PENTAHBISAN DIKON SEMINARIAN DAVID RICHARD GASIKOL

KENINGAU : Pada 25 Februari merupakan hari sukacita umat khususnya di Paroki Keningau kerana telah menyaksikan pentahbisan menjadi Dikon, Sem. David Richard Gasikol yang bertempat di Katedral St. Francis Xavier.

Lebih 1000 orang umat dari sekitar Keuskupan Keningau yang datang memberikan sokongan rohani termasuklah keluarga, saudara dan rakan-rakan Dikon David.  Upacara pentahbisan ini disempurnakan oleh YM Uskup Datuk Cornelius Piong dan dihadiri oleh semua paderi Keuskupan Keningau.

“Dia akan membantu Uskup dan para paderi sebagai pelayan Firman Tuhan di altar dan juga dalam hal kebajikan. Dia akan merendahkan dirinya untuk menjadi seorang pelayan kepada semua umat serta memberitakan injil, mengendalikan upacara pengorbanan dan memberi Tubuh dan Darah kepada semua umat. Dengan kebenaran Uskup, adalah menjadi tugas dia untuk menyebarkan Firman Tuhan kepada semua. Dia juga akan memimpin doa umum, memberi pembaptisan, menolong dalam upacara perkahwinan dan memberkati mereka, memberi komuni suci kepada orang sakit tenat dan memimpin dalam upacara pengebumian.” Uskup menjelaskan tugas seorang Dikon.

Calon Dikon dipersembahkan oleh Fr. Francis Dakun kepada Uskup selepas Bacaan Injil.

 “Sebagai seorang Dikon, kamu akan melayani Yesus sama seperti Yesus melayani umatNya. Lakukanlah kehendak Allah dengan murah hati, hindarilah kelakuan yang tidak suci dan ketamakan sebagai penyembahan yang palsu. Kamu bukan sahaja mendengar Firman Tuhan tetapi juga menyebarkan kepada orang lain. Jangan sekali-kali meninggalkan harapan yang Injil yang dijanjikan dan berpegang teguhlah kepada misteri iman dengan tulus ikhlas.” Pesan Uskup dalam amanatnya kepada Dikon David.

Kemudian Upacara  Perjanjian Hidup Membujang bermula, diikuti dengan pemeriksaan calon, Janji Setia, Litani, Doa Pentahbisan dan Upacara Penumpangan Tangan.

Selesai Upacara Penumpangan Tangan, Fr. Claudius Andrew membantu menyandangkan stola dan dalmatik kepada Dikon David. Upacara diteruskan dengan Penyampaian Kitab Suci, diakhiri dengan pelukan kasih daripada Uskup.

Dikon David yang merupakan anak ke 6 dari 7 orang adik-beradik mengatakan bahawa sejak dari kecil lagi, beliau mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang paderi. Hasrat beliau bermula ketika seorang paderi mengunjungi gereja di kampung halaman. Kini beliau selangkah maju masuk ke alam kepaderian. Dikon David akan membantu dan melayani di KSFX.

Dalam ucapannya, Dikon David mengucapkan terima kasih kepada Tim Pelaksana Paroki KSFX yang telah mempersiapkan upacara pentahbisan beliau. Ucapan terima kasih juga ditujukannya kepada keluarga Paroki Roh Kudus Sook yang merupakan paroki asal beliau.

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana memanggil saya untuk mendedikasikan diri kepada pelayanan ini. Terima kasih kepada Uskup dan para paderi atas inspirasi dan bimbingan yang diberikan. Terima kasih juga atas kehadiran semua yang datang merayakan kesetiaan, kasih dan panggilan Tuhan ini,” katanya. 

Selesai Misa, Uskup serta para jemputan dijemput ke Dewan MPP untuk jamuan kesyukuran. Pelbagai persembahan pentas yang disajikan kepada para hadirin.