KESATUAN PAROKI SOOK MENJAYAKAN PROGRAM CRFEB

SOOK : Pada 27 April 2019, Paroki Sook telah berjaya menganjurkan Charity Run 5 KM & Fun Easter Bazaar (CRFEB) iaitu suatu program pencarian dana bertujuan untuk membantu persiapan fizikal Paroki Sook selaku tuan rumah bagi Khemah Belia Keuskupan ke-5 (KBK5) pada bulan Ogos nanti.

KBK5 yang akan menampung seramai 1000 orang belia dari seluruh paroki dalam Keuskupan Keningau. Program ini telah diketuai oleh Pengerusi Belia Paroki Sook, Cik Leonie Leeyun dengan kerjasama antara LOT-KBK-5 dan Majlis Pastoral Paroki yang diketuai oleh Puan Dymnah Nirwanah Dominic.

Charity Run 5KM ini merupakan program pertama yang dianjurkan di daerah Sook dan mendapat banyak sambutan bukan sahaja dalam kalangan umat Kristian tapi juga bukan Kristian. Pihak  penganjur mengambil inisiatif dengan mempromosikan aktiviti ini secara aktif melalui e-flyers dalam media sosial dan mengiklankan aktiviti ini ke setiap zon dalam Paroki Sook.

Dengan kerjasama semua pihak, larian amal ini telah berjaya mencapai target peserta iaitu seramai 240 orang yang merangkumi 6 kategori iaitu lelaki dan perempuan junior, lelaki dan perempuan terbuka dan lelaki dan perempuan veteran.

Fr. Boniface memimpin dalam doa pembukaan
15 pelajar Sains Sukan SMK Sook membawa peserta dalam senamrobik

Gereja Roh Kudus Sook dibanjiri dengan peserta yang berbaju hijau seawal jam 6.00 pagi lagi. Program dimulakan dengan doa pembukaan yang dipimpin oleh Paderi Paroki Rev. Fr Boniface Kimsin. Dalam ucapannya, Fr Boniface menekankan tentang perlunya sokongan umat dalam apa juga program yang dijalankan dalam paroki. Pengerusi MPP, Puan Nirwanah juga mengatakan bahawa kejayaan program ini akan mencerminkan kekuatan nilai kerjasama dan kesatuan dikalangan umat Paroki Sook.

 Semua peserta larian telah dipimpin dalam senamrobik sebagai warm-up oleh pelajar Sains Sukan SMK Sook sebelum memulakan larian. Peserta kemudiannya dilepaskan pada jam 7.30 pagi mengikut kategori. Setiap kategori diiringi oleh pihak polis yang menjaga keselamatan peserta dan para marshall berbasikal daripada Kg. Malima Sook dengan kerjasama  Komuniti Rekreasi Dan Kebajikan Sook (KRKS).

Sementara itu, setiap zon pula menyediakan bazaar masing-masing dengan pelbagai jualan yang menarik. Fun Easter Bazaar ini melibatkan 12 Zon naungan Paroki Sook, KKD sekitar Gereja Roh Kudus Sook serta komiti dan kerasulan. Turut serta dalam bazaar ini adalah beberapa agensi luar untuk memeriahkan lagi suasana Easter Bazaar.

Selepas lima belas minit, peserta junior lelaki pertama akhirnya sampai diikuti oleh peserta lelaki terbuka dan seterusnya kategori-kategori yang lain masing-masing merebut kedudukan johan dan 20 pelari pertama yang berjaya menghabiskan larian 5km. Aktiviti Fun Easter Bazaar diteruskan sekitar jam 9.30 pagi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dan lawatan para paderi paroki, pengerusi MPP, para pengerusi zon dan pengerusi KBK ke setiap bazaar.

Pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya adalah fun fair, karaoke dan busking oleh KBK Paroki Sook dan aktiviti cabutan bib bertuah sebanyak 11 hamper dan 7 barangan elektrik. Program ini berakhir kira-kira pada jam 3.30 petang.

Pengerusi MPP berharap agar program seperti itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia amat membantu mengeratkan hubungan antara sesama, meningkatkan solidariti umat Paroki Sook agar terus bersatu dan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan bersama Yesus Kristus. LL

Sharing is caring!