SEMUANYA BERMULA DARI KELUARGA

Renungan Pesta Keluarga Kudus

1Sam.1:20-22,24-28;     1Yoh. 3:1-2, 21-24;     Luk. 2:41-52

 

brokenBerdasarkan kajian dari seluruh dunia, hampir 50% dari pernikahan di zaman ini berakhir dengan perceraian, meninggalkan pasangan yang sakit hati dan anak-anak yang kehilangan pegangan. Malah pernah suatu ketika dahulu ada lapuran kajian di negara kita sendiri mengatakan bahawa satu daripada tujuh pasangan perkahwinan berakhir dengan perceraian.

Jangan terjadi ini kepada anda, apapun status anda. Sama ada pernikahan anda sedang bergoncang atau baik-baik sahaja atau sekalipun anda belum berkahwin. Berikut ini adalah beberapa petua yang berasal dari Tuhan sendiri yang terbukti berkesan untuk membantu supaya perkahwinan anda bahagia dan tetap saling setia:

1. Bentuklah rumahtangga anda sendiri (Kej 2:24).

2. Kekalkan kemesraan seperti semasa bercinta dahulu (1Pet 4:8).

3. Selalu ingat bahawa Tuhanlah yang mempersatukan anda dalam perkahwinan (Mat 19:5-6,26).

4. Jagalah hati anda, jangan biarkan pancaindera, nafsu dan emosi menjerat anda (Ef 4:26, Yak 5:16, Fil 3:13, Ef 4:32).

5. Jadikah Tuhan Yesus sebagai pusat rumahtangga anda (Maz 127:1, Ams 3:6. Fil 4:7).

6. Berdoalah bersama-sama (Mat 26:41-, Yak 1:5).

7. Sejak awal, sepakatilah dengan pasangan anda bahawa bercerai bukanlah suatu

keputusan yang baik (Mat 19:6,9, Rom 7:2).

8. Usahakan supaya rumah anda hanya dihuni oleh keluarga anda sahaja (Ams 6:24-29, Ams 31:11-12, Mat 2:14)..

9. Tuhan memberikah piawaian kasih. Maka usahakanlah agar anda mencapainya (1Kor 3:4-7).

10. Ingatlah bahawa kritikan dan keluhan selalu menghancurkan kasih (Kol 3:19, Ams 21:19, Ams 27:15, 1Kor 13:4-7).

11. Jangan terlalu banyak melakukan segala sesuatu hal, bersikap sederhanalah dalam segala hal (1Kor 9:27,25, 1Kor 13:5, 1Kor 10:31, 2Tes 3:10, Ibr 13:4).

12. Hargai hak-hak peribadi satu sama lain (1Kor 13:4-7, Rom 12:10).

13. Bertanggungjawab, kemas, bersih dan bersahaja (2Tim 2:9. Ams 31:13,15,27, Yes 1:16, 1Kor 14:40, 1Tim 5:8, Ams 21:25).

14. Jangan suka menggunakan kata-kata yang kesat. Perbanyakkan kata-kata yang sopan dan ramah mesra (Ams 15:1, Pkh 9:9 1Kor 13:11).

15. Bijaksana dalam hal kewangan (1Kor 13:4-5, 2Kor 9:7).

16. Biasakan berbincang dan minta pendapat daripada pasangan anda (Ams 26:12, Ams 15:32, Ef 5:22-24).

17. Jangan pergi tidur di malam atau di siang hari dengan perasaan marah pada pasangan  anda (Ef 4:26, Yak 5:16, Fil 3:13, Ef 4:32).

Betapapun hebat kejayaan seseorang dalam kerjayanya, namun ia tidak setanding dengan kejayaan individu yang hidup bahagia dengan keluarganya. Sebab bukankah panggilan yang utama bagi yang sudah berkahwin itu adalah untuk keluarganya?

Memang tidak dinafikan kita sekarang berada di tengah-tengah budaya berperang dan sasaran utama dalam budaya tersebut adalah keluarga. Ianya sedang dipecahbelahkan dan dibinasakan oleh budaya moden yang negetif. Perubahan hidup akan terjadi apabila tabiat berubah. Maka mudah-mudahan petua tersebut di atas dapat menjadi rujukan kita setiap hari:

christSegala petua perkahwinan ini pun tidak akan berkesan jika hidup pasangan suami isteri tidak berpusat pada Kristus. Maka, “Hendaknya damai sejahtera Kristus memerintah dalam hatimu, kerana untuk itulah kamu telah dipanggil menjadi satu tubuh” (Kol 3:15).

Kedamaian sejahtera Kristus ini dapat diamalkan dalam pelbagai cara sesuai dengan perkembangan sesebuah keluarga. Namun pengalaman-pengalaman berikut ini mungkin boleh dipertimbangkan.

Wujudkan budaya keluarga. Salah satu cara adalah makan malam bersama sebagai satu keluarga. Pejamkan TV dan telepon. Seandainya tidak dapat makan malam bersama walau sekali dalam seminggu maka pasti ada masalah. Apakah rumah anda itu sebagai rumah atau hanya sebagai hotel di mana orang tidak dikenali datang dan pergi?

Sebaiknya doa makan dipimpin secara bergilir-gilir, doa yang singkat, mudah, dengan sungguh-sungguh dan keluar dari hati dengan spontan.

Cara lain lagi untuk mewujudkan budaya keluarga adalah dengan membuat hari minggu sebagai hari cuti dan melaburkannya dalam satu konsep yang disebut sebagai bebas tanpa kerunsingan dan tidak dikejar masa untuk bersama aktiviti keluarga. Sebab dengan berbuat demikian kehidupan suami isteri dan anak-anak akan lebih mesra sehingga segalanya kelihatan dalam bentuk perspektif yang jelas.

Kembangkan semangat melayani. Pengalaman mengajarkan kita bahawa mereka yang gembira adalah mereka yang membuat sesuatu yang berbeza dalam diri orang lain. Sebab apabila kita mempertaruhkan diri kita demi orang lain, maka kita akan mendapat kepuasan dan kegembiraan yang sungguh mendalam. Dalam hal ini anak-anak hendaknya dibimbing untuk membimbing ke arah Gereja, keluarga dan komuniti yang baik.

Yesus pernah berkata: “Siapakah ibu-Ku dan siapa saudara-saudara-Ku?” (Mk 3:33) Dan dijawabnya sendiri: “Barangsiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara-Ku laki-laki, dialah saudara-Ku perempuan, dialah ibu-Ku” (ay.35). Kita menjadi sebahagian daripada keluarga Allah di dalam keluarga kita di dunia ini jika kita setia pada panggilan hidup berkeluarga iaitu setia terhadap kehendak Allah seperti yang dilakukan oleh keluarga di Nazaret. Perkara inilah yang merupakan asas yang mempersatukan keluarga dan suami isteri agar tidak termasuk dalam statistik perceraian di negara kita.

francisMenurut Paus Francis, “Tidak ada keluarga yang sempurna, maka sikap mengampuni di dalam keluarga itu adalah merupakan sesuatu yang sangat penting. Tanpa pengampunan keluarga akan menjadi sakit.” Semoga kita saling terus belajar untuk mengampuni, bukan kerana mereka itu baik tetapi andalah yang baik. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1   Bagaimanakah kita dapat membangun keluarga kristian yang komited dan efektif di dalam kerajaan-Nya?

2      Setujukan anda bahawa keluarga yang beroda bersama itu akan sentiasa bersama? Mengapa?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Buatlah pertemuan dengan adik beradik untuk merancang suatu perayaan Misa Ksyukuran bagi ibu bapa. Baik juga kita semua adik beradik pulang ke rumah ibu bapa bersama-sama dengan anak isteri untuk merayakan hari kesyukuran tersebut. Lakukan perkara ini sekerap yang mungkin.

TUHAN SENTIASA BERSAMA KITA

Renungan Perayaan Pagi Krismas

Yes. 57:7-10;     Ibr.1:1-6;     Yoh. 1:1-5.9-14

 

alone 1Pesta Krismas seharusnya dirayakan dengan penuh keriangan. Tetapi kita jangan lupa ramai juga merasa sedih dan kesepian seperti kisah benar seorang anak ini.

Suatu ketika menjelang hari Krismas, para katekis di sebuah paroki mengadakan pertandingan melukis bagi anak-anak peringkat kanak-kanak. Lukisan tersebut berkisar tentang kelahiran Yesus di palungan. Sesudah lukisan tersebut selesai, masing-masing anak maju ke depan teman-temannya untuk menjelaskan lukisannya sebelum di pamerkan untuk tatapan umum.

Kesemua murid yang tampil ke hadapan mendapat sorakan dan pujian daripada katekis dan anak-anak yang lain. Namun ada seorang anak yang agak pendiam tidak berganjak dari tempat duduknya. Dia merasa malu nanti ditertawakan oleh teman-temannya yang lain sebab lukisannya sangat berbeza daripada lukisan teman-temannya.

Setelah dipujuk oleh katekis barulah anak tersebut maju ke hadapan dan perlahan-lahan memperlihatkan hasil lukisannya sambil menutupi mukanya dengan kertas lukisan tersebut. Pada saat itu juga semua anak-anak yang lain mentertawakan lukisannya kerana melukis dua bayi terbaring di atas palungan.

Katekis menenangkan keadaan dan bertanya kepada anak tersebut mengapa dia melukis dua bayi di dalam palungan tersebut. Anak tersebut hanya mampu berbisik pada katekis, “Ini Yesus dan yang ini saya!”

faceRupa-rupanya anak tersebut adalah anak yatim piatu yang sungguh merasa kesepian dan ingin ditemani oleh Yesus. Gambar hasil lukisan anak tersebut sungguh menyayat hati para umat sehingga terjual dengan harga yang sangat tinggi.

Di zaman kita yang serba canggih dalam bidang telekomunikasi ini pun sebenarnya kita tidak jauh berbeza dengan anak itu tadi. Semakin canggih alat komunikasi kita, namun kenyataannya perhubungan kita antara satu dengan yang lain semakin jauh pula. Lihatlah di tempat-tempat umum malah di rumah kita sendiri, walaupun duduk bersebelahan, kita lebih sibuk bercakap dengan orang yang nun jauh di sana melalu telepon bimbit kita yang serba canggih dan susah dilepaskan itu. Maka tidak hairanlah orang zaman sekarang di kelilingi dengan pelbagai alat-alat yang serba canggih yang kesemuanya atas nama komunikasi yang lebih berkesan. Tetapi nyatanya orang masih tetap merasa kesepian, sementara alat-alat canggih tersebut merupakan satu tanda dia memerlukan seseorang sebagai penghibur kesepiannya.

Pada hari Krismas yang mulia ini, kita sebenarnya tidak kesepian. Kita tidak perlu terlalu bergantung pada alat-alat komunikasi yang terlalu canggih untuk menghibur hati kita yang serba sepi ini. Perayaan Krismas ini adalah perayaan Allah yang sudah menjadi manusia di dalam peribadi Yesus. Allah yang mengalami sendiri segala pengalaman manusia baik yang gembira mahupun yang sungguh menyedihkan.

Kelahiran Yesus sudah diramalkan ribuan tahun yang lalu oleh nabi Yesaya, “Sesungguhnya, seorang perempuan muda mengandung dan akan melahirkan seorang anak laki-laki, dan ia akan menamakan Dia Imanuel” (Yes 7:14). Emanuel, bererti Allah berserta kita. Kedatangan Allah ke dunia ini pun bukan serba besar-besaran tetapi sangat sederhana malah ianya miskin sehingga tidak dikenali oleh orang ramai. Sungguh Dia “Telah menjadi manusia, dan diam di antara kita” (Yoh 1:14).

immanuel

Sungguh menyedihkan, Dia yang sudah diramal kedatangan-Nya malah ditolak oleh mereka yang seharusnya mengetahui kedatangan-Nya. Kaum rohaniwan dan ahli-ahli kitab suci yang sebangsa dengan-Nya, tidak mempedulikan kelahiran-Nya, malah mahu dibunuh pula oleh pihak pemerintah pada waktu itu.

Pada hari Krismas ini, sikap orang-orang yang menolak Yesus itu boleh saja menyelinap masuk ke dalam diri kita jika kita tidak mahu menumbuhkan dua sikap berikut ini ke dalam hidup harian kita.

  1. Kesedaran bahawa Allah itu sentiasa bersama kita baik dalam keadaan suka
    mahupun duka.
  2. Kesedaran bahawa melalui kelahiran Yesus, Allah menunjukkan rasa setiakawan
    kepada kita. Maka kita perlu menauladani kesetiakawan Allah itu dengan sesama kita.

 Sementara Maria dan Yosef mencari rumah penginapan, konon seorang malaikat mengadakan mesyuarat dengan semua binatang, untuk memilih salah satu daripada mereka membantu Keluraga Kudus itu nanti. Sang Singa berkata: “Hanya raja bintang yang layak. Sesiapa yang mengganggu bayi Yesus, akan saya robek tubuhnya!” “Ah, kamu terlalu ganas,” kata malaikat kepadanya. Musang pula berkata, “Saya jamin bayi Yesus mendapatkan madu dan saya akan mencuri ayam setiap hari untuk Ibu Maria.” “Oh, kamu terlalu licik,” kata malaikat kepadanya. Burung Merak pula mempamirkan bulunya: “Saya akan menghiasi kandang tempat lahir bayi Yesus lebih cantik daripada bait Allah,” “Kamu terlalu sombong” kata Malaikat.

Setelah banyak binatang menawarkan diri namun tidak ada satu pun yang dipilih oleh malaikat itu. Lalu dia melihat seekor Sapi dan Keldai di ladang sedang bekerja dengan petani. “Apa yang boleh kamu lakukan untuk menjaga Keluarga Kudus itu?” kata malaikat. “Tiada”, jawab Keldai sambil menurunkan kedua telinganya yang panjang. “Kami tidak pernah belajar apa pun kecuali KERENDAHAN HATI dan KESABARAN. Walaupun kami sudah cuba belajar sesuatu yang lain, namun kami hanya mendapat lebih banyak sebatan.”

Kemudian Sapi menambah dengan malu-malu, “Mungkin kami hanya boleh membantu dalam hal yang remeh temeh, misalnya menghalau lalat dengan jalan terus menerus menghayunkan ekor dan menggoyang-goyangkan telinga kami.”

“Oh, oklah!” kata malaikat itu, “Kamu berdua saya pilih untuk menjaga Keluarga Kudus itu nanti.”

keluargaKesedaran tentang Allah yang sentiasa bersama kita dan setiakawan dengan kita, sungguh memerlukan sikap yang tidak sombong, tidak licik, tidak ganas tetapi sikap kerendahan hati, sabar, murah hati, memahami, kasih – kesemua ini merupakan hal-hal yang bersifat syurgawi yang membuat pesta Krismas kita sungguh bererti bagi hidup kita kerana menyedari: “Firman itu telah menjadi manusia dan diam di antara kita” (Yoh 1:14). (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD:

  1. Apakah yang anda faham dengan kata-kata ini: “Firman itu telah menjadi manusia dan diam di antara kita” (Yoh 1:14)?
  2. Bagi anda, apakah makna perayaan Krismas bagi hidup anda tahun ini?

Cadangan aktiviti minggu ini:

Ucapkan selamat hari Krismas kepada semua teman-teman jauh dan dekat melalui SMS, Facebook, tweeter, email, radio FM untuk mengeratkan persaudaraan dan saling menyedarkan bahawa Allah itu maha pengasih dan Dia sentiasa bersama kita setiap waktu.

PESAN NATAL

Rev. Fathers, Religius Brother dan Sister, Para Katekis, MPP/MPM, KWK, KBK, Komuniti, Saudara-saudari yang saya kasihi dalam Kristus.

IMG-20151224-WA0014Syukur dan puji Tuhan atas bimbingan dan perlindungan-Nya kita dapat Berjalan dalam Yesus Kristus sepanjang tahun 2015. Relasi yang kita bangun dengan peribadi Yesus sudah tentu mendorong kita menjalani hidup kita sehari-hari dengan sikap Yakin (Mat 28:20), Komited (Luk 9:23) dan Rendah Hati (Yoh 13:34-35).

Kini kita dengan Yakin mahu melangkah maju memasuki tahun 2016, ulangtahun ke-23 bagi kita Umat Allah Keuskupan Keningau. Tema Pastoral yang kita gunakan adalah berdasarkan Keluarga. Tahun 2015, “Keluarga dan Kanak-Kanak”. Tahun 2016, “Keluarga dan Belia”.

Semoga tema ini mendorong para belia kita untuk belajar mahu berpusat kepada hidup Kristus kerana Dialah Jalan, Kebenaran dan Hidup (Yoh 14:6). Kita bersyukur dan berbangga kerana Tahun Kanak-Kanak telah menyedarkan kita bagaimana responsif dan berpotensinya anak-anak kita jika mereka diberi kesempatan mengenal dan mengasihi Tuhan.

Sepanjang Tahun 2016 ini adalah Tahun Suci Belas Kasihan. Sama-samalah kita menyambut tahun Suci ini dengan penuh keyakinan bahawa Allah yang kita kenal dan alami adalah Allah yang sentiasa mahu berkomunikasi (Ibr 1:1-2), mahu Mengasihi dan Menyelamatkan kita dari perhambaan dosa (Yoh 3:16) dan mahu menyertai dan tinggal bersama kita (Mat 1:23; Yoh 1:14). Diharap agar Tahun Suci Berbelas Kasihan ini mendorong kita mahu hidup sentiasa berbelaskasihan seperti Bapa di syurga terhadap sesama manusia dan alam ciptaan Tuhan (Luk 6:36).

Tuhan Kristus yang kita rayakan pada Krismas ini menerangi perjalanan hidup dan iman kita sepanjang tahun 2016.

Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2016.

 

+ Bishop Datuk Cornelius Piong

JANGAN TAKUT TUHAN BESERTA KITA

Renungan Perayaan Malam Krismas

Bc.1. Yes.9:1-6            ;     Bc.2. Tit.2:11-14;     Bc.3. Luk. 2:1-14

 

ketakutanPerasaan takut merupakan cabaran hidup kita sepanjang masa. Kita takut gagal, kita takut tidak diterima oleh sesama, kita takut masa depan yang tidak menentu dan tentu sekali kita takut mati. Tetapi pada malam ini kita disuntik dengan semangat berani. Sebab salah satu kunci keajaiban krismas adalah seruan, “Jangan takut,” yang diucapkan oleh malaikat kepada para gembala. “Jangan takut, sebab sesungguhnya aku memberitakan kepadamu kesukaan besar untuk seluruh bangsa: Hari ini telah lahir bagimu Juruselamat, iaitu Kristus, Tuhan, di Kota Daud” (Lk 2:10-11).

Perkataan ‘jangan takut,” juga pernah diucapkan oleh malaikat kepada Maria apabila maliakat tersebut menyampaikan berita bahawa dia akan menjadi bunda Yesus. Demikian juga kepada Yusuf, perkataan yang sama telah diucapkan oleh malaikat agar Yusuf menerima Maria sebagai isterinya.

birth

Pesan Tuhan pada hari ini jelas mahu agar kita semua, “jangan takut.” Sebab kemungkinan ketika ini kita menghadapi masalah yang besar; kesihatan tidak baik, perhubungan dengan sesama sudah renggang, ekonomi merosot, cita-cita tidak tercapai, namun pesan krismas untuk kita semua tetap, “Jangan takut, aku memberitakan kepadamu kesukaan besar, Juruselamat telah lahir bagimu.” Dengan kata lain, hendaknya kita tidak pernah berputus asa dan kehilangan semangat krismas, sebab hanya melalui kepercayaan kita terhadap Sang Juruselamat, kita dapat mengatasi segala kesusahan dan ketakutan.

Kemungkinan Yesus tidak akan membebaskan kita dari kematian, kerugian atau segala masalah duniawi, namun Dia akan sentiasa memberi kita semangat untuk menemukan hidup yang baru, kesempatan-kesempatan yang baru atau memasuki suatu hubungan yang baru dan yang menyegarkan.

Masih ada maksud lain di mana ungkapan, “Jangan takut” yang mungkin tersirat di dalam pesan krismas kepada kita semua. Bahawa kemungkinan ketika ini kita menghadapi suatu pilihan hidup yang harus kita putuskan. Mungkin itu dari segi pekerjaan, melanjutkan pelajaran atau suatu cabaran yang kita hadapi dalam keluarga, dalam kerja atau dalam komuniti di paroki kita. Atau juga suatu bidang baru yang tidak berani kita cuba terokai atau ceburi.

Sama seperti para gembala dalam Injil tadi, kita hendaknya menolak perasaan takut dan menaruh penuh kepercayaan kepada Tuhan untuk mengambil keputusan yang penting sehingga kita berani mengharungi apa sahaja cabaran hidup.

blessed

Tidak ada satupun di dunia ini perlu kita takuti. Sebab Tuhan telah berjanji untuk tetap menyertai kita dalam segala cabaran hidup kita yang nyata di setiap detik kehidupan kita. Selamat menyambut hari krismas 2015 dengan penuh semangat keberanian dan kepercayaan terhadap Tuhan. (JL)

Cadangan soalan refleksi peribadi dan perkongsian KKD.

1          Menurut anda apakah pesan malam Krismas kali ini yang sungguh mengesankan peribadi anda?

2          Apakah amalan hidup yang anda perolehi melalui pesan Krismas kali ini agar anda sentiasa berani menghadapi kehidupan yang mencabar ini?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Rancangankanlah bersama keluarga atau KKD untuk mengadakan acara bertukar-tukar hadiah Krismas sebagai peringatan akan hadiah Allah Bapa kepada kita di dalam diri Yesus.

GAYA HIDUP KITA MERUBAH SESAMA

Hari Minggu Adven Ke 4 (C)

Mik.5:1-4;      Ibr. 10:5-10;      Luk. 1:39-45

 

Ada sebuah lagenda tentang Ratu Sheba yang menceritakan bahwa pada suatu hari Ratu tersebut melawat Raja Sulaiman sambil membawa dua karangan bunga mawar sebagai hadiah. Satu karangan bunga asli sedangkan satu lagi adalah bunga tiruan. Menurut lagenda tersebut, Ratu Sheba mencabar Raja Sulaiman untuk menunjukkan kepadanya bunga mana yang asli dan mana yang tiruan.

ratu-sheba-2

Setelah memperhatikan bunga yang kelihatan sama saja itu, lalu Raja Sulaiman menyuruh orang membuka jendela istana seluas-luasnya dan membiarkan sekumpulan lebah masuk ke dalam istana yang dengan segera mengeremuni bunga-bunga mawar yang asli.

Demikianlah, Allah mengetahui perbezaan antara kebaktian yang tulus dan tidak tulus, pemberian yang ikhlas dan yang tidak ikhlas. Demikian juga Allah mengetahui motif kita yang sebenar apabila melawat sahabat handai atau saudara mara.

Di dalam Injil tadi terdapat suatu kisah lawatan yang sangat istimewa. Maria telah melawat Elizabet, saudaranya. Kisah ini biasanya ditekankan tentang keprihatinan Maria terhadap sesamanya yang memerlukan bantuannya.

maria dan elisabetPerjalanan dari kampung Maria ke tempat saudaranya, Elizabet memang sangat jauh. Menuru teman-teman yang pernah melawat ke tanah suci, tempat tersebut adalah suatu bukit yang curam dan lerengnya berceracak. Walaupun keadaan perjalanan yang tidak selesa, ditambah lagi dengan keadaannya yang sedang sarat mengandung, namun Maria tetap membuat lawatan tersebut dengan penuh keikhlasan. Inilah sikap seorang kristian yang sejati – prihatin dan komited terhadap keperluan sesamanya.

Saya melihat kisah lawatan Maria kepada Elizabet ini sebagai sebuah kisah tentang sifat kemanusiaan Maria. Dia ingin mengkongsikan kegembiraan dan misteri kehidupan yang baru di dalam dirinya kepada Elizabet, iaitu membawa Yesus di dalam kandungannya kepada Elizabet.

Melalui kisah lawatan tersebut, kita dapat merasakan bahawa setiap kita sebenarnya membawa Yesus di dalam diri kita masing-masing. Maka apabila kita melawat atau bertemu dengan sesama kita pada kesempatan-kesempatan yang memang disengajakan ataupun pada kesempatan-kesempatan yang tidak diduga, kita sebenarnya dapat memberi semangat, menguatkan dan mendorong segala usaha-usaha untuk menyembuhkan dan meringankan beban yang ditanggung oleh sesama kita.

Apabila kita melawat sahabat handai atau sanak saudara kita, kita harus membawa sikap kegembiraan kita yang ikhlas, yang sebenarnya merupakan hadiah atau buah tangan yang asli yang kita berikan kepada mereka.

Bermodelkan Maria, hendaknya kita melupakan keresahan sama ada kita selesa atau tidak bersama mereka, tetapi lebih-lebih menumpukan perhatian tentang bagaimana menyenangkan hati, membantu dan menyokong mereka yang kita lawati itu. Sebab Yesus sendiri pernah berkata, “Aku datang bukan untuk dilayani, melainkan untuk melayani” (Mk 10:45). Mungkinkah kata-kata Yesus ini diilhami oleh ibu-Nya sendiri, Maria?

Persoalannya sekarang, apakah kita ada masa untuk melawat terutama di masa Adven ini dan apakah kita ada rancangan untuk “balik kampung” pada hari Krismas nanti untuk melawat ibu bapa, sanak saudara, orang-orang yang terpinggir, saudara dan kawan-kawan kita yang terlantar di rumah sakit, di penjara dan di pusat-pusat pemulihan akhlak?

Ataukah kita hanya ada masa atau sengaja cari masa untuk melawat orang-orang yang kita rasa ada kepentingan seperti ‘bos’, majikan, rakan niaga dan pelanggan tetap?

Jerami-Dalam-Palungan

Beberapa ketika lagi kita akan merayakan bari kelahiran Yesus. Untuk itu marilah kita mencontohi Maria serta menjadikannya sebagai model kita apabila melawat handai taulan dan saudara mara kita. Bahawa keistimewaan Maria terletak pada kesederhanaannya dalam melaksanakan segala sesuatu di dalam nama Yesus, sehingga ramai umat manusia berubah kerana layanannya yang penuh dengan keikhlasan, keprihatinan, komited dan efektif itu.

Sebagai kesimpulan, rangkai kata berikut yang saya terima daripada pesanan ringkas daripada seorang sahabat mungkin boleh menjadi renungan kita selanjutnya: “Kehebatan seseorang itu bukan pada apa yang dia telah lakukan tetapi apa yang telah terjadi pada sesamanya kerana dia.” Perkara inilah yang telah dilakukan oleh Yesus sendiri, “Kerana kehendak-Nya inilah kita telah dikuduskan satu kali untuk selama-lamanya oleh persembahan tubuh Yesus Kristus” (Ibr 10:10). (JL)

 

Cadangan soalan refleksi dan perkongsian KKD.

1    Apakah hikmat yang anda perolehi melalui kisah Maria melawat Elizabet di dalam Injil tadi?

2   Menurut pengalaman anda apakah peranan dan pengaruh ibu anda dalam membentuk                   kepribadian dan keberadaan anda sekarang ini?

Cadangan aktiviti minggu ini.

Bersyukur dan hormatilah ibu anda, buatlah sesuatu yang terbaik untuk ibu anda minggu ini dan doakan tiga Salam Maria setiap hari khusus untuk ibu anda dan semua yang bergelar ibu agar dapat menauladani sikap Bonda Maria yang sungguh mulia itu.