MENEMPUH CABARAN IMAN MASA KINI BERBEKALKAN IDENTITI KRISTUS, MISI SELAKU MURIDNYA DAN KEPASTIAN AKAN DESTINASI HIDUP

KENINGAU : PUKAT KE 11, menggariskan Tema baru Keuskupan Keningau dengan tiga tonggak utama sebagai fokus kepada semua umat dalam mengorak langkah menempuh perjalanan iman 25 tahun akan datang. “Umat Allah Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus” (Yoh 17: 11-19).

Seramai lebih 150 orang perwakilan daripada setiap paroki naungan Keuskupan Keningau terdiri daripada para Paderi, Religius, ahli Tim Pastoral dan pemimpin  MPP/MPM hadir ke pertemuan penting ini yang diadakan sekali dalam tempoh 3 tahun. Menariknya PUKAT kali ini, mendatangkan Romo Dr. Ignatius Loyola Madya Utama SJ sebagai penceramah utama, membantu dalam merancang Visi dan Misi Keuskupan.

Romo Madya Utama merupakan pemegang Sarjana Muda dalam bidang Filsafat dan Theologi, lulusan daripada The Catholic University of America Washington D.C USA. Selain itu, beliau juga merupakan pengasas Gerakan Solidariti untuk Anak-Anak Miskin di Indonesia.

Dalam ucaptama YM Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong, melahirkan rasa syukurnya atas perlaksanaan Pra PUKAT yang telah berjaya dilaksanakan di peringkat akar umbi melibatkan semua pemimpin awam di setiap Paroki seluruh Keuskupan sebelum PUKAT ke 11 dilaksanakan pada 12 hingga 13 Oktober yang lalu. Semangat berjalan bersama dalam Yesus Kristus dijadikan bahan refleksi  supaya perancangan perjalanan bersama seterusnya dapat diatur dan dilaksanakan sesuai dengan aspirasi umat serta sesuai dengan keinginan dan doa Yesus sendiri, iaitu supaya pengikutNya hidup dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan. Kerana Allah adalah “Immanuel”, Dia sentiasa menyertai dan mendampingi umatNya walaupun  selalu terdorong mementingkan diri sendiri dan memilih memihak kepada bujukan kejahatan. Roh Kudus sentiasa menolong, mengajar dan mengingatkan tentang ajaranNya (Yoh 14: 26). Dengan kuasa dan kebijaksanaanNya, umat masih mampu kembali setia kepadaNya. Kerana Allah adalah kebenaran dan kekudusan melalui Inkarnasi (Yoh 1: 14) dan sabdaNya yang menjadi terang hidup manusia dan belajar hidup menyerupai Kristus. Kasih dan perlindungan Tuhan memampukan umat berjalan bersama selama 25 tahun sebagai sebuah keluarga besar Keuskupan Keningau.

“Kini selaku umatnya, perjalanan bersama dalam masa 25 tahun akan datang perlu diteruskan. Sudah tentu perjalanan bersama kali ini adalah lebih mencabar. Cita-cita kita umat Allah dalam berjalan bersama akan kita teruskan iaitu bersedia dibentuk menjadi Komuniti Umat Allah yang Komited dan Efektif melayani kerajaanNya. Maka itu, kita semua perlulah mengatur perjalanan hidup kita secara peribadi dalam keluarga dan komuniti supaya berpandu dan berlandaskan kepada Doa dan keinginan Yesus bagi kita pengikutNya dan murid-muridNya iaitu hidup dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan. Kita seharusnya berbangga dengan identiti kita, Komited dengan Misi dan yakin dengan Destinasi hidup kita,” tambahnya lagi,

Romo Madya Utama, dalam sesinya menekankan bahawa pentingnya gereja masa kini mulai memandang ke arah dimensi yang lebih luas. Tidak hanya melayani dalam lingkungan komuniti tetapi cabaran besar membawa Kerajaan Allah ke tengah-tengah masyarakat agar nama Tuhan dimuliakan oleh segenap masyarakat. Yesus sendiri datang untuk orang-orang lemah, berdosa, terpinggir dan miskin tanpa membeza-bezakan mereka. Beliau menekankan bahawa, perlunya perayaan Ekaristi dihayati secara sesungguhnya kerana darinya lahir semangat persekutuan, pewartaan dan Pelayanan yang akhirnya akan membentuk Kerajaan Allah.

Rev Fr David Gasikol dalam Assimilasi menyebutkan 3 perkara pokok dalam injil Mat 28: 16-20, di mana Yesus meyakinkan manusia tentang kuasaNya apabila Dia mengalahkan dosa dan maut, memberi para murid tanggungjawab (pergilah ke seluruh dunia dan wartakanlah Injil) dan janjiNya akan penyertaan kepada semua sampai akhir zaman. Pengorbanan masa dan tenaga dalam pelayanan pastinya tidak sia-sia kerana sungguh yakin bahawa Kristus menyertai. Jadikanlah pertemuan ini seperti pertemuan Yesus dengan murid-muridNya dan hari ini Yesus menyeru  untuk, “Pergi teruskan pelayanan kamu dan ketahuilah, Aku menyertai kamu sampai akhir zaman”.

Dalam sesi penggulungan oleh Msgr Gilbert Engan selaku ketua team Adhoc, beliau mengaris bawahi setiap cadangan dan hasil perbincangan kumpulan untuk di perbaiki di peringkat Pastoral dan akhirnya di dokumentasi serta dikomunikasikan kepada seluruh paroki dikeuskupan Keningau.

Rev. Fr. Francis Dakun dalam doa penutup mengakhiri PUKAT 11

Respon postif daripada semua perwakilan menunjukan keberhasilan PUKAT ke 11. Visi dan Misi yang jelas memungkinkan seluruh barisan pemimpin gereja melayani dengan lebih komited dan efektif. NANCY NELLY

Tim Ad Hoc PUKAT kali ke-11
Perwakilan PUKAT 11