ZIARAH STATUE BONDA MARIA DAN IKON KELUARGA KUDUS

KENINGAU : Pada 26 Februari lalu, Statue Bonda Maria dan Ikon Keluarga Kudus yang telah menziarahi seluruh Keuskupan Keningau telah tiba kembali ke KSFX. Ziarah yang berlangsung selama 30 hari itu merupakan salah satu pengisian sempena dengan persiapan sambutan Jubli Perak Keuskupan Keningau.

Penutupan Ziarah ini dimulakan dengan doa Rosari yang diadakan di Dewan Solidariti oleh LOM kemudian perarakan dari dewan masuk ke dalam gereja. Misa penutupan disempurnakan oleh YM Uskup Cornelius Piong dengan kehadiran 4 orang paderi dan Dikon David. 

Uskup dalam homilinya menyatakan bahawa peranan Bonda Maria adalah sangat besar kerana kerelaannya menjadi saluran kehadiran Yesus kepada manusia. Kerana kerelaan Bonda Maria, maka terlaksana penyelamatan Tuhan kepada manusia yang sering jatuh ke dalam dosa. Beliau juga menyeru agar umat meningkatkan devosi kepada Bonda Maria supaya cabaran-cabaran dalam kehidupan dapat diatasi sama ada dalam individu mahupun keluarga serta mendoakan persiapan sempena Jubli Perak Kuskupan Keningau.

Pn. Stella Kinsik, Pengerusi MPP yang juga merupakan Tim Perlaksana mengungkapkan kesyukuran dan terima kasih kepada Tim Perlaksana dan juga kepada ahli-ahli LOM atas kerjasama dan usaha dalam mempersiapkan Penutupan Ziarah. Beliau berharap agar usaha seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang.

Pn. Maria Kuntiou, selaku President Komisium mengucapkan kepada ahli-ahli yang terlibat, MPP, Komiti-komiti kerana sama-sama memeriahkan Misa Penutupan Ziarah.

Seusai perayaan Misa, para hadirin dijemput bersama dalam jamuan kesyukuran di Dewan KSFX. Slide show sempena sepanjang perjalanan Ziarah di seluruh Keuskupan Keningau ditayangkan kepada umat. KOMSOS KENINGAU