MESYUARAT AGUNG INSTITUSI SEKULAR KOMUNITI BETANIA SESI 2018 -2023

KENINGAU: Mesyuarat Agung Institusi Sekular Komuniti Betania (ISKB) Sesi 2018 -2023 telah diadakan di Rumah Retret Keuskupan Tatal pada 9 Jun 2018. ISKB ini dianggotai seramai 20 orang ahli yang berkomitmen kekal dan sementara. Komuniti ini adalah kelompok anggota Gereja yang terdiri daripada lelaki dan wanita yang ingin dan memilih hidup bakti dan tunggal untuk Yesus.

Anggota ISKB

        Mesyuarat dimulakan dengan Perayaan Ekaristi bersempena dengan Pesta Hati Yesus yang Mahakudus pada 8 Jun 2018, yang dipimpin oleh Yang Mulia Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong.

        Dalam homilinya, Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong menyatakan bahawa hati melambangkan kasih dan Allah adalah cintakasih. Oleh itu dalam pelayanan, kita harus bersyukur dan menerima tanggapan kasih Allah terhadap kita. Bagi ISKB, ungkapan kasih kita kepada Allah diungkapkan melalui pelayanan dan pengabdian hidup kepada Tuhan dan sesama. Beliau juga berpesan bahawa cintakasih kita tidak akan pernah mencapai tahap sempurna kerana cintakasih kita harus diperbaharui setiap hari supaya sentiasa segar dan ada sukacita walaupun ada masanya kekecewaan timbul dalam pelayanan.

       Selepas Misa Kudus, Bapa Uskup Datuk Cornelius menyampaikan ucapan terima kasih atas pelayanan ISKB khususnya di Keuskupan Keningau dan berharap agar anggota-anggota ISKB terus bersemangat dan bersukacita dalam pelayanan di landasan yang benar dan menjadi saluran kasih Tuhan kepada sesama. Akhir sekali beliau berharap agar ISKB terus berjalan bersama dengan Yesus Kristus dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan.

                Mesyuarat Agung yang berlangsung menyaksikan pembubaran AJKT Sesi 2012 -2017 dan pemilihan AJKT Sesi 2018 – 2023. AJKT ISKB yang dilantik adalah seperti berikut:

Moderator                          :               Saudari Mary Tunsin

Pembantu Moderator    :               Saudari Rita Titing

Setiausaha                          :               Saudari Janet Leong

Penolong Setiausaha      :               Saudari Marianna Gerald

Kewangan                           :               Saudari Martha Banting & Saudari Anita Uliti

AJKT IKSB SESI 2018-2023

       Saudari Mary Tunsin kekal dilantik sebagai Moderator sejak 2012. Dalam ucapannya, Saudari Mary Tunsin mengucapkan terima kasih atas kerjasama semua ahli dan menyatakan dalam usia ISKB yang mencapai usia 21 tahun, adalah diharapkan ISKB semakin matang dalam melayani Tuhan dan sesama dan sungguh diingatkan agar menghidupi hidup bakti awam sebagai ungkapan kasih kepada Tuhan.

Rekreasi Rohani ISKB dan peninjau bersama dengan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong

       Mesyuarat diakhiri dengan jamuan tengahari dan disusuli dengan Rekreasi Rohani ISKB dan Peninjau ISKB bersama dengan Bapa Uskup Datuk Cornelius Piong pada 11 Jun 2018 bertempat di Kolam Rekreasi Kg Oloson, Melalap,Tenom. Janet Leong