PENGALAMAN DAN HARAPAN, 40 TAHUN SEBAGAI PADERI

Puji Tuhan dan syukur kerana Dia telah memanggil, mengutus dan menopang diri yang tidak layak ini dalam melayani di ladang-Nya yang luas.

0

Empat Puluh Tahun melayani sebagai seorang hamba Tuhan memang satu jangka masa yang panjang, akan tetapi terasa seperti baru semalam. Apabila saya lihat dan renung kembali apa yang telah saya lalui selama ini, seolah-olah semuanya hanya seperti mimpi. Akan tetapi saya yakin bahawa semuanya itu adalah dalam rencana Tuhan dan tidak sia-sia (1 Kor. 15:58).

1

Merenung kembali perjalanan hidup ini saya sangat memuji dan bersyukur kepada Tuhan atas rencana-Nya bagi diri saya dan kemampuan yang diberi oleh Roh Kudus sehinggalah ke hari ini.

3

Panggilan menjadi Paderi bagi saya bukanlah kerana ‘minat’. Saya alami bahawa panggilan bagi saya adalah lahir dari suasana dimana kehadiran Tuhan diakui dan dikenali. Melalui iman keluarga dan suasana sekeliling saya dapat mengenal dan mempertimbangkan panggilan untuk melayani sebagai seorang Paderi, kerana menyedari bahawa Tuhan memanggil pekerja untuk bekerja di ladang-Nya yang luas (Mat. 9:37).

Dorongan menjawab panggilan Tuhan menjadi Paderi menjadi lebih kuat apabila saya masuk sekolah menengah di Sekolah Mission, St. Micheal, Penampang. Namun oleh kerana saya adalah anak sulung maka saya diperlukan mencari kerja untuk membantu keluarga setelah selesai tingkatan tiga.

10

Pada tahun 1966-1967 saya bekerja sebagai guru selama satu tahun di Sekolah Rendah St. Stephen, Kiaru, Kuala Penyu dan kerani sekolah selama satu tahun di Sekolah Menengah St. Peter Bundu, Kuala Penyu. Dalam masa dua tahun bekerja hati saya masih tidak tenang kerana panggilan menjadi Paderi itu masih ‘mengganggu’ saya. Maka pada penghujung tahun 1967 saya mengambil keputusan untuk meninggalkan kerja dan kawan-kawan untuk memasuki pra-Seminary di Kota Kinabalu. Puji Tuhan saya dibantu dan dibenarkan kembali melanjutkan persekolahan di Shan Tao High School, Likas, melanjutkan pelajaran tingkat 4 dan 5 pada tahun 1968-1969.

Mereka yang terlibat membantu saya pada waktu itu ialah mendiang Fr. J. Haas, Paderi Paroki St. Peter, Bundu Kuala Penyu pada waktu itu, mendiang Fr. G. Preyde, Rektor pra-Seminary, Kota Kinabalu dan mendiang Fr. J.B. Yong, Pengetua Shan Tao High School, Likas.

Menyahut panggilan Tuhan dengan melanggar kemahuan ibu bapa, meninggalkan kerja dan kawan-kawan memang satu pengalaman yang susah untuk diungkapkan, tetapi saya yakin bahawa jika Tuhan yang memanggil, Dia juga memampukan.

Pada tahun 1970-1971, saya telah diterima memasuki St. Francis Xavier Minor Seminary di Singapore dan pada tahun 1972 saya telah diterima memasuki Seminari College General di Pulau Penang untuk mengikuti latihan menjadi Paderi sehingga selesai pada tahun 1976.

Pengalaman hidup sepanjang mengikuti kursus-kursus dan aktiviti-aktiviti pastoral di Seminari adalah sangat mencabar. Ada masa-masanya saya meragui keputusan yang saya ambil untuk menjadi paderi. Saya rasa hanya belas kasihan Tuhanlah yang memampukan saya bertekun sehingga selesai.

Saya juga bersyukur atas dorongan dan sokongan dari saudara-saudari yang memahami yang telah mendorong saya untuk bertahan.

13

Setelah ditahbis menjadi Paderi pada 27 Mac 1977, saya telah ditugaskan untuk melayani di Paroki St. Michael, Penampang (1977), St. Francis Xavier, Keningau dan Mission Sook (1978-1980), Paroki Bundu Tuhan, Ranau dan Telupid (1981-1986).

14

Setelah dilantik menjadi Vikar General Keuskupan Kota Kinabalu pada tahun 1996, saya ditugaskan di Paroki Stella Maris, Tanjung Aru (1986-1987), seterusnya Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu (1987-1993). Pada masa itu seluruh Sabah masih sangat kekurangan Paderi untuk melayani, kerana itu Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu mempunyai beberapa Gereja naungannya, iaitu St. Paul, Dontozidon, St. Thomas, Kepayan, Our Lady Queen of Peace, Kobusak, St. Catherine, Inanam, Good Shepherd, Menggatal, Holy Family Church, Telipok dan Gereja St. Peter Kudat. Memang agak berat dan mencabar bagi kami melayani di Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu bersama dengan Fr. Charles Chiew dan Fr. M. Mewo pada ketika itu, sehingga akhirnya Keuskupan Keningau diwujudkan dan kami diutus kembali melayani di Katedral St. Francis Xavier, Keningau sehinggalah sekarang.

22

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana dapat melayani Umat di Paroki-Paroki di mana saya diutus untuk melayani. Banyak pengalaman dan pengajaran yang dapat saya gunakan dari komuniti Umat untuk menyemangati pelayanan saya. Sepanjang pelayanan sebagai seorang Paderi dan kini sebagai seorang Uskup, saya hanya menaruh keyakinan kepada Yesus yang memanggil, mengutus dan menopang saya. Sepanjang dalam pelayanan saya belajar dari pengalaman dan reaksi yang saya terima dari Umat yang saya layani.

28

Hidup dan melayani selaku seorang Paderi dan Uskup memerlukan Iman dan kebijaksanaan. Memimpin, mengajar dan menguduskan Umat yang dilayani memerlukan sifat pelayanan yang ada kesatuan, kebersamaan dan kesamaan dengan penggembalaan Yesus. Perkara ini adalah satu cabaran yang berterusan dan saya sedar bahawa saya banyak kali gagal.

Sri Paus Francis ada menyentuh tentang perkara ini yang membantu menyedarkan saya, “untuk membangun Umat yang sehati dan sefikiran (Kis. 4:32), Uskup kadang-kadang perlu berjalan di hadapan Umat, menunjukkan jalan dan menghidupkan harapan mereka. Kadang-kadang dia hanya perlu bersama Umat dengan kehadirannya, yang tidak memaksa dan hanya mahu memahami. Kadang-kadang dia perlu berjalan di belakang Umat, supaya dapat membantu mereka yang lemah dan memulakan jalan hidup yang baru” (Evangelii Gaudium, 31).

32

Puji Tuhan dan syukur kerana Tuhan memanggil, mengutus dan menopang saya menjadi saluran kehadiran-Nya kepada Umat yang sempat saya layani. Mohon maaf sekiranya ada masa-masanya saya gagal.

Kepada keluarga-keluarga dan para belia khususnya, marilah kita sentiasa mengutamakan kesatuan kita dengan Yesus kerana hanya dalam Dia akan lahir rasa tanggungjawab kita terhadap kebajikan rohani dan fizikal Gereja kita.

Kepada Bonda Maria, ‘Tina Za do koupusan”, terima kasih atas perlindunganmu yang sentiasa menyertai.

Kepada para Paderi, Religius dan Awam rakan sekerja dalam ladang Tuhan, terima kasih kerana semangat kekitaan dan kebersamaan.

Kepada saudara saudari yang bermurah hati dan sanggup mengorbankan masa, tenaga, bakat dan wang ringgit untuk mengadakan Perayaan Kesyukuran Ulang Tahun ini, Terima Kasih tidak terhingga. Tuhan memberkati anda semua. Marilah terus berjalan bersama dalam Yesus Kristus. Puji Tuhan.

Sharing is caring!