah homili yang disampaikan Uskup.

Selepas homili, pembaharuan Janji Imamat para paderi berlangsung,  pembaharuan ini bertujuan untuk mengingat kembali janji panggilan suci yang telah dilafazkan pada saat tahbisan para paderi. Diikuti dengan Uskup memberkati minyak yang dipersembahkan.

Seusai perayaan Misa, Uskup, Paderi dan para jemputan menjamu selera di Dewan Terbuka PPK. Ulang Tahun Kepaderian Uskup yang ke-41 dan ulang tahun kelahiran Fr. Claudius turut disambut.