PESTA PALUAN GONG KEUSKUPAN KENINGAU

KENINGAU : Pertandingan Paluan Gong telah diadakan di Pentas Dataran Keuskupan pada 21 April 2018. Pertandingan Paluan Gong ini merupakan salah satu pengisian ke arah Perayaan Jubli Perak Keuskupan Keningau yang bakal menjelang pada 5 Mei. Antara ketagori yang dinilai adalah persembahan dan kreativiti, keseragaman tempo dan pakaian yang diadili oleh pengadil profesional daripada Kadazandusun Cultural Association Sabah (KDCA).

Keunikan, keagungan dan semangat gong tidak dapat dinafikan lagi kerana sejak dari nenek moyang lagi, gong merupakan alat tradisi yang sangat penting dalam masyarakat khususnya masyarakat Dusun dan Murut. Paluan gong digunakan dalam upacara-upacara sosial, hiburan dan juga sebagai alat komunikasi. Selain itu gong juga dapat menarik perhatian dan mempersatukan masyarakat.

Meskipun dengan kehadiran alat-alat muzik moden, gong masih belum pupus ditelan zaman dan masih terus releven bagi umat-umat sekarang. Gong bukan hanya digunakan dalam upacara sosial tetapi juga boleh digunakan dalam aktiviti-aktiviti dalam gereja atau perayaan iaitu Perayaan Ekaristi.

Rev. Fr Rudolf Joannes dalam ucapannya menyatakan bahawa tradisi baik seperti ini tidak akan dapat dipisahkan daripada agama kerana banyak upacara dalam gereja juga menggunakan gong. Beliau juga berharap agar paluan gong yang berkumandang menjadi semangat dan satu doa kesatuan sebagai Paroki yang bernaung di Keuskupan Keningau dan memberikan semangat kepada umat ke arah Jubli Perak Keuskupan Keningau.

“Semoga aktiviti seperti ini dapat mengungkapkan semangat kesatuan dan kesetian kita sebagai satu Keuskupan yang sudah berjalan bersama selama 25 tahun dan membawa kita ke arah kekudusan,” Fr. Rudolf mengakhiri ucapannya dan merasmikan pertandingan dengan memalu gong sebanyak 7 kali.

Enam kumpulan pemalu gong iaitu Paroki St Patrick Membakut, St. Theresa Tambunan, Mission Kemabong, St. Anthony Tenom, St Peter Bundu Kuala Penyu dan KSFX telah menyertai pertandingan ini. Paroki St.Peter Bundu, Kuala Penyu telah menjuarai pertandingan ini diikuti dengan KSFX dan tempat ketiga dimenangi oleh St.Anthony, Tenom.