BERDOA DAN BEKERJASAMA DENGAN ALLAH

Hari Minggu Biasa Ke – 13 ( B )

Keb. 1:13-15; 2:23-24  ; 2Kor. 8:7,9,13-15; Mrk. 5:21-43

 

berdoaMenjelang peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM, kita akan melihat ramai murid sekolah berkunjung ke gereja atau grotto Bunda Maria dengan satu tujuan agar mereka dibantu dalam menjawab soalan-soalan peperiksaan, walaupun tahu bahawa selama ini mereka malas mengulang kaji pelajaran mereka. Apabila keputusan peperiksaan hampir diumumkan pula, maka kita akan mendengar banyak permohonan-permohonan doa baik waktu novena, ibadat sabda mahupun semasa perayaan Ekaristi agar mendapat keputusan yang cemerlang supaya dapat melanjutkan pelajaran ke Institusi Perguruan Tinggi yang terbaik. Sikap-sikap atau kebiasaan seperti ini diteruskan pula dengan permohonan-permohonan yang lain sama ada untuk kesihatan, penyembuhan, supaya mendapat pekerjaan yang baik, wang yang mencukupi, mendapat isteri atau suami yang baik dan bermacam-macam lagi. Orang datang kepada Allah agar mendapatkan mujizat ke atas diri mereka. Dengan berbuat demikian mereka sebenarnya membuat Allah itu semacam Santa Klaus yang mengabulkan segala permohonan mereka. Mereka lupa bahawa mereka sebenarnya harus melakukan sesuatu dan jangan terlalu berharap pada Allah. Dengan kata lain mereka harus bekerjasama dengan Allah untuk mencapai keinginan mereka itu.

Apabila memikirkan ini semua saya teringat pengalaman saya sendiri yang banyak kali terjadi akibat lupa dan lalai. Suatu ketika saya ingin membancuh kopi tetapi air di dalam termos sudah habis. Saya mencabut wayar termos tersebut daripada soket elektrik lalu mengisikannya dengan air daripada paip air, kemudian memasukkan wayar termos tersebut ke dalam soket elektrik dan pergi membuat kerja-kerja yang lain.

Beberapa minit kemudian saya kembali dengan harapan agar air tersebut telah siap untuk membancuh kopi panas. Namun apa yang terjadi, air dalam termos tersebut masih belum panas. Rupa-rupanya setelah diperiksa dengan teliti, rupa-rupanya saya terlupa memasang suis soket elektrik tersebut. Memang kuasa elektrik ada di dala soket tersebut tetapi saya tidak dapat menyalurkannya ke termos tersebut sebab penyambungan tidak dilakukan.

Di dalam Injil tadi dua peribadi, iaitu perempuan yang menderita pendarahan serta Jairus, melakukan lebih daripada sekadar berdoa atau percaya kepada Yesus. Mereka juga tetap berusaha dengan menggunakan segala yang ada pada waktu itu untuk dapat berhubung dengan Yesus. Melalui gabungan usaha mereka sendiri serta iman dan doa kepada Yesus membuatkan permohonan mereka dikabulkan.

ora

St. Ignatius dari Loyola pernah memberi nasihat, “Bekerjalah,” katanya, “Seakan-akan segalanya berharap pada Allah, dan berdoalah seakan-akan segalanya bersandarkan pada dirimu.” Ini bererti bahawa kita harus berusaha belajar, mendapatkan pekerjaan atau mencari obat yang sesuai untuk menyembuhkan penyakit kita. Namun begitu, kita harus ingat bahawa dengan berusaha sendiri itu belum cukup. Kita harus mohon campur tangan Tuhan dalam segala apa yang kita lakukan. Pada masa yang sama kita harus selalu mohon kepada Allah atas segala keperluan kita, sambil sentiasa sedar bahawa kita harus bekerja sama dengan-Nya melalui usaha-usaha kita sendiri. Dengan kata lain, hendakya kita sentiasa berpegang pada slogan, “berdoa dan bekerja” sebagai pemangkin iman dan minda kita.

Seperkara yang menarik dengan kisah perempuan yang menderita pendarahan dalam Injil tadi ialah kegigihannya untuk berusaha sembuh serta imannya yang luar biasa terhadap kuasa penyembuhan Yesus, “Asalku jamah saja jubah-Nya,” katanya, “Aku akan sembuh” (Mk 5:28).

Dan memang betul dia sempat menjamah jubah Yesus. Pada saat itu kuasa disambungkan kepada wanita tersebut sehingga kuasa penyambuhan itu mengalir dari Yesus kepada perempuan tersebut.

Namun pada masa yang sama kita mendengar bahawa ramai orang-orang yang menjamah Yesus termasuk orang-orang Farisi dan Saduki, tetapi tidak ada apa-apa perubahan di dalam diri mereka. Malah Yesus sendiri tidak dapat melakukan apa-apa penyembuhan kepada mereka. Mengapa demikian?

Memang orang-orang tersebut melihat, mendengar dan menyentuh Yesus, namun tidak ada apa-apa yang terjadi kepada mereka. Mengapa? Mereka bagaikan air dalam termos yang saya ceritakan tadi. Mereka belum disambungkan ke dalam kuasa Yesus. Sama ada mereka menolak untuk percaya pada kuasa penyembuhan-Nya atau mereka tidak memikirkan-Nya. Maka tidak ada apa perubahan yang terjadi pada mereka walaupun dekat pada Yesus. Kesilapan bukan terletak pada Yesus tetapi pada diri mereka sendiri.

Pilihan seperti ini pun terjadi pada diri kita masing-masing. Kuasa Yesus ada pada setiap kita tetapi boleh terjadi “suis” kuasa tersebut belum atau sengaja kita tidak pasang. Sebab sekali kita membuat hubungan dengan-Nya, maka kuasa Yesus tersebut akan merubah kita. Lalu Dia memanggil kita untuk saling menyembuhkan antara satu dengan yang lain. Hidup kita akan terus menjamah sesama kita sehingga akhirnya kita mulai bertanya pada diri kita sendiri apa sebenarnya yang keluar dari mulut kita, dari tingkah laku kita dan dari perhubungan kita dengan sesama – melukai atau menyembuhkan?!

Agar Khabar Gembira Injil itu sentiasa hidup, maka kita perlu menghidupinya di dalam kehidupan harian kita. Ini berereti pada hari ini kita dijemput untuk menjadi saluran kuasa penyembuhan Kristus seperti apa yang pernah dikatakan dan diamalkan oleh St.Francis: “Di mana terdapat kebencian, jadikanlah daku pembawa damai; di mana terdapat luka-luka batin, jadikanlah daku pendamai…” (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1          Mengapakah doa-doa kita untuk mendapatkan sesuatu kadang-kadang seakan-akan tidak diendahkan oleh Tuhan?

2     Perempuan yang menderita pendarahan dalam Injil tadi rajin berusaha untuk menjamah Yesus agar disembuhkan. Apakah hikmah yang boleh kita perolehi dari sikap wanita yang cekal itu?

Cadangan aktiviti minggu ini

Senaraikan permohonan-permohonan anda kepada Tuhan yang anda rasakan penting dan mendesak. Buatlah perancangan jangka pendik dan jangka panjang bagaimana anda mencapai keinginan yang anda mohon tersebut, doakanlah dan berusahalah dengan gigih dan segera.