PROGRAM KASiH MELEBARKAN SAYAPNYA KE KEUSKUPAN SANDAKAN

KENINGAU: Tanggal 11 Mei 2019 merupakan tarikh yang bersejarah bagi Tim Program KASiH SK St. Francis Xavier, Keningau kerana telah melebarkan sayapnya ke Keuskupan Sandakan di SRK Holy Trinity, Tawau.

Lawatan Program KASiH diketuai oleh Penasihat Rohani Sr. Patricia Limun (FSIC), Puan Helena Edirin Guru Besar SRK St. Francis Xavier juga pengasas Program KASiH berserta 21 orang guru pembimbing Program KASiH.

Lawatan jalinan kasih yang bermula pada 10 sehingga 13 Mei 2019, disambut baik oleh Guru Besar SRK Holy Trinity, Encik Petrus Josephemin bersama dengan guru-guru pembimbing yang terdiri daripada kalangan guru Katolik yang mengajar di sekolah tersebut serta ibu bapa murid yang menawarkan diri dengan rela untuk menjadi guru pembimbing Program KASiH.

Tim Program Kasih daripada Keningau

Objektif lawatan Tim Program Kasih Keninagu adalah untuk menyokong rakan guru, memberikan taklimat mengenai sejarah bermulanya penubuhan Program KASiH sejak 10 tahun yang lalu, berkongsi pengalaman dan mengeratkan jalinan kasih antara sesama sebagai sebuah keluarga Katolik. Secara tidak langsung, kehadiran Tim Program Kasih SRK St Francis Xavier, menjadi duta kecil mewakili Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dalam mengeratkan hubungan sesama dengan Keuskupan Sandakan.

Perasmian Program KASiH SRK Holy Trinity, Tawau

Perasmian Program KASiH SRK Holy Trinity telah disempurnakan oleh Dikon Dafrin Dewol.

Puan Helena Edirin semasa dalam sesi perkongsian beliau mengenai suka duka memulakan program ini, beliau berkata “Kita harus berpijak di bumi yang nyata, pada masa kini. Ini kerana sememangnya kita yang hidup di kalangan masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama seharusnya berani untuk mengambil peluang untuk menjadi agen penyebar khabar gembira kepada anak-anak didik yang kita layani dari pelbagai denominasi.

“Dengan adanya program seumpama ini, kita mampu membina, mengembangkan dan memperdalamkan iman anak-anak agar saat mereka menuju ke alam kedewasaan, di mana pun mereka ‘dicampakkan’ mereka pasti akan mencari gereja dalam hidup mereka. Oleh yang demikian ibu bapa bukan sahaja telah mewariskan iman kepada anak-anak tetapi juga melalui Program KASiH ini mereka belajar mencintai, mengasihi dan mahu membina relasi yang baik dengan Tuhan.”

Program KASiH ini bermatlamat untuk melahirkan insan yang cemerlang dan seimbang dari segi rohani, emosi, jasmani dan intelek, melahirkan insan yang berdaya tahan tinggi menangani cabaran iman masa kini dan akan datang, melahirkan insan penyayang dan bertanggungjawab  sosial, menghormati, menyayangi dan mencintai gereja serta melahirkan insan yang berbudaya menyembah Tuhan.

Erti disebalik perkataan KASiH ialah Kasih Allah Selalu iringi Hidupku yang membawa makna mendalam dalam membentuk iman dan rohani kanak-kanak agar mereka mengerti bahawa Allah sentiasa menyertai (Immanuel).

Tim Program Kasih Keningau bersama guru pembimbing SRK Holy Trinity Tawau

9 orang guru pembimbing dan ibu bapa secara sukarela menjadi pembimbing Program KASiH SK Holy Trinity Tawau telah diutus dalam Misa Kudus oleh Msgr. Nicholas Ong. Beliau juga menyokong program tersebut diwujudkan di SK Holy Trinity dan berharap agar program seumpama ini dapat terus berkembang di sekolah-sekolah mission yang lain.

Msgr. Nicolas juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tim Program KASiH Keningau yang turut bersama dalam masjlis perasmian dan perutusan para pembimbing Program KASiH SRK Holy Trinity Tawau. Menjadi harapan agar sekolah-sekolah mission di Negeri Sabah juga mampu menyahut cabaran dalam mewujudkan Program KASiH sebagai menyahut misi sempena Tahun Missionari dengan tema “Dibaptis dan Diutus” seperti yang telah dilancarkan oleh Bapa Suci Franciskus.

Program KASiH ini juga telah wujud di beberapa buah sekolah sekitar Keuskupan Keningau seperti SK St. Patrick Membakut, SRK St. Theresa Tambunan, SRK St. Pius Pamilan, SRK St. James Apin-Apin dan SMK St. Francis Xavier Keningau. Alice Benedict

Sharing is caring!

Leave a Reply