BERJALAN BERSAMA YESUS

Renungan Hari Minggu Biasa Ke-3 (B)

 Yun 3:1-5,10; 1Kor 7:29-31; Mrk 1: 4-20

 

berjalanPermainan bola sepak merupakan permainan yang sangat digemari oleh ramai manusia sejagat. Ada yang suka terlibat langsung di dalam permainan di padang, ada yang suka sekadar menonton namun tidak kurang yang suka membuat perjudian atas permainan bola sepak tersebut.

Tetapi bagi mereka yang terlibat langsung di dalam permainan bola sepak tersebut, mereka dituntut untuk berdisplin dalam latihan yang memerlukan usaha yang gigih. Sebab permainan bola sepak yang profesional harus berkorban agar memperolehi kemahiran yang tinggi untuk mencapai kemanangan.

Di dalam Injil hari ini, kita melihat murid-murid Yesus yang pertama: Simon Petrus, Andreas, Yakobus dan Yohanes, yang sedang dalam proses untuk mengalami suatu petualangan yang hampir sama dengan apa yang dialami oleh para pemain bola sepak. Mereka mengalami masa-masa kegembiraan, atau kesedihan kerana mencapai kemenangan ataupun kekalahan.

Keempat-empat orang murid Yesus tersebut dan lapan orang lain yang akan menyertai mereka, juga akan mengalami kehidupan yang bertahap, yang boleh disamakan dengan misteri-misteri rosari. Jelas sekali kisah Injil pada hari ini bagaikan ‘Misteri Gembira’. Orang merasa teruja tentang ‘Khabar Gembira,’ yang akan diumumkan oleh Yesus. Bahawa murid yang pertama itu sungguh beria-ia sangat untuk mengikuti Yesus, menyatakan bahawa mereka turut berkongsi sama dengan keterujaan dan keinginan orang-orang pada waktu itu. Dengan meninggalkan keluarga serta pekerjaan yang sudah menjadi kehidupan mereka itu, boleh mengakibatkan sesuatu yang tidak baik terhadap diri mereka sendiri serta keluarga mereka yang tersayang. Namun, sebagai balasannya, mereka percaya dapat berjalan bersama dengan Yesus yang dianggap sebagai Sang Nabi. Ada juga yang percaya bahawa Dia itu adalah Sang Mesias yang sudah lama ditunggu-tunggu, yang nantinya akan membebaskan mereka daripada orang-orang Romawi.

Mereka semua semakin percaya kepada Yesus apabila mereka menyaksikan kuasa penyembuhan-Nya. Namun itu semua hanyalah permulaan kisah cerita yang panjang mengenai Yesus.

Yesus menggesa kepada mereka yang ingin menjadi murid-Nya, untuk belajar daripada-Nya. Hendaknya mereka mengikuti-Nya bukan sekadar melihat tetapi juga mengambil peranan di dalam kehidupan dan missi-Nya.

Akhirnya mereka mengetahui bahawa Yesus itu lebih daripada sekadar melaksanakan mujizat dan lebih daripada sekadar guru yang berkuasa. Mereka menyedari bahawa Yesus itu adalah Sang Anak yang taat setia terhadap kehendak Allah Bapa hingga ke akhir hayat-Nya.

salibApabila Yesus dan para murid-Nya berjalan bersama ke Yerusalem, maka bermulalah pula babak kehidupan yang harus para murid-Nya tempuhi, iaitu babak “Misteri Kesengsaraan.” Jika mereka tetap setia dan bertahan, maka kesengsaraan tersebut boleh berubah menjadi kegembiraan yang tidak boleh diambil oleh siapapun juga.

Tetapi sayang, apabila kita membaca terus sambungan Injil itu tadi, kita mengetahui bahawa para murid tersebut tidak dapat bertahan. Namun, Yesus tetap membimbing mereka yang lemah itu sehingga mereka “lulus” dalam “ujian” menjadi murid-Nya, lalu akhirnya diutus ke dunia sebagai rasul-Nya yang luar biasa.

Dengan demikian, kita dapat memahami bahawa menjadi murid Yesus melibatkan peristiwa gembira, peristiwa sedih, peristiwa mulia dan peristiwa terang. Perkara ini masih tetap berlaku di zaman sekarang, sama seperti apa yang dialami oleh murid-murid di zamannya Yesus, bahawa menuju kepada salib itu perlu dilalui oleh para pengikut-Nya juga. Dalam kata lain, kita tidak dapat lari daripada melewati “pintu yang sempit” (Lih Mt 7:14) itu untuk mencapai kemuliaan kebangkitan.

Pada hari ini kita mempelajari tiga hal yang penting sebagai pedoman hidup harian kita:

  1. Kita bersyukur kepada Tuhan kerana sudi memanggil kita dan memperkatakan kita bukan hanya berdasarkan lahiriah tetapi juga hal-hal yang tersembunyi jauh di lubuk hati kita yang sesungguhnya menjadi kekuatan kita untuk bertumbuh dan berubah.
  2.  Melalui pandangan mata Yesus, kita mulai mampu memandang sesama kita lebih bersifat positif. Iaitu mampu melihat kebaikan sesama kita yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar kita, sehingga kita mampu mengasihi sesama apa adanya.
  3.  Kita mulai sedar bahawa betapapun kita lemah dan seakan-akan tidak ada harapan untuk bangkit lagi, namun kita percaya dan tetap berharap bahawa melalui berkat dan rahmat Allah, kita tetap boleh menjadi orang yang lebih baik lagi.

Pada hari ini kita terus mendengarkan panggilan Yesus, “Mari, ikutilah Aku!” Mengikuti-Nya bererti suatu perjalanan iman yang tidak lari daripada persoalan was-was, sedih, gembira. Namun percayalah, suatu penamat yang menggembirakan pasti terjadi, sebab Yesus telah mendahului kita untuk mencapai kemuliaan tersebut.

Maka semasa hidup di dunia ini, hendaknya kita tetap bertumbuh, berbuah dan bertahan di dalam iman, minda, jasmani dan rohani kita. (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD:

  1. Menurut pengalaman anda, apakah cabaran yang paling hebat yang anda alami dalam proses mengikuti Yesus?
  2. Dalam memilih murid-murid, Yesus tidak hanya melihat sifat-sifat mereka yang lahiriah tapi juga hal-hal yang terdapat jauh dilubuk hati mereka. Apakah hikmahnya sikap Yesus ini dalam hubungan kita dengan sesama?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Ingatlah orang yang paling anda tidak suka. Cuba anda ‘masukkan’ diri anda ke dalam orang tersebut dan carilah sekurang-kurangnya tiga sikap atau gaya hidup orang tersebut yang anda suka dan kagumi. Kemudian fikirkan hal-hal yang positif tentang orang tersebut.

MENDENGAR DAN MENYAHUT PANGGILAN TUHAN

Renungan Hari Minggu Ke-2 (B)

1Sam 3:3-10,19; 1Kor 6:13-15,17-20; Yoh 1:35-42

 

Suatu hari seorang pakar motivasi memberi ceramah kepada sekumpulan mahasiswa yang sebentar lagi akan menamatkan pengajian mereka di universiti. Dia melekatkan selambar kertas putih yang lebar di papan tulis lalu melukiskan bulatan kecil berwarna hitam dan bertanya kepada seorang mahasiswa yang duduk di barisan hadapan tentang apa yang dilihatnya pada kertas tersebut. “Bulatan hitam” jawabnya dengan penuh kepastian. Kemudian penceramah itu bertanya lagi kepada setiap orang mahasiswa yang lain dengan pertanyaan yang sama dan masing-masing mereka menjawab, “bulatan hitam”.

Dengan tenang penceramah itu berkata, “Ya, memang ada bulatan hitam, tetapi tidak ada seorang pun menyebutkan selambar kertas putih yang lebar. Sebenarnya inilah tajuk ceramah yang ingin saya sampaikan kepada anda.”

mataTidak dapat dinafikan bahawa kita seringkali ‘ditipu’ oleh apa yang kita lihat sehingga apa yang sebenarnya yang kita cari dan mahu mendapatkannya, tidak kita temui. Walhal benda atau perkara tersebut ada di sekitar kita malah ada di depan mata kita. Mungkin inilah yang menyebabkan kita selalu bertanya; “Apa, siapa, kenapa, di mana dan bagaimana?”

Di dalam Injil hari ini menceritakan kisah dua orang murid Yesus yang sedang mencari dan menemukan sesuatu yang sangat berharga. Mereka telah menemukan Yesus. Sama seperti teman-teman mereka yang lain, mereka pun sedang menunggu kedatangan Mesias. Apabila Yohanes Pembaptis menunjukkan mereka kepada Yesus, mereka dengan serta merta menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan orang yang mereka harap-harapkan itu.

Apabila Yesus bertanya, “Apakah yang kamu cari?” mereka tidak menjawab “permata,” “emas” atau ‘harta karun”. Sebaliknya mereka menjawab bahawa mereka sedang mencari Dia. Jika benar-benar mahu mencari Yesus, maka terdapat banyak kesempatan untuk menemukan-Nya, sebab Dia selalu berada di dekat kita dan sentiasa berkata-kata pada kita. Tuhan sangat mengasihi kita dan apabila kita menemukan-Nya maka kita akan dipelawa-Nya untuk tinggal bersama dengan-Nya bukan hanya untuk sehari atau sepanjang hidup tetapi kekal abadi bersama dengan-Nya.

Pengalaman kegembiraan menemui Yesus telah dialami dan dikongsikan oleh jutaan orang di dunia ini seperti yang pernah dialami oleh orang-orang di Betania, di zaman Yesus masih berada di dunia ini. Kita bertemu dengan-Nya dan bertanya di mana Dia tinggal. Dia akan menjawab, “Saya hidup dan tinggal di dalam dirimu, sesamamu dan di dalam alam yang telah Kuciptakan untuk kamu. Tubuh-Ku yang dimuliakan kamu temui melalui Ekaristi dan di dalam Sabda-Ku melalui Kitab Suci.”

heartPersoalannya, apakah nilai-nilai kehidupan yang memenuhi masa dan perhatian kita? Yesus pernah berkata, “Di mana hartamu berada, di situ juga hatimu berada” (Lk 12:34).

Pelawaan Yesus kepada dua orang murid tadi dan juga kita ketika ini, “Marilah dan kamu akan melihat-Nya,” merupakan satu seruan untuk mengikuti-Nya sama seperti yang dialami oleh Samuel dalam pembacaan pertama tadi. Apabila Tuhan memanggil Samuel, ia menjawab, “Bersabdalah, ya Tuhan, hambamu mendengarkan.” Tetapi seandainya Tuhan bercakap kepada manusia di zaman ini, besar kemungkinan memberi jawaban seperti ini, “Bersabdalah Tuhan, nanti saya fikir-fikirkan dan mempertimbangkannya,” sambil menyempurnakannya dengan kata-kata basi, “Tengoklah nanti kalau sesuai dengan keadaan.”

Memang sikap kebanyakan orang masa kini suka “tunggu dan lihat” dan tidak mahu terikat pada sesuatu secara segera. Selalu terbuka pada pilihan-pilihan yang terbaik untuk diri sendiri agar tidak terikat atau bergantung pada orang lain. Memang kita tidak mahu mengatakan bahawa kita tertutup terhadap panggilan Tuhan, tetapi kita hanya mahu tahu apa yang perlu kita lakukan dan apakah syarat-syarat yang harus kita penuhi. Lonjakan iman yang radikal bagi Abraham, Samuel dan raja Daud dianggap baik untuk mereka tetapi bukan untuk kita di zaman yang serba moden ini.

Sifat panggilan Tuhan kelihatan tidak terancang. Tuhan tidak memberi batas terhadap kasih-Nya atau panggilan-Nya untuk melayani. Pada dasarnya, apabila kita menjawab panggilan Tuhan, kita sebenarnya menyetujui suatu hubungan perjanjian. Kita tidak terikat pada konrak dengan Tuhan. Tidak terdapat perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Perhubungan kita dengan-Nya berasaskan kemurahan hati, kesetiaan, ketaatan dan semangat yang mahu melakukan sesuatu yang lebih yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apa lagi ditulis di atas kertas. Tidak ada masa-masa atau sesuatu perkara yang tertutup hanya untuk diri kita. Semuanya telus dan terbuka. Apa yang kita miliki semuanya dari Tuhan, dan ianya perlu digunakan untuk memuliakan kemuliaan-Nya dan demi pelayanan terhadap sesama yang memerlukan.

Persoalannya, apakah yang kita cari di dalam hidup ini? Memang kita semua mahu mencari kebahagiaan tetapi semuanya itu bersifat sementara belaka. Hanya Yesus adalah jalan untuk menuju ke kebahagiaan yang sejati. Kita dipanggil untuk hidup sedemikian rupa sehingga orang lain tertarik untuk datang dan melihat di mana Yesus tinggal. Dengan demikian terdapat martabat yang luar biasa di dalam panggilan kristian kita. Sebab kita adalah milik Kristus, kita adalah warga Allah melalui kematian dan kebangkitan Kristus.

Panggilan untuk mengikuti-Nya sudah disampaikan kepada kita masing-masing. Semoga kita bersiap sedia mendengarkannya dan melihat di mana Dia berada sebab, “Kamu bukan milik kamu sendiri, … kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: kerana itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!” (1Kor 6:20). (JL)

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD

  1. Tuhan ada di mana-mana tetapi kita lebih suka pergi ke tempat-tempat yang jauh berziarah hanya untuk ‘melihat’ Tuhan. Mengapakah Tuhan itu sukar disedari kehadiran-Nya dalam hidup seharian kita?
  2. Suara Tuhan ada di antara suara-suara yang kita dengar setiap masa. Apakah yang perlu kita lakukan agar suara Tuhan itu boleh kita dengar dan menanggapinya?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Belajarlah seni menenangkan fikiran di tengah-tengah kebisingan suasana kehidupan anda agar dapat mendengar suara Tuhan. Misalnya mengambil masa untuk bersendirian dengan Tuhan. Ambil masa untuk bersama dengan Tuhan di depan Sakramen Mahakudus.

PEMBUBARAN MAJLIS PASTORAL PAROKI (MPP)

Sukacita dimaklumkan kepada umat Katolik Paroki KSFX bahawa MPP (ZON, KUK, KKD, Kerasulan, Komiti) sesi 2012-2012 sudah dibubarkan pada 14 Januari 2015.

Namun ahli-ahli MPP yang ada sekarang sekarang masih menjalankan pelayanan sehingga pelantikan AJKT MPP yang baru.

Dengan pembubaran MPP maka proses pemilihan pastoral perlu dijalankan diperingkat KKD, KUK, ZON dan MPP mengikut jadual yang diperuntukan bagi setiap peringkat:

a) Proses pemilihan peringkat KKD: 25 Januari – 7 Februari 2015

b) Proses pemilihan KUK dan ZON: 8 Februari – 21 Februari 2015

c) Proses pemilihan MPP KSFX: 28 Februari 2015

Kepada semua umat diperingkat KKD, KUK, ZON, Paroki Pusat, marilah kita sama-sama ambil peduli dan turut serta dalam proses pemilihan pastoral ini agar kita dapat menikmati pentadbiran pastoral yang komited dan efektif di setiap peringkat Paroki. Gereja adalah ‘KITA’ bukan ‘DIORANG’.

+ Bishop Datuk Cornelius Piong

PEMBAPTISAN PERLU DIHAYATI

Renungan Pesta Pembaptisan Kristus (B)

Yes 55:1-11; Kis 10:34-38; Mrk 1:7-11

 

Gereja Katolik sentiasa menekankan keluhuran sakramen inisiasi. Ibu bapa yang mahu bayi mereka dibaptis diharapkan untuk taat menghadiri misa kudus serta menghadiri pertemuan-pertemuan ibu bapa untuk mempersiapkan diri menghadiri pembaptisan bayi mereka. Bagi orang-orang dewasa yang mahu dibaptis, diharapkan untuk taat menghadiri katekesis serta membiasakan diri dengan aktiviti-aktiviti Gereja terutama Liturgi dan banyak berdoa.

airPembaptisan merupakan asas dalam sistem Sakramen. Ianya sangat asas bagi kehidupan kerohanian kita sehingga ia bagaikan hari kelahiran kita yang kedua. Yesus telah menjelaskan perkara ini kepada Nikodemus sebagai dilahirkan semula (lih Yoh 3:3).

Pembaptisan memberikan kita kelahiran baru di mana kita menjadi anak-anak Allah segera sesudah kita dibersihkan daripada noda dosa. Air yang digunakan semasa pembaptisan merupakan tanda dosa kita disingkirkan. Pembaptisan menyucikan kita daripada dosa-dosa asal sejak kita dilahirkan. Bagi yang dewasa, dibersihkan daripada dosa-dosa yang dilakukan sebelum dia dibaptis.

Tanda salib yang diberikan di atas dahi bayi semasa pembaptisan adalah tanda bahawa bayi tersebut dimiliki oleh Kristus yang telah mati di kayu salib dan sekarang menawarkan bantuan dan rahmat-Nya agar anak tersebut dapat mengatasi segala penderitaan hidup.

Kain putih yang dikenakan pada bayi tersebut adalah lambang kesucian dan kehidupan baru. Sebagai anak Allah, orang yang dibaptis itu menerima cahaya Kristus. Lilin dipasang daripada lilin Paska yang digunakan semasa pembaptisan merupakan lambang Kristus yang adalah terang dunia itu. Lilin pembaptisan tersebut mengingatkan kita bahawa cahaya Kristus tersebut dan api tersebut merupakan tanda api iman yang akan sentiasa bercahaya sepanjang hidup kanak-kanak tersebut.

Sebagai anak-anak Allah, orang yang dibaptis tersebut berkongsi kuasa di dalam kuasa Roh Allah. Sementara pengolesan dengan minyak krisma ke dada bayi yang dibaptis itu pula merupakan tanda bahawa bayi tersebut dikurniakan dengan kurnia Roh Kudus. Maka, bayi yang akan dibaptiskan itu akan mendapatkan kesemua kurnia Roh Kudus, tapi dengan syarat bahawa bayi tersebut harus percaya sebagai peringatan St. Paulus kepada umat di Kolose: “Kerana dengan Dia kamu dikuburkan dalam baptisan, dan didalam Dia kamu turut dibangkitkan juga oleh kepercayaanmu kepada kerja kuasa Allah yang telah membangkitkan Dia dari orang mati” (Kol 2:12).

Di sini kita mengalami sedikit masalah. Mungkin ada orang bertanya, jika iman itu merupakan syarat seseorang untuk dibaptis, bagaimanakah seorang bayi yang belum tahu apa-apa itu boleh dibaptis secara sah? Ya, tetapi Gereja tetap percaya bahawa pembaptisan bayi itu perlu dan harus sebab percaya bahawa pembaptisan itu penting demi penyelamatan sesuai dengan apa yang pernah dikatakan oleh Kristus sendiri. “Jika seorang tidak dilahirkan dari air dan Roh, ia tidak dapat masuk ke dalam kerajaan Allah” (Yoh 3:5).

Walaupun Gereja tidak mendapat alasan yang jelas di dalam Perjanjian Baru tentang pembaptisan bayi, namun ianya mendapat beberapa rujukan daripada Kisah Para Rasul yang menyatakan tentang seorang baptisan baru yang adalah seorang ketua penjara di Filipi, yang telah diterima untuk dibaptis bersma-sama dengan “seisi rumah”nya (Kpr 16:31). Pernyataan tersebut mungkin melibatkan kesemua anak-anaknya, termasuk bayi-bayi yang ada di dalam keluarganya.

pembaptisanSehubungan dengan iman sebagai syarat pembaptisan, Gereja percaya bahawa pembaptisan bayi tetap sah sebab iman bayi tersebut dipenuhi melalui ibu bapa dan melalui komuniti Gereja. Memang iman yang diberikan kepada bayi tersebut, perlu dikembangkan melalui komitmen peribadi dalam bentuk pendidikan, pembentukan di dalam keluarga dan komuniti Gereja.

Ini bererti bahawa ibu bapa yang membawa bayi mereka untuk dibaptiskan, mempunyai tanggung jawab yang besar terhadap perkembangan iman bayi tersebut. Bibit-bibit iman yang telah ‘dimulakan’ semasa pembaptisan ke dalam hidup bayi tersebut memerlukan penjagaan dan cinta kasih daripada ibu bapa agar iman anak tersebut kian berkembang dari semasa ke semasa. Perkara ini menuntut kehidupan kerohanian ibu bapa yang sederhana dengan ajaran Kristus agar bayi tersebut membesar dan dapat mengalami bagaimana seharusnya hidup sebagai seorang kristian yang sejati.

Sehubungan dengan sikap ibu bapa yang dapat membangun kepribadian anak mereka ini agar semakin manusiawi dan bersifat kristian, maka baiklah kita renungkan kata-kata nasihat berikut ini yang tidak diketahui nama penulisnya: “Anak yang selalu dikutuk akan menjadi pengutuk dan yang selalu dimarahi akan menjadi pemarah. Anak yang selalu diejek akan menjadi pemalu dan yang dipermalukan akan selalu merasa bersalah. Tetapi anak yang hidup di dalam suasana tolak ansur akan menjadi seorang yang penyabar dan yang hidup dalam suasana saling menyokong, akan menjadi seorang yang berkayakinan. Anak yang hidup dalam suasana dihargai, akan menjadi orang yang suka menghargai dan yang hidup dalam suasana keadilan akan sentiasa bersikap adil. Anak yang hidup dalam suasana aman damai akan menerima dirinya apa adanya. Anak yang hidup dalam suasana diterima sebagai seorang peribadi yang berharga, akan merasakan cinta kasih yang sejati di mana pun dia berada di dunia ini.”

Seorang ahli teologi, Bernard Cooke, ada mengatakan di dalam bukunya, Christian Sacraments and Christian personality, “Pembaptisan kita bukan merupakan suatu tindakan yang terjadi hanya sekali dan seterusnya tidak ada susulan yang berguna untuk kehidupan. Tetapi kesemua kepentingan sakramen pembaptisan ini berlalu secara dinamik ke dalam hidup harian sebagai seorang kristian.”

Pendek kata, tidak cukup jika kita hanya dibaptis atau bayi kita dibaptis secara pasif. Tetapi kita harus membiarkan kuasa sakramen tersebut menjadi kuasa yang mendorong kita hidup seperti yang pernah dilakukan oleh kristus sendiri. Sebab, “Iman tanpa perbuatan adalah iman yang kosong” (Yak 2:20). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD

  1. Apakah yang anda fahami bahawa melalui pembaptisan, kita dilahirkan semula atau kita menerima kelahiran baru?
  2. Melalui pembaptisan, kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang dikehendaki oleh Tuhan. Apakah perkara-perkara yang perlu kita lakukan itu?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Biasanya kita hanya merayakan hari kelahiran di dalam keluarga atau komuniti kita. Cubalah mulai minggu ini anda senaraikan hari pembaptisan keluarga anda dan rayakanlah hari tersebut supaya setiap ahli keluarga dapat menghayati erti pembaptisan tersebut.

REKOLEKSI MENGENALI DAN MENGASIHI EKARISTI UNTUK PARA KATEKUMEN PERINGKAT PAROKI KSFX 2015

Keningau – Pada 10 Januari 2015 para pengajar Sekolah Minggu Paroki KSFX mengadakan rekoleksi bertajuk “Mengenali dan Mengasihi Ekaristi” bertempat di Dataran Keuskupan, Keningau. Rekoleksi ini merupakan bahagian program kerja yang telah direncanakan tahun 2015 dalam menyambut tema Keuskupan Keningau pada tahun ini dengan nara sumber Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong dan Seminarian Wilfred.

Rekoleksi ini dihadiri oleh semua peserta katekumen yang bernaung di bawah Paroki KSFX yang berjumlah 333 orang. Pada intinya Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong menyampaikan proses dan makna perayaan Ekaristi. Ekaristi adalah santapan rohani bagi umat Katolik. Yesus sungguh-sungguh hadir dan kehadiran umat bukanlah kerana hokum tetapi kerana kerinduan hati untuk bersatu dengan Yesus yang adalah Sumber dan Puncak. Beliau juga mengongsikan pengalaman beliau sebagai seorang paderi waktu itu. Walaupun sudah ditahbiskan sebagai paderi, beliau masih terus berusaha mencari tahu tentang kekayaan yang terkandung dalam Ekaristi. Dan ketika beliau sudah ditahbiskan menjadi Uskup, beliau merasa adanya tanggungjawab besar bagi beliau untuk mendidik dan mengajarkan kepada umat untuk semakin menghargai Ekaristi. Di akhir sesi, beliau sekali lagi mengingatkan bahawa kehadiran kita ke perayaan Ekaristi bukanlah atas kehendak kita, melainkan undangan Yesus sendiri: “Marilah kepada-Ku…” (bdk Mat 11:28).

Selanjutnya, Seminarian Wilfred membawa para peserta untuk mengenali Ekaristi dari sudut sejarah. Bagaimana Ekaristi boleh tertubuh, Simbol-simbol yang ada dalam Ekaristi dan mengapa Ekaristi adalah Sumber dan Puncak hidup seorang kristiani. Peserta yang hadir tidak hanya mendapat pengetahuan secara teori belaka tetapi juga pengalaman peribadi dari kedua penceramah yang sedikit sebanyak telah membuka mata dan hati para peserta untuk mengenal dan mengasihi Yesus yang hadir dalam sekeping hosti yang telah dikonsekrasi.

Semua info-info yang telah diterima tidak dibiarkan begitu sahaja. Para peserta akhirnya dibagi menjadi beberapa kelompok. Tujuannya adalah membiarkan para peserta mengongsikan apa yang telah mereka perolehi dari kedua ceramah berkenaan. Selanjutnya mereka diberi kesempatan untuk membentangkan hasil perkongsian kelompok. Walaupun baru bergelar sebagai katekumen, tetapi pengetahuan dan kesediaan mereka untuk menjadikan Yesus sebagai Juruselamat dan Penebus, begitu membanggakan. Semoga iman yang telah tumbuh semakin berkembang sesuai dengan perkembangan rohani peribadi masing-masing peserta.

Rekoleksi pada kali ini diakhiri dengan makan tengahari bersama. Ini adalah ungkapan terima kasih atas berkat yang telah Tuhan berikan di awal tahun yang baru ini. Semoga Ekaristi, Yesus yang sungguh hadir dalam sekeping hosti yang kecil, membuat para peserta semakin rindu untuk menyambutnya.

 

SONY DSC
Bishop Cornelius Piong, salah satu penceramah pada seminar kali ini.

SONY DSC

SONY DSC
Seminarian Wilfred, salah seorang penceramah dalam seminari pada kali ini. Beliau membawa para katekumen untuk mengenali siapakah Gereja itu, Simbol-simbol dan sejarah bagaimana Ekaristi itu terjadi.

 

SONY DSC
Seramai 333 katekumen peringkat paroki KSFX telah mengikuti seminari yang dianjurkan pada kali ini.

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC

SONY DSC
Inilah wajah-wajah para pembimbing yang sempat hadir pada seminar kali ini. Mereka meluangkan waktu untuk bersama para katekumen kali ini.

SONY DSC