REKOLEKSI MENGENALI DAN MENGASIHI EKARISTI UNTUK PARA KATEKUMEN PERINGKAT PAROKI KSFX 2015

Keningau – Pada 10 Januari 2015 para pengajar Sekolah Minggu Paroki KSFX mengadakan rekoleksi bertajuk “Mengenali dan Mengasihi Ekaristi” bertempat di Dataran Keuskupan, Keningau. Rekoleksi ini merupakan bahagian program kerja yang telah direncanakan tahun 2015 dalam menyambut tema Keuskupan Keningau pada tahun ini dengan nara sumber Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan Seminarian Wilfred.

Rekoleksi ini dihadiri oleh semua peserta katekumen yang bernaung di bawah Paroki KSFX yang berjumlah 333 orang. Pada intinya Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong menyampaikan proses dan makna perayaan Ekaristi. Ekaristi adalah santapan rohani bagi umat Katolik. Yesus sungguh-sungguh hadir dan kehadiran umat bukanlah kerana hokum tetapi kerana kerinduan hati untuk bersatu dengan Yesus yang adalah Sumber dan Puncak. Beliau juga mengongsikan pengalaman beliau sebagai seorang paderi waktu itu. Walaupun sudah ditahbiskan sebagai paderi, beliau masih terus berusaha mencari tahu tentang kekayaan yang terkandung dalam Ekaristi. Dan ketika beliau sudah ditahbiskan menjadi Uskup, beliau merasa adanya tanggungjawab besar bagi beliau untuk mendidik dan mengajarkan kepada umat untuk semakin menghargai Ekaristi. Di akhir sesi, beliau sekali lagi mengingatkan bahawa kehadiran kita ke perayaan Ekaristi bukanlah atas kehendak kita, melainkan undangan Yesus sendiri: “Marilah kepada-Ku…” (bdk Mat 11:28).

Selanjutnya, Seminarian Wilfred membawa para peserta untuk mengenali Ekaristi dari sudut sejarah. Bagaimana Ekaristi boleh tertubuh, Simbol-simbol yang ada dalam Ekaristi dan mengapa Ekaristi adalah Sumber dan Puncak hidup seorang kristiani. Peserta yang hadir tidak hanya mendapat pengetahuan secara teori belaka tetapi juga pengalaman peribadi dari kedua penceramah yang sedikit sebanyak telah membuka mata dan hati para peserta untuk mengenal dan mengasihi Yesus yang hadir dalam sekeping hosti yang telah dikonsekrasi.

Semua info-info yang telah diterima tidak dibiarkan begitu sahaja. Para peserta akhirnya dibagi menjadi beberapa kelompok. Tujuannya adalah membiarkan para peserta mengongsikan apa yang telah mereka perolehi dari kedua ceramah berkenaan. Selanjutnya mereka diberi kesempatan untuk membentangkan hasil perkongsian kelompok. Walaupun baru bergelar sebagai katekumen, tetapi pengetahuan dan kesediaan mereka untuk menjadikan Yesus sebagai Juruselamat dan Penebus, begitu membanggakan. Semoga iman yang telah tumbuh semakin berkembang sesuai dengan perkembangan rohani peribadi masing-masing peserta.

Rekoleksi pada kali ini diakhiri dengan makan tengahari bersama. Ini adalah ungkapan terima kasih atas berkat yang telah Tuhan berikan di awal tahun yang baru ini. Semoga Ekaristi, Yesus yang sungguh hadir dalam sekeping hosti yang kecil, membuat para peserta semakin rindu untuk menyambutnya.

 

SONY DSC
Bishop Cornelius Piong, salah satu penceramah pada seminar kali ini.

SONY DSC

SONY DSC
Seminarian Wilfred, salah seorang penceramah dalam seminari pada kali ini. Beliau membawa para katekumen untuk mengenali siapakah Gereja itu, Simbol-simbol dan sejarah bagaimana Ekaristi itu terjadi.

 

SONY DSC
Seramai 333 katekumen peringkat paroki KSFX telah mengikuti seminari yang dianjurkan pada kali ini.

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC
Inilah wajah-wajah para pembimbing yang sempat hadir pada seminar kali ini. Mereka meluangkan waktu untuk bersama para katekumen kali ini.

SONY DSC

 

 

MEMANCING SAMBIL MENDERMA “FISHING FOR CHARITY”

fishing for charity

OBJEKTIF: Bertujuan untuk mencari dana bagi menampung pembiayaan kerusi kayu dan penambahbaikkan bangunan-bangunan Gereja Paroki Sook

 

Tarikh: 24.01.2015 (Sabtu)

Tempat: Kolam Green View, Liou Darat, Keningau

Masa; 8 pagi – 3 petang

Yuran: RM130/Joran

Yuran RM100 sehingga 20 Januari 2015 dan selepas tarikh tersebut akan dinaikkan menjadi RM130

Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi:

Fr Ronnie Luni (013-8787246), Noel (019-8122228),

Alvaro (019-8999945), Kenjie (012-8282957)

 

 

KHEMAH BELIA KEUSKUPAN KENINGAU KALI KE-4

kuala penyu

Tarikh: 02 – 06 Jun 2015

Tempat: Gereja St. Peter Bundu, Kuala Penyu

Borang boleh didapati di kaunter KBK selepas Misa pertama dan kedua. Borang yang lengkap diisi boleh dikembalikan di kaunter KBK atau di Bilik Gerakan Belia KSFX (masa pejabat) beserta yuran RM85 dan 2 keping gambar, sebelum atau pada 25 Januari 2015.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi:

Ann (011-19571023), Mazlan (019-8724018), TJ (013-5469264)

CABUTAN TIKET BERTUAH KSFX 2014

Tiket Bertuah

  • Cabutan Tiket Bertuah tersebut akan dijalankan pada 13 Februari 2015 bertempat di Dataran Keuskupan, Keningau bersempena dengan Makan Amal Valentine 2015.

  • Oleh itu kepada semua penjual Tiket Bertuah tersebut (setiap Paroki, Mission, ZON, KUK, KKD dan individu yang telah diberi mandat), tarikh akhir pengembalian wang hasil jualan Tiket Bertuah tersebut ialah pada 31 Januari 2015. Bagi Paroki KSFX, wang hasil jualan boleh diserahkan di Pejabat Paroki, KSFX (kaunter pembayaran) atau terus kepada Cik Boniah Emin di talian 013-8560795.

  • Keratan Tiket boleh dimasukkan terus ke dalam peti khas yang telah disediakan di depan pintu masuk Gereja pada setiap minggu dan di Pejabat Paroki KSFX pada waktu pejabat.

 

 

 

 

KEMBALI KE NAZARET

Renungan Pesta Keluarga Kudus (B)

Kej 15:1-6; 21:1-3; Ibr 11:8.11-12.17-19; Luk 2:22-40

Keluarga seperti yang kita sedia maklum, hampir di seluruh dunia, selama beberapa generasi telah menghadapi tantangan yang sangat radikal. Kesatuan keluarga mengalami ancaman pengaruh industrialisasi dan urbanisasi, yang cenderung menghindari keluarga besar dan terpaksa mengamalkan keluarga inti.

Walaupun keluarga inti semakin mendapat tempat dalam keluarga moden, di mana keluarga hanya terdiri daripada pasangan suami isteri serta anak-anak mereka sendiri sahaja dapat mempunyai pengaruh yang menguntungkan bagi penguatan keluarga. Namun kenyataannya telah membuat keluarga semakin terdedah terhadap akibat-akibat sekularisasi yang dapat merosakkan sistem kekeluargaan tersebut. Gejala sekularisasi ini tersebar luas disebabkan oleh media massa, kenderaan yang semakin cepat dan canggih serta alat-alat komunikasi moden sangat cepat menyentuh minda keluarga inti. Bahkan sekarang secara perlahan-lahan nilai-nilai cinta kasih dan hidup mulai terhakis kerana dipengaruhi oleh budaya hedonisme, nafsu akan wang dan kekerasan, kurangnya hormat terhadap hidup dan semua jenis kebendaan.

Sewaktu Kongres Internasional tentang keluarga diadakan di Milano tahun 1981, Dr. Eric McLuhan, di dalam ceramahnya bertajuk “Keluarga dalam Abad Elektronik” berkata: “Dalam abad atom ini, keluarga moden dapat dikategorikan sebagai ‘nuclear’ (inti), yang paling asas. Ini bererti bahawa keluarga seperti atom, sudah terbelah dan disertai dengan penghancuran dan perubahan besar.”

Seperti terbelahnya atom, terpecahnya keluarga masa kini sungguh menjadi suatu kenyataan. Walaupun kita tidak menghendakinya, namun kita harus mengakuinya. Perkara ini merupakan kenyataan yang berat dan sungguh memerlukan perhatian yang banyak bagi kita sesama terutama untuk menyambut tahun baru yang hampir menjelang tiba.

holy family

Hari ini kita merayakan pesta keluarga kudus. Keluarga tauladan yang terdiri daripada Yesus, Maria dan Yosep dari Nazaret itu. Walaupun Putera Allah telah menjadi manusia, namun Dia dilahirkan di dalam sebuah keluarga. Maka melalui peristiwa ini, Tuhan telah meneguhkan lagi bahawa Dia memberkati dan melindungi setiap keluarga. Maka nampaknya untuk menghayati kembali apa itu sebuah keluarga yang ideal dan tentunya real,maka mahu tidak mahu kita semua harus kembali ke Nazeret dan belajar dari keluarga kudus tersebut.

Nilai-nilai kehidupan keluarga yang baik harus bersinar dari dalam keluarga itu sendiri baru kemudian dapat dilihat dan dirasakan oleh sesama melalui pergaulan seharian. Pendik kata, semua budaya-budaya yang ingin kita munculkan dalam masyarakat bermula dari rumah.

Bercakap tentang budaya yang baik ini, maka tiga budaya berikut ini sangat baik diamalkan di dalam sesebuah keluarga. Pertama budaya menyembah Tuhan. Ibu Teresa pernah mencadangkan agar keluarga menyembah Tuhan dengan amalan berdoa bersama, “Keluarga yang berdoa bersama, tetap tinggal bersama” katanya. Jika kita tetap tinggal bersama sebagai satu keluarga, maka kita dapat saling mengasihi satu dengan yang lain seperti Yesus mengasihi setiap ahli keluarga.

Budaya yang kedua adalah budaya membentuk iman. Keluarga merupakan sekolah yang pertama dan utama di mana setiap ahli keluarga dapat dibentuk dan dapat saling membentuk. Iman kita dapat dibentuk jika kita dapat saling mengasihi dengan sesama kita. Sebab cinta kasih itu merupakan asas kehidupan manusia yang sebenar. Yesus tidak pernah berkata, “Kasihilah seluruh dunia.” Tetapi Dia selalu berkata, “Kasihilah satu dengan yang lain.” Kita hanya dapat mengasihi satu orang pada satu masa tertentu. Jika terlalu banyak pada satu-satu masa, maka tumpuan kita akan hilang atau kurang berkesan.

Budaya yang ketiga adalah budaya bertangungjawab sosial. “Jika engkau mahu melakukan sesuatu yang terbaik untuk Tuhan,” kata Ibu Teresa, “Maka lakukanlah itu terhadap keluargamu sendiri dan juga terhadap tetanggamu yang susah.” Dengan kata lain, setiap ahli keluarga kita termasuk tetangga kita yang susah itu adalah saudara dan saudari kita. Sebab Yesus pernah berkata, “Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku” (Mt 25:40). Nampaknya tiga budaya tersebut diamalkan oleh keluarga kudus dari Nazaret tersebut.

Kisah mengenai Yesus yang diserahkan pada Tuhan dalam Injil tadi mempunyai pesan tersendiri bagi keluarga Kristian yang kita dambakan. Selain Maria, Yosep dan Yesus, disoroti juga dua orang warga emas, Simeon dan Hana yang sudah begitu lama menunggu kedatangan Sang Mesias. Mereka bersyukur kepada Tuhan kerana mereka dapat melihat Mesias tersebut. Salah satu hikmah petikan tersebut bahawa warga emas, terutama datuk dan nenek, memerlukan cucu-cucunya dan cucu-cucu pula sangat memerlukan datuk dan nenek mereka. Namun pesan yang lebih penting lagi bahawa Maria membawa anaknya, Yesus ke Bait Allah untuk dipersembahkan kepada Allah. Simeon sendiri telah memberi ingatan kepada Maria bahawa dia akan mengalami pelbagai cabaran untuk membesarkan anak itu.

Kepada anak-anak, sementara mereka berangan-angan serta mempersiapkan diri mencari pekerjaan dan membangun keluarga mereka sendiri di kemudian hari, pada ketika ini panggilan atau tugas utama mereka adalah terjadi di dalam keluarga mereka sekarang ini. Melalui panggilan sebagai anak ini, mereka harus menghormati ibu bapa mereka. Di dalam suratnya kepada umat di Efesus, Paulus pernah berkata: “Hai anak-anak taatilah orang tua mu di dalam Tuhan … supaya kamu berbahagia dan panjang umur mu” (Ef 6:1,3).

“Dan kamu ibu bapa, janganlah bangkitkan amarah di dalam hati anak-anak mu, tetapi didiklah mereka di dalam ajaran dan nasihat Tuhan” (Ef 6:4). Supaya mereka merasa “at home” di rumah sendiri sehingga suasana family yang sesungguhnya itu dinikmati bersama sebab anak-anak mengasihi ibu bapa mereka dengan ungkapan: ‘Father And Mother I Love You!!’

reunion

Bagi kita, keluarga adalah suatu institusi yang sangat berkaitan rapat dengan kesucian dan saling bergantung antara satu dengan yang lain. Namun seringkali juga kita perlu sentiasa berjaga-jaga agar keluarga kita jangan sampai bercerai berai atas sebab-sebab pengaruh media massa dan sebagainya. Maka kita sungguh memerlukan suatu slogan atau pernyataan maltamat keluarga seperti berikut ini yang disadur dari 1Tes 5:11,13,15-18, yang kami petik daripada buku bertajuk ‘Sower’s seeds that nurture Family Values’ oleh Brian cavanaugh, T.O.R:

Dalam keluarga kami … kami menyemangati satu sama lain, kami membangun satu sama lain, kami berdamai dengan satu sama lain, kami berusaha untuk berbuat baik, kami bersukacita, kami bersyukur, kami berdoa tiada henti.

Keluarga kudus adalah tauladan sebuah keluarga seperti yang kita impikan iaitu keluarga yang R.E.A.L dalam bahasa Inggeris yang bererti R=Respecting (Menghormati), E=Encouraging (Menyemangati), A=Affirming (Meneguhkan), L=Loving (Mencintai). Semoga nilai-nilai REAL ini kita tanamkan ke dalam keluarga kita sehingga kita mendapatkan keluarga yang sejati sekaligus kudus seperti keluarga di Nazaret. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

1.Menurut anda apakah cabaran-cabaran hidup keluarga zaman sekarang dalam mempertahankan nilai-nilai keluarga yang sejati?

2. Bagaimanakah pengaruh media massa dapat digunakan untuk mempereratkan lagi hubungan keluarga dan bukan sebaliknya?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Bersama dengan pasangan anda buatlah perancangan yang teratur supaya anda dan anak-anak dapat sentiasa berhubungan baik melalui makan bersama, berdoa bersama, rekreasi bersama secara teratur. Gunakan juga telepon pintar anda supaya sentiasa berkomunikasi dengan ahli keluarga melalui Telegram, whatapps dan sejenisnya. Tetapi berhati-hati jangan menggunakan FB untuk meluahkan perasaan. Ingat kata-kata ini: “Don’t Face Book your problems but Face your problems!”