PEMBAHARUAN KOMITMEN ANGGOTA ISKB

KENINGAU – Pada 09 Disember 2016 yang lalu, para anggota Institut Sekular Komuniti Betania (ISKB) telah memperbaharui komitmen pelayanan mereka di dalam Perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, bertempat di Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal (RRKKT). Sebelum itu, para anggota ISKB telah menjalani retret tahunan selama 3 hari bermula pada 06 Disember sehingga 08 Disember bertempat di RRKK Tatal yang dikendalikan oleh para Sister Putri Karmel dari Pertapaan Karmel, Kaingaran, Tambunan.

img_2320

ISKB sehingga kini dianggotai oleh 19 orang anggota dan pada hari penuh makna ini, seramai 4 orang anggota memperbaharui Komitment Sementara iaitu Sdra. John Ambi, Sdra. Sebius Gatail, Sdri. Melita Petrus dan Sdri. Winnah Jude manakala 15 orang anggota lagi memperbaharui Komitmen Kekal mereka.

img_2325

Dalam homili, Bapa Uskup menyatakan amat penting untuk memperbaharui komitmen setiap tahun dan beliau menyatakan syukur kepada Tuhan kerana Komuniti Betania baru sahaj selesai retret tahunan mereka yang merupakan satu kesempatan untuk menilai, memperbaiki dan mempertingkatkan lagi komitmen kepada Yesus dan Gereja. Beliau juga menyatakan bahawa kita perlu belajar sikap mengambil serius (ambil berat) melayani Tuhan melalui umat dan gereja. “Setiap kita harus ingat siapa yang kita layani supaya pelayanan kita ini sungguh-sungguh kualitinya kekal dan terus dapat dipertingkatkan dan juga supaya komuniti kita menjadi satu komuniti yang boleh bersaksi. Maka itu, perlulah kita setiap hari menyatukan diri kita kepada Tuhan kerana itu adalah dasar yang penting dan Yesus adalah sumber kekuatan, kebijaksanaan dan ketabahan bagi kita”.

img_2337

Bapa Uskup juga menyatakan bahawa beliau amat bersyukur kerana anggota-anggota Komuniti Betania banyak membantu dalam pelbagai pelayanan di gereja seperti mengendalikan bilik barang-barang kudus, mengendalikan Rumah Retret Keuskupan Keningau Tatal & Pusat Ziarah Nulu Sosopon, melayani dalam Katekatikal, Rumah Mission, Kantin Keuskupan, Sakristan, Pemimpin Ibadat dan sebagainya. ISKB kini sudah dibangun selama 18 tahun dan wujudnya ISKB adalah kehendak Tuhan dan sehingga kini komuniti ini masih segar dan berdiri teguh.

Selepas Misa Kudus, diadakan sesi bergambar bersama Uskup dan majlis kesyukuran di dewan makan RRKK Tatal bersama dengan umat yang hadir.

img_2340

ISKB merupakan  suatu pergerakan sekular tempatan terdiri daripada umat awam, lelaki dan perempuan yang telah memilih untuk hidup tunggal (tidak berkahwin) bagi melayani Kristus dan Gereja-Nya.Diasaskan dan dibentuk oleh Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dengan kerjasama Msgr Charles Chiew dan Rev Fr Patrick Jerome. Pengesahan pembentukan komuniti ini di peringkat Keuskupan disempurnakan oleh Uskup pada 27 Julai 1997 di Katedral St Francis Xavier, Keningau. Karisma ISKB adalah melayani sesuai dengan bakat, kemampuan dan kesempatan yang ada dalam pelbagai kegiatan di dalam keluarga, komuniti, Gereja dan masyarakat seperti seminar, retret, rekoleksi dan lain-lain tugas katekis.

Sharing is caring!