TABAH, SABAR DAN BERJAGA-JAGA

Renungan Hari Minggu Adven Pertama (C)

Yer.33:14-16     1Tes. 3:12 – 4:2     Luk.21:25-28,34-36

 

advent

Seorang biarawati bekerja sebagai seorang perawat di rumah sakit. Dia membantu seorang doktor pakar bedah bertahun-tahun lamanya. Setiap kali pembedahan selesai, doktor tersebut selalu bertanya dengan nada mengejek, “Sungguh lucu, sister, setiap kali kita membedah orang, kita tidak pernah menemukan jiwanya.”

nunsBiarawati tersebut selalu menjawabnya sambil lewa, “Kami akan menemukan jiwamu doktor, sebelum engkau mati. Engkau tidak dapat lari dari kenyataan ini. Saya akan sentiasa mendoakanmu.” Seperti biasa doktor tersebut memberi jawapan yang sama: “Lebih baik sister simpan doa sister tersebut untuk orang lain, bukan saya.”

Suatu hari sang doktor pergi bercuti, dan beberapa hari kemudian terdengar berita bahawa doktor tersebut tiba-tiba jatuh sakit lalu meninggal dunia. Biarawati tersebut langsung ke capel dan berdoa, “Tuhan, saya pasti Engkau telah menyelamatkan jiwanya. Di akhir hayatnya Engkau telah memberikannya iman yang teguh.” Lalu pada penghujung doanya dia menambah “Tetapi bolehkah Engkau memberikan aku kepastian sama ada dia sudah Engkau selamatkan atau belum?”

Memang Tuhan memberikannya jawaban. Sebab beberapa jam kemudian tersebar berita bahawa doktor tersebut telah dibawa ke rumah sakit di mana terdapat ramai biarawati bertugas sebagai juruwarat. Dan doktor itu sendiri telah meminta agar paderi datang membaptisnya. Memang dia sempat dibaptis dan menerima sakramen yang terakhir lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jelas dalam kisah yang menarik ini mengatakan bahawa doa seorang biarawati yang tekun, sabar dan tanpa putus-putusnya itu telah menyelamatkan jiwa seorang doktor yang pada mulanya tidak percaya pada Tuhan itu.

Masa Adven yang kita mulakan pada minggu ini dan berterusan hingga ke hari Krismas, adalah merupakan perayaan ketekunan, kesabaran dan tidak kenal putus asa. Dalam masa kurang lebih empat minggu masa Adven ini, kita diajak untuk merenungi kembali tentang masa yang berabad-abad lamanya menunggu kedatangan Yesus ke dunia ini.

Semangat ketabahan dan kesabaran akan dapat membantu kepada mereka yang selalu dalam keadaan tergesa-gesa dalam segala perkara termasuk dalam hal beribadah kepada Tuhan. Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita melayani Tuhan yang berada di tempat yang abadi di mana terdapat kehidupan yang tidak tergesa-gesa. Tetapi kita yang berada di dunia fana ini selalu diajar dan dikejar oleh masa. Untuk mengenal Tuhan dan juga diri kita sendiri agar menjadi dekat, maka kita perlu sentiasa berfikir dan berdoa kepada-Nya di dalam keadaan yang aman dan ketenangan. Bukan di dalam keadaan tergesa-gesa atau ala kadar belaka.

handTuhan perlu diutamakan di dalam hidup ini. Lebih dari segalanya. Namun kita mesti sentiasa ingat bahawa walaupun Tuhan itu akan datang, tapi kita tidak tahu bila masanya. Maka tidak hairanlah ramai yang mengeluh: “Mengapa semasa hidup menantikan kedatangan Tuhan saya mengalami pelbagai masalah?” Tuhan, di dalam kebijaksanaan dan kebaikan-Nya, memberi kita pelbagai cabaran yang bukan hanya membuat kita menjadi peribadi yang mantap, tetapi juga mencabar kita untuk mengalami hidup yang tidak selalu selesa.

Apa yang dimaksudkan di sini, bahawa orang-orang yang hidup selesa dan tidak mempunyai apa-apa masalah akan menghadapi bahaya untuk melupakan Tuhan. Dia merasakan begitu selesa di dunia ini sehingga lupa akan kehidupan kekal yang sedang menunggunya. Yesus di dalam Injil tadi menegur kita dengan lantang. “Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti mata jerat” (Lk 21:34).

Peringatan untuk berjaga-jaga ini sangat jelas kita lihat dalam bentuk dugaan-dugaan kehidupan seharian dan malah kadang-kadang dalam kejadian-kejadian yang menyayat hati untuk membuat kita agar sentiasa berwaspada bahawa tanpa Tuhan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Dengan adanya pelbagai dugaan dan trajedi kehidupan tersebut, maka kita akan sentiasa disedarkan daripada sikap kita yang bodoh, yang hanya berpuas hati pada apa yang kita perolehi di dunia yang fana ini.

Apapun yang kita alami dalam kehidupan ini, janganlah membuat kita berputus asa sebab hari Krismas yang kita nanti-nantikan itu bererti Sang Juruselamat datang memberikan kita kekuatan dan penyelamatan. Apa yang penting kita lakukan sekarang ini adalah melakukan pesan-pesan Yesus sepanjang masa Adven ini. Pertama, MEGETAHUI kehendak Allah, kerana itulah yang merupakan sumber kebijaksanaan kita; kedua, MENCARI kehendak Allah, kerana itulah merupakan penemuan yang paling agung; dan ketiga MELAKUKAN kehehendak Allah, kerana itulah yang merupakan kejayaan kita yang terhebat.

Maka marilah sentiasa, “Berjaga-jaga…sambil berdoa, supaya…beroleh kekuatan untuk luput dari semua yang terjadi itu, dan supaya kamu tahan berdiri di hadapan Anak Manusia”           (Lk 21:36). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1          Apakah yang anda fahami tentang Adven?

2          Apakah yang perlu kita lakukan sepanjang masa Adven?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Buatlah pelan tindakan untuk diri anda dan untuk keluarga anda dalam hal mempertingkatkan lagi pendalaman iman semasa musim Adven ini.

ALLAH BERTAKHTA DI DALAM HATI KITA

Renungan Hari Besar Kristus Raja

Dan.7:13-14     Wah. 1:5-8     Yoh. 18:33-37

 

christ

Menurut catatan sejarah Gereja, Hari Minggu Kristus Raja dimulakan oleh Paus Pius ke 11 pada tahun 1925. Paus Pius mahu menjelaskan kepada para golongan anti Gereja pada waktu itu bahawa Gereja tidak bergantung pada kuasa politik melainkan hanya pada Kristus Raja. Memang sejak semula Gereja mengakui bahawa Kristus adalah satu-satunya Raja seperti yang dapat kita baca dalam Injil Mat 25:34-40.

Pada kesempatan ini sangat baik bagi kita untuk merenungi “kerajaan” yang bagaimana Yesus Kristus ini menjadi Rajanya.

Ketika Pilatus bertanya Yesus yang tertuduh itu, apakah Dia memang seorang Raja, Dia menjawab “Ya” (Lih Yoh 6:14-15, 18:33-37). Tetapi pada masa yang sama Yesus menjelaskan bahawa Dia bukanlah jenis raja yang difikirkan oleh Pilatus dan orang-orang di sekitarnya pada waktu itu.

Takhta Yesus bukanlah di dunia ini, tetapi Dia bertakhta di hati setiap pengikut-Nya lalu meresapinya dengan nilai-nilai dan sikap-sikap yang diingini oleh Tuhan, sehingga Paulus pernah mengatakan, “…aku hidup, tetapi bukan lagi aku sendiri yang hidup, melainkan Kristus yang hidup di dalam aku” (Gal 2:20). Ini bererti bahawa campur tangan Tuhan secara aktif di dalam hati seseorang itu, menjadikan dia semakin sama dengan sifat-sifat Yesus sehingga Yesus berkenan menyapa kita dengan kata-kata, “…engkau tidak jauh dari Kerajaan Allah” (Mk 12:34).

repentence

Yesus pernah juga berkata, “Bertobatlah sebab Kerajaan Allah sudah dekat” (Mt 3:2). Melalui kata-kata ini nampaknya Yesus bukan menyuruh kita untuk merubah kepribadian kita, misalnya, dari sikap pemalu menjadi berani, sikap kekanak-kanakan menjadi lebih dewasa. Namun apa yang Dia kehendak adalah tranformasi nilai-nilai dalaman, sikap dan pendekatan kita terhadap hidup ini sendiri sesuai dengan ajaran-Nya.

Kerajaan Allah ditubuhkan melalui misteri kesengsaraan dan kebangkitan Kristus, tetapi penyempurnaannya yang terakhir akan terjadi apabila Dia datang kembali di dalam kemuliaan-Nya pada waktu penghakiman terakhir. Maka bolehlah dikatakan bahawa Kerajaan Allah itu “Sudah datang” tetapi “Belum lagi.” Belum lagi menjadi kenyataan tetapi memang sudah ada.

Masa penantian di antara menaikkan Kristus ke syurga dan kedatangan-Nya kembali pada akhir zaman, bukanlah suatu masa untuk bersantai-santai atau membuang masa bagi para pengikut-Nya. Sebaliknya pada masa inilah kita menghadapi cabaran untuk terus memantapkan kerajaan Kristus di dunia ini agar menjadi tempat yang selesa, aman dan damai dengan diwarnai oleh cinta kasih Kristus. Untuk menjelaskan maksud penantian kedatangan Sang Raja Penyelamat ini, mungkin kisah dongeng berikut ini dapat membantu kita.

Alkisah ada seorang raja yang sangat bijaksana. Suatu hari raja tersebut memanggil kesemua empat orang puteranya dan memberi tahu mereka bahawa dia akan berpergian ke suatu tempat dengan memakan masa yang cukup lama. “Semasa ketiadaan ayahanda, ayahanda mahu kamu menjaga kerajaan dengan baik,” kata raja tersebut, sambil memberikan segenggam padi kepada setiap orang puteranya tanpa memberi penjelasan untuk apa padi tersebut.

Putera yang sulung segera menyimpan padi tersebut di dalam kotak emas lalu diletakkannya di atas meja makan. Setiap hari dia melihat padi tersebut dan mengingati ayahandanya.

Putera yang kedua pun berbuat demikian juga, tetapi bukan dalam kotak tetapi peti kayu yang biasa lalu menyorokkannya di bawah tempat tidurnya. Putera yang ketiga pula yang memang seorang yang bersifat praktikal, tidak suka diganggu dengan perkara-perkara yang dianggapnya sepele itu berpendapat, “Padi ini nampaknya tidak ada bezanya dengan padi yang lain…” lalu tanpa berfikir panjang, dia membuangnya begitu sahaja.

Sementara putera yang bungsu pula membawa padi tersebut ke dalam bileknya dan merenungi maksud pemberian ayahandanya tersebut. Hampir setahun kemudian barulah dia memahami apa maksud pemberian tersebut lalu berbuat sesuatu sesuai dengan suara hatinya. Beberapa tahun kemudian sang raja kembali lalu bertemu dengan para puteranya dan bertanyakan tentang padi yang dihadiahkannya sewaktu berpergian dahulu.

Puteranya yang sulung bergegas keluar membawa padi yang disimpannya di dalam kota emas, “Ayahanda” katanya “Saya telah menyimpan padi ini di dalam kotak emas, di mana setiap hari anakkanda melihatnya.” Raja menerima kota emas tersebut dan berkata, “Terima kasih!”

Kemudian Putera yang kedua membawa kotak kayu yang berisikan padi. “Selama ini saya menyimpan padi ini di dalam kota kayu dan menyimpannya dengan rapi di bawa tempat tidur,” kata putera tersebut lalu raja menerima kota kayu tersebut dan berkata, “Terima kasih!”

Putera yang ketiga pula tergesa-gesa pergi ke dapur mencari dan mengambil segenggam padi yang memang sudah ada tersimpan di dapur. “Ayahanda, terimalah padi ini,” sang raja tetap menerimanya dan mengucapkan, “Terima kasih!”

padiAkhirnya putera yang bungsu datang menghadapi sang raja tanpa membawa padi. “Kemanakah sudah padi yang ku berikan kepadamu tempah hari?” tanya sang raja. “Setelah anakanda memahami maksud pemberian ayahanda, anakanda menanam padi tersebut lalu menuai dan menanam lagi hasil tuaian tersebut berkali-kali hingga ayahanda kembali,” kata putera bungsu tersebut, “Marilah lihat di luar sana.” Memang betul sang raja melihat hamparan jelapang padi sejauh mata memandang.

Sang raja mendekati putera bungsu tersebut, menanggalkan mahkota emas dari kepalanya lalu mengenakannya ke atas kepala puteranya sambil berkata, “Engkau telah mengetahui dan melaksanakan maksud padi yang ayahanda berikan itu.” Kata sang raja dengan penuh kegirangan. Sejak hari itu putera bungsu tersebut menjadi raja yang sangat bijaksana, adil penuh dengan cinta kasih.

Melalui cerita dongeng tersebut, kita pun sebagai pengikut Kristus yang setia, Sang Raja Penyelamat itu, tidak harus duduk seperti tiga orang putera raja tersebut dan berharap agar Raja kita melakukan segalanya untuk kita. Sebaliknya kita dipanggil untuk bekerja sama membangun Kerajaan Allah. Sebab apabila Dia datang kembali, Dia akan meminta setiap kita mempertanggung jawab segala perbuatan kita terhadap sesama dengan bakat-bakat yang sudah diberikan-nya kepada kita.

Persoalannya, sudahkah kita melakukan segala yang dikehendaki oleh Tuhan kita perbuat…? (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

  1. Menurut anda, siapakah Yesus itu bagi kehidupan anda sendiri?
  2. Apakah perbezaan antara kerajaan duniawi dengan kerajaan Allah yang diajarkan oleh Yesus itu?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Renungkan betul-betul siapakah raja kehidupan anda selama ini. Betulkah raja kehidupan anda adalah Yesus Kristus. Bagaimana jika anda sakit atau mengalami pelbagai kesusahan, apakah Yesus masih bertakhta di hati atau malah masih mahu mencari kuasa-kuasa gelap?

APA YANG DITANAM ITULAH YANG KITA TUAI

Renungan Hari Minggu Biasa Ke 33 (B)

Dan.12:1-3; Ibr 10: 11-14,18; Mrk.13:24-32

Sejak dahulu orang suka berspekulasi dan meramal hari kiamat. Mereka meramalkan tarikh dan masa tetapi sampai sekarang ramalan tersebut belum ada yang benar. Akhir-akhir ini tanda-tanda hari mahu kiamat semakin diperkatakan kerana memandangkan banyak bencana alam terjadi di mana-mana di seluruh dunia, lebih-lebih lagi perubahan cuaca sudah tidak menentu lagi.

Minggu ini kita sudah berada di ambang pintu untuk mengakhiri kalender Gereja. Injil pada hari ini seakan-akan menyimba air ke atas segala ramalan dan spekulasi panas tentang hari kiamat. Yesus memberikan kita nasihat: “Tentang hari atau saat itu tidak seorang pun yang tahu, malaikat-malaikat di syurga tidak, dan Anakpun tidak, hanya Bapa saja” (Mk 13:32).

Yesus menasihati kita supaya tidak terlalu memikirkan terhadap hari kiamat tapi menumpukan kehidupan kita seharian. Dengan kata lain, apa yang penting adalah hari ini.

Tetapi masalahnya bagi setiap kita, persoalan hari kiamat itu selalu kita baca dalam Alkitab. Menurut pengertian kita, ‘akhir zaman’ itu telah dijangkakan sebagai kematian dan kebangkitan Yesus. Di dalam Yesus, keselamatan kita telah dicapai namun kita belum sepenuhnya menikmatinya. Fahaman bahawa kita sudah diselamatkan namun ‘belum lagi’ ini boleh kita bayangkan seperti kita terhidu bau ayam goreng dari dapur sebelum kita makan tengah hari. Kita tahu ayam goreng itu sedang dihidangkan tapi kita belum lagi menjamahnya. Demikian juga hakekat kerajaan Allah tersebut.

Pesan-pesan Yesus merupakan harapan yang sebenarnya boleh diperolehi di dunia ini. Ianya merupakan pesan-pesan yang menyatakan bahawa Allah berjalan bersama kita di dalam suka mahupun duka dan bahawa sabda-Nya sentiasa hadir bersama kita untuk memberi cahaya pengharapan. Memang pesan-pesan Yesus ini cukup mencabar dan kurang menyenangkan: “Apa gunanya seorang memperoleh seluruh dunia, tetapi ia kehilangan nyawanya?” (Mk 8:36).

loves“Kasihilah musuhmu dan berdoalah bagi mereka yang menganiaya kamu” (Mt 5:44).

“Barangsiapa ingin menjadi besar di antara kamu, hendaklah ia menjadi pelayanmu” (Mk 10:43).

“Carilah dahulu kerajaan Allah dan kebenaran-Nya, maka semuanya itu akan ditambahkan kepada-Mu” (Mt 6:33).

Pesan-pesan Yesus ini sungguh mencabar kita sebab ianya telah memutarbalik semua nilai-nilai kehidupan yang biasa kita lakukan setiap hari. Namun pesan-pesan Yesus telah memberikan kita semangat, pedoman serta memberikan kita harapan dan kedamaian. Sekali kita mendengar-Nya, kita tidak akan melepaskan ‘kata-kata emas’ tersebut. Sebab Yesus pernah berkata, “Langit dan bumi akan berlalu, tetapi perkataan-Ku tidak akan berlalu” (Mk 13:31).

Menurut Kitab Suci, pada hari penghakiman terakhir nanti, kita akan diadili dengan soalan: “Apa yang telah engkau lakukan terhadap sesamamu yang memerlukan?” (Baca Mt 25:32 dst).

Adalah konon kisah seorang pemuda menderita di api pencucian. Siang dan malam dia berteriak-teriak memohon kepada Allah Bapa agar dia dibebaskan dari tempat yang sangat mengerikan itu. Allah mendengarkan permohonannya itu dan bertanya pada para malaikat apa kebaikan-kebaikan yang pernah dilakukan orang muda itu sewaktu hidupnya di dunia agar boleh dipertimbangkan untuk mengabulkan permohonannya. Seorang malaikat melihat biodata pemuda tersebut melalui komputer dan melapurkannya kepada Allah Bapa bahawa orang muda tersebut hanya sekali memberi beberapa ikat buah pinang kepada seorang ibu tua. “Baiklah,” kata Allah, “Buatlah rentaian tali daripada pemberiannya itu dan hulurkan kepadanya”. Lalu sang malaikat melakukan apa yang diarahkan oleh Allah Bapa kepadanya.

Sementara malaikat tersebut dengan hati-hati menghulurkan tali tersebut, orang muda menyambarnya dengan segera. Lalu malaikat mula menariknya ke atas. Apabila teman-temannya yang lain melihat, mereka semua bergegas menyambar kakinya bagaikan lintah. Apabila berada di pertengahan jalan menuju ke syurga, tali tersebut terputus sebab tidak dapat menampung berat sang pemuda tersebut dengan teman-temannya yang lain. Lalu mereka semua jatuh kembali ke api pencucian.

purgatoryPemuda yang malang tersebut tidak dapat menyelamatkan dirinya dan teman-temannya kerana dia hanya melakukan sedikit kebaikan semasa hidupnya. Persoalannya, bagaimana dengan diri kita sendiri? Apakah segala kebaikan dan tangung jawab sosial kita selama ini sudah mencukupi untuk menyelamatkan kita dari api neraka?

Pada penghujung kalender Gereja pada bulan ini, adalah baik kiranya kita berkerah diri untuk merenung dan melihat jauh ke dalam diri kita. Apakah selama ini saya terlalu sibuk dengan diri saya sendiri? Apakah saya memberi masa untuk Tuhan, keluarga dan sesama saya yang memerlukan? Apakah saya menyumbang sesuatu untuk perkembangan komuniti yang adil, penuh cinta kasih dan kedamaian. Ataukah saya menjadi penyebab segala penderitaan dan kesengsaraan kepada sesama saya?

Segala sesuatu yang kita lakukan sekarang mempunyai akibat yang kekal. Penghakiman sebenarnya hanyalah sebagai pengesahan Allah akan segala pilihan, keinginan atau perbuatan yang telah kita lakukan semasa hidup kita di dunia fana ini. Apa yang kita tanam sekarang akan kita tuai pula di masa akan datang. Tuhan berfirman, “Aku akan melakukan pembebasan kepadamu sesuai dengan hasil perbuatanmu” (Yer 21:14). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1          Apakah yang anda fahami maksud ‘akhir zaman?’ dalam Injil tadi?

2          Setiap perbuatan kita mempunyai akibat bagi kehidupan kita di masa akan datang. Apakah yang harus kita lakukan agar segala perlakuan kita masa kini mempunyai kesan baik bagi masa hadapan kita?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Buatlah suatu rancangan untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk sesama yang bermula dari keluarga anda sendiri. Sesuatu yang terbaik itu bukan hanya dari segi kebendaan sahaja, tetapi juga sikap dan cinta kasih kita terhadap sesama. Dalam melaksanakan itu semua, ingatlah seakan-akan esok tidak ada lagi bagi anda…

MEMBERI DENGAN SUKACITA

wang“Wang adalah akar kepada semua kejahatan,” demikian ungkapan yang sering kita dengar apabila orang mulai memperkatakan tentang wang. Maka tidak hairanlah ramai umat katolik berpendapat bahawa wang adalah suatu topik yang seharusnya tidak dimasukkan ke dalam khotbah mingguan, kerana merasakan bahawa ianya tidak mempunyai nilai kerohanian dan tidak layak dihubungkaitkan dengan pujian dan penyembahan. Ada juga yang menyatakan bahawa salah satu sebab mengapa orang tidak mahu datang ke gereja disebabkan oleh isu wang. Namun berdasarkan Injil hari ini, nampaknya Yesus tidak melihat adanya pertentangan di antara, “Menghadapi peti persembahan dan memperhatikan bagaimana orang banyak memasukkan wang ke dalam peti itu” (ay 41), dengan mewartakan Kerajaan Allah.

Lagi pun, sekiranya agama mahu memperkatakan tentang keperluan kita, harapan dan segala kerisauan kita, maka kita perlu bercakap tentang perlunya wang yang sebenarnya inti daripada segala masalah kehidupan kita. “Berapakah harganya…?” adalah ungkapan yang selalu bermain-main di kepala dan di bibir kita setiap hari. Saya pasti para paderi dan tentunya uskup kita pun mengalami betapa beratnya beban yang dipikul oleh mereka dalam mentadbir Gereja dan keuskupan kita.

Menurut Injil hari ini, terdapat dua kelas orang yang memberi derma wang kepada gereja. Orang-orang kelas pertama adalah orang-orang kaya daripada golongan “ahli-ahli Taurat” yang menurut Yesus, “Suka duduk di tempat terdepan di rumah ibadat dan di tempat dalam perjamuan, yang menelan rumah janda-janda, sedang mereka mengelebui mata orang dengan doa yang panjang-panjang” (ay 38-40).

poorOrang-orang kelas kedua adalah orang-orang miskin yang diwakili oleh janda miskin tersebut. Sementara Yesus duduk menghadapi peti persembahan, Yesus melihat orang-orang kaya memasukkan wang yang banyak ke dalam peti persembahan sedangkan janda miskin tersebut memasukkan hanya “dua peser iaitu iaitu satu duit” (ay 42). Yesus memuji janda tersebut kerana telah mempersembahkan semua wang miliknya sedangkan orang-orang kaya tersebut hanya memberi dari kelimpahannya.

Orang-orang Saduki yang menelan rumah janda-janda dan janda-janda miskin yang diperalatkan oleh orang-orang Saduki itu, mewakili dua kelas orang yang terdapat di dalam masyarakat kita. Anehnya pula, orang-orang kelas pertama yang seharusnya menjaga orang-orang kelas kedua, malah “harapkan pagar, pagar makan padi.” Orang kelas kedua, iaitu orang-orang kebiasaan, miskin bagaikan ayam, “Kais pagi makan pagi,” malah berbuat banyak untuk sesamanya dan mendapat pujian daripada Allah kerana dengan tulus ikhlas memberi derma segala apa yang mereka miliki.

Di dalam kehidupan harian kita, kita tidak terlalu sukar menemukan kedua-dua golongan orang tersebut. Seperti orang-orang Saduki yang suka menyalahgunakan kuasa, kita dapat menemukan orang-orang seperti segelintir pegawai polis, (maaf ini contoh sahaja) yang seharusnya penegak hukum, tetapi mereka sendiri melangar hak-hak asasi manusia. Para pemilik dan pengurus bank yang seharusnya mengurus dan menjaga wang para penabung, malah mereka sendiri terlibat di dalam pelbagai komplot pengurusan kewangan secara haram yang melibatkan wang para penabung. Demikian juga dengan para ahli politik, para pemungut hasil dan pelbagai cukai. Mereka seringkali menganggu, menyerbu dan memberi tekanan bukan memberi bantuan, nasihat atau memberi pilihan yang lain. Memang masih banyak lagi penyalahgunaan kuasa di luar sana, namun apa kurangnya di dalam Gereja kita sendiri malah di dalam keluarga.

Orang kelas kedua diwakili oleh janda miskin tersebut. Merekalah yang mengalami pelbagai keadaan ketidakadilan, tekanan dan gangguan yang tidak seharusnya terjadi pada mereka. Seharusnya mereka mempunyai sebab untuk marah kepada orang-orang golongan kelas pertama. Namun mereka melakukan juga yang terbaik dan terus bermurah hati terhadap Tuhan dan sesamanya walaupun mengalami pelbagai tekanan daripada golongan kelas pertama. Mereka dapat bersikap demikian dengan penuh keikhlasan disebabkan mereka telah menemukan jaminan keselamatan dan kedamaian hati.

Menurut hemat saya, Injil hari ini bukanlah mahu mempermalukan orang-orang kaya untuk menderma lebih banyak kepada Gereja dan badan-badan amal, tetapi sebagai suatu penggilan bagi kita semua untuk bersikap lebih dermawan. Memang ada banyak kisah yang melucukan tentang orang-orang kaya dalam hal memberi derma ini, contohnya cerita berikut ini.

Adalah konon semasa diadakan makan amal di sebuah dewan gereja, paderi paroki merayu agar umat menderma dengan murah hati untuk tabung pembenaan gereja. Ada seorang kaya dengan penuh bergaya tampil kehadapan sambil mengibarkan wang kertas, lalu memekik, “RM100,00.!” Pada saat itu juga terjadi gempa bumi lalu sekeping siling jatuh hampir menghempap orang kaya tersebut. Lalu dalam keadaan penik dia memekik sekali lagi, “Saya tambah RM100,00 lagi…!” Kemudian kedengaran suatu suara di belakang, “Tuhan…jatuhkan satu siling lagi ke arahnya…!”

donationMoral daripada kisah lucu itu tadi adalah supaya kita jangan menunggu sampai ada sesuatu yang luar biasa terjadi pada diri kita, barulah kita mahu memberi derma pula.

Setiap hari kita dipanggil untuk membuat pilihan. Samada kita berpihak pada orang Saduki itu atau pada janda miskin tersebut. Memang kita tidak boleh bersikap berkecuali dalam hal ini sebab Yesus telah memberi pilihan-Nya yang jelas. Jika kita berpihak pada janda miskin tersebut, maka kita akan berpihak pada Tuhan.

Maka, apapun kedudukan kita masing-masing ketika ini, setiap kita seharusnya memberikan persembahan kita. Ianya akan lebih bermakna lagi jika pemberian kita itu lahir dari semangat yang tulus ikhlas sebab “Allah mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2Kor 9:7). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1       Apakah inti ajaran Yesus di dalam hal memberi atau bersedekah?

2      Apakah yang anda fahami ajaran Yesus ini: “Jika engkau memberi sedekah, janganlah diketahui tangan kirimu apa yang diperbuat tangan kananmu” (Mat.6:3)?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Renungkanlah, apakah pemberian kita selama ini sekadar untuk mendapatkan pujian. Apakah kita memberi hanya dari kelebihan kita sahaja. Malah dengan marah-marah pula? Berilah sesuatu yang betul-betul ikhlas dari hati anda kepada orang-orang yang sungguh memerlukannya.