PERAYAAN MISA SEMPENA TAHUN BARU CINA PAROKI KSFX

KENINGAU :  Setiap kali perayaan besar, umat Katolik akan meraikannya dengan penuh syukur ke atas pemberian Tuhan. Begitu juga dengan perayaan Tahun Baru Cina.

Pada 5  Februari 2019, perayaan Misa sempena Tahun Baru Cina yang disempurnakan oleh Rev. Fr. Joseph Gapitang telah diadakan di Katedral St. Francis Xavier. 

Kira-kira 500 orang umat memenuhi ruang katedral dengan memakai pakaian yang baharu dan sungguh ceria.

Misa Kudus dimulakan dengan pembakaran “hiong” yang merupakan tradisi etnik Tionghoa, di mana ianya membawa intensi untuk memperingati dan menghormati nenek moyang mereka.

“Kita sedia maklum bahawa zodiak adalah begitu unik sekali terdiri 12 jenis haiwan yang agak beza karakter iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam, anjing, dan babi. Tahun ini merupakan tahun babi mengikut kalender Cina.

Fr. Joseph dalam homilinya, manyatakan bahawa babi ialah sejenis haiwan tidak boleh berpisah kehidupan harian manusia. Sejak awal Masihi lagi, apabila manusia berada dalam masyarakat pertanian, pada masa itu manusia telah memelihara babi liar sehingga babi telah menjadi jinak. Dalam tulisan cina, rumah atau ‘jia’ merupakan gabungan atap rumah dengan ada babi sebagai binatang ternakan di bawah bumbung rumah itu. Jelas bahawa sudah beribu-ribu tahun sudah etnik Tionghoa memelihara babi di bawah rumah mereka. Tidak hairanlah dalam masakan orang cina, banyak masakan yang berasaskan daging babi.

Babi dikorbankan untuk menjadi hidangan yang memberi tenaga kepada manusia, maka manusia dapat teruskan kehidupan mereka. Pengorbanan  yang telah mendatangkan berkat. Sama seperti Yesus yang telah mengorbankan diri untuk menebus dosa-dosa manusia.

“Seperti dalam injil (Mrk 5:1-20) mengenai Yesus menyembuhkan seorang lelaki yang mengalami kerasukan. Yesus telah mengarahkan roh jahat yang tinggal dalam badan lelaki itu untuk memasuki sejumlah babi di lereng bukit. Kawanan babi yang kira-kira 2000 jumlahnya terjun dari tepi jurang lalu mati. Apabila penduduk kampung mendengar perkara tersebut, mereka ingin menghalau Yesus. Biarpun orang yang kerasukan itu sudah sembuh, namun penternak menanggung kerugian. Melalui injil ini,  banyak masa kita fokus pada apa yang kita telah hilang atau kerugian yang kita alami, tetapi sudah lupa akan diri kita yang telah dilepaskan daripada kongkongan kedendaman, kekayaan, keegoan, kesombongan, ketamakan dan sebagainya,” demikianlah homili Fr. Joseph.

Pelbagai persembahan telah dipersembahkan oleh para umat yang mempunyai maksud tersendiri.

 

Bunga melambangkan tiba masanya musim bunga, aroma dan warna-warni bunga membuatkan manusia dipenuhi dengan suka cita dan harapan. Simbolik kepada agar kehidupan sentiasa ada bunga baru, serta melepaskan aroma Yesus, dan menunjukkan cinta kasih Yesus kepada orang sekeliling.

Lilin melambangkan cahaya Kristus, membakar diri menerangi dan menjadikan lebih ramai orang hidup dalam cahaya Kristus.

Buah-buahan melambangkan tindakan konkrit, dalam kehidupan harian sentiasa membuahkan keinsafan dan pertobatan, membaharui kelakuan dan pertuturan, menjadikan umat insan yang telah dibaharui.

Kuih bakul, “nian gao” melambangkan peningkatan berterusan. Tahun yang baru ini, mendorong umat untuk sentiasa berusaha untuk meningkatkan iman dan semakin mendekati Tuhan.

Kuaci ialah satu pengharapan,  seperti bilangan kuaci yang banyak dijadikan inspirasi kepada umat,  semakin ramai dan sentiasa berkumpul bersama serta memuliakan nama Tuhan.

Wang melambangkan sokongan padu umat terhadap pembangunan gereja.

Kitab Suci merupakan sumber utama kita mengenali Yesus. Teguhkan iman dengan mendengar dan merenung firmanNya, serta mengikuti ajaran Kitab Suci dengan menghidupi kehidupan yang baru dan kudus.

Sakramen Mahakudus dan Anggur merupakan tubuh dan darah Kristus. Semoga tahun baru ini, umat rela persembahkan keseluruhannya dan mengutamakan kesatuan dengan Yesus Kristus.

Misa kudus diakhiri dengan upacara ucap selamat (tuan bai), iaitu sujud sembah kepada Tuhan dan ucap selamat kepada Fr. Joseph. Tidak lupa juga, umat saling mengucapkan selamat tahun baru sesama mereka. Persembahan tarian singa dan letupan mercun disusuli selepas lagu perutusan. Ahli Jawatan Kuasa Komuniti Cina mengjemput semua hadirin turut serta dalam jamuan ringan yang disediakan di kantin paroki.-Martin Mouk

Galeri Gambar Tahun Baru Cina 2019