KITA DICIPTA TUHAN UNTUK MELAYANI

Hari Minggu Biasa Ke 25 ( B )

Keb.2:12,17-20      Yak.3:16 – 4:3      Mrk.9:30-37

anthonyAnthony De Mello, seorang penulis renungan yang terkenal, pernah menulis sebuah renungan yang bertajuk, “Anda diciptakan untuk melayani.”

Saya melihat ada seorang gadis cilik di tepi jalan, kedinginan, mengigil dan kelaparan. Saya menjadi marah pada Tuhan dan berkata, “Tuhan, mengapa Engkau membiarkan perkara ini berlaku kepada gadis cilik ini? Mengapa Engkau tidak berbuat sesuatu?”

Pada malam itu juga saya mendengar suara kecil jauh di dalam lubuk hati saya yang berkata, “Saya sudah berbuat sesuatu untuk itu, dengan menciptakan engkau. Apa yang telah engkau perbuat terhadap hal itu pula?

Sedar atau tidak, kita sebenarnya dicipta Tuhan untuk melayani, bukan lebih-lebih untuk dilayani atau menyuruh orang lain melakukan sesuatu agar keadaan menjadi baik. Pengantar Injil pada hari ini berbunyi: “Allah memanggil kita untuk memperoleh kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus” (2Tes 2:14), hanya dengan syarat, jika kita mahu melayani seperti Dia dan bukan untuk dilayani.

Sejak dahulu hingga sekarang, memang banyak orang lebih suka dilayani daripada melayani. Orang lebih suka berada di muka umum dengan menampakkan kelebihan-kelebihan dan kejayaannya. Memang banyak orang suka mengumpulkan harta benda dan wang ringgit yang banyak untuk didermakan kepada badan-badan kebajikan yang terdaftar supaya nama mereka terpampang di muka depan surat-surat khabar utama serta mengukir nama mereka di papan-papan perasmian bangunan yang mendapat derma daripada mereka. Ada juga orang-orang yang ingin terkenal melalui buku-buku yang dikarangnya serta meraih pelbagai ijazah. Ada juga mahu terkenal dengan cara menjadi penceramah bebas baik di dalam Gereja mahupun di luar Gereja. Malah ada juga yang mencipta lagu dan menerbitkan banyak album lagu-lagu yang dinyanyikannya sendiri. Kesemuanya ini tidak mempunyai nilai di mata Tuhan jika ianya hanya dilaksanakan berlandaskan kepentingan diri sendiri serta meraih keuntungan dan hanya untuk kemegahan sendiri.

Sikap-sikap duniawi, seperti inipun sebenarnya pernah dialami sendiri oleh para murid Yesus seperti yang terdapat dalam Injil hari ini. Mereka bertengkar kerana berebut-rebut tempat tertinggi sebab mereka menyangka Yesus datang ke dunia ini untuk membentuk sebuah kerajaan duniawi. Maka tidak hairanlah kebanyakan ahli-ahli politik di masa kini pun, saling berebut-rebut untuk mendapat tempat tertinggi di dalam kerajaan dengan apa cara sekalipun demi mencapai cita-cita mereka. Semua perkara-perkara ini berlaku mungkin sikap keegoan manusia yang agak keterlaluan sehingga membawa mala petaka pada diri sendiri pula.

Konon suatu ketika, seekor munsang bertemu seekor ayam jantan. Dasar munsang, dia ingin memakan ayam tersebut dengan cara yang licik. “Hai ayam jantan, perdengarkanlah saya suaramu yang merdu itu.” Oleh kerana bangga kerana dipuji maka berkokoklah si ayam jantan yang ego itu. Pada saat itulah sang munsang menerkamnya lalu melarikannya ke dalam hutan. Orang-orang kampung yang melihat lalu berteriak, “Hoi munsang lepaskan ayam kami.” Ayam jantang yang mulai sedar bahawa dia ditipu, lalu berkata, “Hei munsang, katakanlah kepada orang kampung itu, ‘ayam ini saya punya’ dengan suara yang nyaring.” Sang munsang yang bodoh itu lalu berteriak sekuat tenagannya, “Hai orang kampung, ini ayam sayaaaaaaaaaaaa!” Ayam terlepas dari mulutnya, lalu terbang menyelamatkan dirinya. Munsang marah pada dirinya sendiri lalu menghempas-hempaskan mulutnya dipokok kayu hingga berdarah, “Bodoh, saya memang bodoh, jika tidak malam ini saya makan ayam.”

Pesan Injil pada hari ini sangat mudah dan sederhana. Yesus mengharapkan agar kita berusaha secara sedar, tahu dan mahu untuk tidak mementingkan diri sendiri, tidak terlalu mengharapkan pangkat dan kedudukan. Walaupun seseorang itu berkuasa, terkenal dan disegani, namun jika dia berjiwa sederhana, rendah hati, maka dia akan sentiasa ingat bahawa segala yang dimilikinya itu adalah dari Allah, sebab, “Makin besar engkau, makin patut kau rendahkan dirimu supaya kau dapat karunia di hadapan Tuhan” (1Sir 3:18). Sikap yang terpuji ini boleh kita miliki hanya jika kita sanggup menolak pengaruh sikap dengki dan cemburu yang keterlaluan di dalam hidup kita.

serveYesus berkata, “Orang yang mahu menjadi nombor satu, ia harus menjadi yang terakhir dan harus menjadi pelayan semua orang” (Mk 9:35). Dengan kata lain, kehebatan kita dinilai oleh Tuhan melalui pelayanan kita terhadap sesama dan komuniti kita tanpa mengharapkan pangkat, pendapatan yang lumayan atau keberuntungan di masa akan datang.

Salah satu peluang yang ada pada kita adalah menggunakan bakat-bakat yang kita miliki untuk membantu sesama kita melalui pelayanan kasih. Selain wang ringgit dan harta milik, kita sebenarnya mempunyai banyak sumber yang kita miliki untuk dikongsikan pada sesama kita. Misalnya kita mempunyai kemahiran teknologi maklumat, kepimpinan dalam masyarakat dan Gereja, mahir dalam perdagangan, kewangan dan macam-macam lagi. Ini hanyalah sekadar beberapa contoh yang boleh kita kongsikan bagi kepentingan sesama dalam komuniti kita. Sebab, apabila seseorang itu menggunakan bakat-bakat yang dimilikinya demi pelayanan sesamanya, percayalah dia akan mengalami suatu kepuasan yang tak terkatakan sebab dia akan menjadi seperti Yesus yang datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani.

Sebagai renungan kita seterusnya, konon ada seorang pemuda mengeluh kepada malaikat pelindungnya begini: “Melayani, melayani, melayani. Saya sudah puas dan penat melayani dari dahulu hingga sekarang. Bolehkah saya rehat melayani sesama saya sekarang?” Malaikat menjawab, “Tuhan dari dahulu hingga sekarang terus melayani, melayani dan melayanimu. Bagaimana kalau Tuhan berhenti melayanimu sekarang…? Fikir-fikirkanlah. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

  1. Orang yang bagaimana menurut Yesus adalah orang yang terhebat dan terunggul, lebih-lebih lagi jika dia itu seorang pemimpin?
  2. Apakah perbezaan kehebatan dan keunggulan seorang pemimpin duniawi dengan pemimpin kristiani?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Mungkin selama ini kita selalu berkata, “Mengapa, mengapa, mengapa Tuhan?” Tetapi cubalah ubah sikap kita agar lebih positif dengan mengatakan “Mengapa tidak?” apabila kita menghadapi pelbagai masalah kehidupan, sehingga masalah menjadi kesempatan baik untuk kita melakukan sesuatu untuk sesama demi kemuliaan Tuhan.

MINGGU KATEKETIKAL: IMAN KEPADA KRISTUS ADALAH MENGENAL DIA, MENGASIHI DIA DAN BERSAKSI BAGI DIA

IMAN KEPADA KRISTUS ADALAH

MENGENAL DIA,MENGASIHI DIA DAN BERSAKSI BAGI DIA

Kasih karunia dan damai Tuhan Yesus kepada semua.

Sebagai rakyat Malaysia, kita semua suka makanan. Kita mempunyai gerai kegemaran laksa atau koay teow goreng di mana tempat kita akan membawa keluarga, rakan-rakan dan pengunjung kita. Iman dalam Kristus ibarat seperti “gerai laksa” atau “gerai koay teow goreng” – kita ingin mengunjung semula gerai tersebut berulang kali dan ingin berkongsinya dengan orang lain. Iman adalah untuk disayangi dan dikongsikan. Itulah tema minggu kateketikal tahun ini: “Iman dalam Kristus – untuk mengenali Dia, mengasihi Dia, untuk berkongsi-Nya”

Apakah itu iman dalam Kristus? Iman adalah respons peribadi yang bebas kita akan kepercayaan terhadap Tuhan. Iman dalam Yesus Kristus adalah mempercayai bahawa Ia adalah anak Tuhan, wahyu penuh Allah Bapa. Iman dalam Tuhan dinyatakan melalui ibadah kita, doa-doa dan sakramen-sakramen serta kesaksian hidup. Ini adalah respons kita kepada anugerah iman Allah.

Cabaran besar yang dihadapi oleh pengetahuan kita mengenai Kristus hari ini adalah apabila berhadapan dengan persoalan tentang agama, pelampau agama, polarisasi kaum, pertukaran agama yang tidak beretika, Islamisasi, isu mengenai perkataan “Allah”, pelbagai bentuk ketidakadilan serta isu-isu sosial dan ekonomi yang lain yang kita hadapi hari ini sebagai rakyat Malaysia. Dalam menghadapi cabaran-cabaran ini, saya perlu bertanya pada diri sendiri jika saya mempunyai jawapan-jawapan yang diperlukan.

Tindakan kita sebagai umat Katolik bukanlah suatu respons yang bersifat pencerobohan atau berputus-asa tetapi seperti kata St. Paul iaitu untuk “berdiri teguh dan berpegang sekuat-kuatnya kepada tradisi yang telah diajarkan oleh kami, sama ada secara lisan atau dengan surat kami” (2 Thes 2: 15). Sama seperti kita yang membincangkan tentang gerai laksa mana yang terbaik, kita dijemput untuk berbincang dan memahami iman melalui Firman Allah – Alkitab – dan Tradisi Gereja kita dalam komuniti paroki kita. Kita berharap bahawa dengan “niat mencari kefahaman” (St. Anselm) kita melalui pembacaan, penyelidikan dan doa, kita akan mengenali Yesus dan mengasihi-Nya.

Dalam menikmati makanan laksa atau kaoy teow goreng bersama dengan keluarga dan rakan-taulan, kita mengingati bahawa kebanyakan ajaran penting Yesus telah dikongsikan sewaktu jamuan makan bersama dengan kawan-kawan-Nya. Bagaikan semangkuk laksa atau kaoy teow goreng yang enak untuk dinikmati dan dikongsi, dalam kita mengenali dan mengasihi Yesus, begitu juga kita boleh berkongsi pengalaman kita tentang Yesus bersama orang lain. Kita boleh berkongsi bagaimana Kristus telah memakbulkan doa-doa kita, pengalaman rohani kita, hubungan kita yang mengembirakan dengan Yesus, suatu yang kita belajar tentang iman atau pemahaman kita tentang siapa itu Allah. Adalah diharapkan dengan berkongsi iman kita tentang Yesus, orang lain turut digalakkan dan diperkukuhkan dalam perjalanan iman mereka sendiri atau berubah untuk percaya kepada Yesus. Iman yang dikongsi akan menjadi lebih indah, agama menjadi suatu kegembiraan dan Yesus menjadi nyata.

Semoga Maria, Ibu Tuhan, yang pertama mengenali, mencintai dan berkongsi tentang Yesus, memberi syafaat untuk kita.

Komisi Kateketikal Malaysia

MEMBACA TANDA-TANDA ZAMAN

Hari Minggu Biasa Ke 24 ( B )

Yes. 50:5-9      Yak. 2:14-18    Mrk. 8:27-35

 

Paus Yohanes ke 23 pernah mempopularkan ekspresi, “membaca tanda-tanda zaman” sebagai salah satu cara untuk melihat campur tangan di alam maya ini. Berdasarkan konsep ini, sebelum bercakap tentang Allah, seseorang harus terlebih dahulu mendengar dan melihat keadaan di persekitaran kita kemudian merenunginya lebih mendalam lagi untuk mengetahui apa mesej yang Allah mahu sampaikan kepada manusia.

timesKonsep “membaca tanda-tanda zaman” ini beranggapan bahawa Allah itu aktif berkarya di dunia dan di dalam manusia itu sendiri. Melalui renungan terhadap apa yang terjadi di dunia masa kini, kita diharapkan untuk dapat belajar banyak tentang Allah.

Fahaman ini sangat bertentangan dengan “takdir” di mana segala sesuatu di dunia ini dilihat sebagai sesuatu yang sudah ditentukan oleh Allah dan terpulanglah kepada orang-orang yang beriman untuk menerima apa adanya.

Konsep membaca “tanda zaman” ini digunakan juga oleh Yesus seperti yang kita dengar dalam Injil tadi. Yesus tertarik dengan apa yang terjadi dan apa yang difikirkan oleh orang-orang di sekeliling-Nya. Hal ini merupakan sumber pengetahuan tentang realiti yang pertama. Dia bertanya kepada murid-murid-Nya, “Kata orang, siapakah Aku ini?” Lalu dijawab oleh murid-murid-Nya secara rambang. Kemudian Yesus pergi ke tahap ke dua di mana pengetahuan tentang realiti itu, iaitu Allah sendiri ditemukan. Yesus bertanya, “Tetapi apa katamu, siapakah Aku ini?” Apa kata suara hatimu sendiri? Soalan Yesus ini bagaikan suatu ujian para katekumen yang hampir dibaptis. Petrus menjawab dengan singkat, padat dan berisi lalu mendapat markah A+ daripada Yesus, “Engkau adalah Mesias!”

Menurut Injil Matius 9:17-19 sesudah Petrus memberi jawapan yang jitu itu, Yesus berkata kepadanya, “Berbahagialah engkau Simon bin Yunus sebab bukan manusia yang mengatakan itu kepadamu, melainkan Bapa-Ku yang dari syurga.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan sumber pengetahuan Ilahi yang ketiga, iaitu Bapa di syurga. Oleh kerana jawapannya yang bijaksana itu, maka Petrus diberi kenaikan pangkat dengan serta merta, “Dan Aku pun berkata kepadamu: Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaat-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya.”

Melalui petikan Injil tadi, kita mendapat tiga sumber pengetahuan tentang Allah. Pertama, melalui kejadian-kejadian alam di sekitar kita. Kedua, dunia yang ada di dalam diri kita sendiri, ketiga, terdapat wahyu Allah, bahawa Allah telah menanamkan kebenaran-kebenaran-Nya di dalam setiap individu yang bersifat misteri dan yang tidak akan pernah ditemui hanya melalui pengamalan atau mengkaji diri manusia itu sendiri.

ciptaanTempat-tempat di mana kita dapat menemui Allah, juga menyatakan tempat-tempat di mana kita harus memberi respons terhadap-Nya. Kita seharusnya memberi respons terhadap-Nya melalui penyembahan. Memberi respons dengan mendengar sabda-Nya, melalui usaha sama dengan komuniti dan masyarakat setempat untuk mewujudkan suasana hidup yang saling prihatin antara satu dengan yang lain, maka ini pun merupakan respons kita terhadap-Nya yang hidup di antara kita.

Namun kita semua mengalami, mengikut Yesus itu bukan susah tetapi bukan juga mudah. Kita boleh merenungi diri kita dengan membaca “tanda-tanda zaman”nya Petrus. Belum beberapa jam sesudah Petrus dinaikan pangkat Yesus mulai berkata tentang pergi ke Yerusalem dan menghadapi penderitaan. Seketika itu juga Petrus yang baru diberi kuasa itu melarang Yesus dengan keras supaya menarik balik niat-Nya yang menurut Petrus, merugikan itu.

Tetapi Yesus dengan nada yang sangat marah lalu berkata, “Enyahlah Iblis, sebab engkau bukan memikirkan apa yang difikirkan Allah melainkan apa yang difikirkan manusia.”

‘Iblis’ bukanlah nama yang baik untuk Petrus, saya dan anda, Iblis bererti makhluk jahat yang kerjanya menghasut manusia supaya berbuat jahat, berkelahi dan mengingkari perintah Allah. Mengapa perkara ini terjadi pada Petrus, dan kita juga? Sebabnya dia dan kita, gagal membaca “tanda-tanda zaman” tersebut.

Persoalannya, apakah fokus kehidupan kita sama seperti Petrus? Apakah fikiran kita sama seperti Petrus.

Seorang aktivitis kemanusiaan, Bro. Anthony Rogers, berpendapat bahawa kesilapan yang terbesar di dunia kita masa kini adalah dikotomi (=pembahagian) antara iman dan kehidupan. Seseorang itu boleh menjalani hidup beriman tetapi pada masa yang sama tidak mempedulikan sesamanya yang sungguh memerlukan bantuan. Beliau menjelaskan pendapatnya ini dengan sebuah illustrasi yang sangat menarik. “Seorang yang bernama Eddy Murphy sangat rajin menghadiri misa setiap minggu. Tetapi apabila dia meninggal, dan bertemu Petrus di pintu syurga, Eddy tidak layak untuk memasukinya. Kenapa? Sebab hidupnya bukan ditentukan hanya hari minggu sahaja, tetapi dia diadili atas apa yang telah dia buat dari hari Isnin hingga hari Sabtu.”

Mungkin kita kenal Yesus hanya hari Minggu. Bagaimana dengan hari Isnin hingga hari Sabtu? Kenalkah kita dengan-Nya melalui tanda-tanda zaman. Kenalkah kita siapa Ibils dalam hidup kita? Atau saya memang Iblis? (JL)

 Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.

1          Seandainya Yesus tiba-tiba datang di hadapan anda dan bertanya: “Menurut kamu, siapakah Saya?” Apakah kiranya jawaban anda?

2          Apakah budaya atau amalan yang paling baik kita lakukan agar iman kita terhadap Kristus sehaluan dengan perbuatan kita melalui sesama?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Soalan Yesus “Siapakah Aku menurut kamu” memerlukan keseluruhan hidup kita untuk menjadi jawabannya. Maka kita perlu berusaha dengan tekun untuk hidup sesuai dengan cinta kasih Tuhan agar hidup kita sungguh diterima dan diberkati oleh Tuhan.

SURAT PASTORAL

Rev Fathers, Diakon, para Religius Brothers dan Sisters, Seminarian, Komuniti Betania,

Pengerusi dan Ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti, Komuniti dan Semua Umat.

Saudara-saudari yang saya kasihi dalam Kristus,

Damai Kristus beserta kita.

Berikut beberapa perkara yang perlu kita beri perhatian bersama:

  1. 16hb September 2015, Hari Kebangsaan kita rakyat Malaysia.

Kebaikan Negara dan rakyat adalah tanggungjawab kita bersama. Sangat diharapkan agar setiap Paroki dan Mission di seluruh Keuskupan Keningau akan dapat mengadakan Misa Kudus dalam menyambut Hari Kebangsaan kita. Kita berdoa bagi para pemimpin Negara serta rakyat yang berbilang kaum, agama dan budaya agar sentiasa memilih dan memihak kepada kehendak Tuhan dan dilindungi dari pengaruh-pengaruh jahat. Iman dan sikap kita terhadap Tuhan dan sesama akan menentukan slogan “sehati sejiwa” terlaksana.

  1. 4hb Oktober 2015, Hari Tamu Solidariti Paroki KSFX.

Ianya merupakan program Pastoral Tahunan dimana umat diperingkat Zon Kuk, KKD, Komiti, Komuniti dan keluarga dapat mengungkapkan semangat kesatuan dan solidariti dengan menyumbang bahan-bahan jualan, membeli kupon dsb bertujuan mencari dana untuk Paroki dan Keuskupan. Pada tahun ini 50% dari sumbangan kasih Tamu Solidariti kita akan disumbangkan kepada Tabung Pembangunan Pusat Ziarah, Keluarga Kudus, Nulu Sosopon Keningau. Marilah kita sama-sama memberi sokongan terhadap aktiviti pastoral ini dengan membeli kupon-kupon yang sedang dijual. Datanglah beramai-ramai membeli sambil beramal pada 4hb Oktober 2015, bertempat di Dataran Keuskupan, bermula pada jam 9.30 pagi. Jemputan ini adalah ditujukan kepada setiap Umat di dalam dan di luar Keuskupan Keningau.

  1. Pentahbisan Dikon Harry Dorisoh dan Dikon Hilanus Simon menjadi Paderi.

Kita sama-sama beroa bagi kedua-dua Dikon ini agar mereka dapat mempersiapkan peribadi dengan baik sehingga melahirkan keyakinan dan kerendahan hati melayani menyerupai Kristus. Pentahbisan Dikon Harry Dorisoh di Paroki KSFX pada 10 Oktober 2015, Misa Kudus bermula jam 10.00 pagi. Manakala Dikon Hilanus Simon akan ditahbiskan pada 17 Oktober 2015 di Paroki St Valentine Beaufort, Misa Kudus bermula jam 10.00 pagi.

  1. 20hb September 2015, Hari Minggu Katiketekal.

Tema menyambut Minggu Katiketekal pada tahun ini adalah: “Iman kepada Kristus adalah mengenali Dia, mengasihi Dia dan bersaksi bagi Dia”. Cita-cita kita Umat Allah Keuskupan Keningau mahu “dibangun menjadi komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani kerajaan-Nya” perlu berlandas kepada pengenalan dari kasih kita terhadap Yesus agar kita dapat bersaksi bagi Dia. Ibubapa, para katekis pembimbing dan kita semua perlu membangun iman kristiani berlandaskan tiga tonggak ini agar kita dapat mewariskan iman kristiani sejati kepada anak-anak, para katekumen dan sesama.

  1. Seminar Kepemimpinan Kristiani.

Satu seminar bertemakan “Kepemimpinan Kristiani” akan dianjurkan oleh Tim Pastoral Keuskupan pada 13-14 November 2015, bertempat di RRKK Tatal. Seminar tersebut adalah bertujuan membantu para Pelayan dan Pemimpin Umat untuk mengenali kerohanian, strategi dan skil pelayanan dan kepemimpinan Kristiani.

Sangat diharapkan agar wakil MPP/MPM, KWK, KBK, Komisi, Komiti, KKD dan Katekis dari setiap Paroki dan Mission dapat meluangkan masa untuk menyertai seminar tersebut. Tidak ada yuran dikenakan tetapi kita akan meminta sumbangan kasih dari setiap Paroki melalui pungutan ke-3 pada 8 November 2015. Kita doakan agar persiapan dan pelaksanaan seminar tersebut diberkati Tuhan.

Kebahagiaan Adalah Kekitaan

+Bishop Datuk Cornelius Piong