PRA-PUKAT KE-11 TERAKHIR: PERINGKAT GABUNGAN TAMBUNAN

TOBOH, TAMBUNAN : “Umat Allah Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus” menjadi inti utama kepada Pra-PUKAT ke-11 di peringkat gabungan Paroki St. Theresa dan Paroki Holy Cross Toboh. Berlangsung pada 22 September lalu di Dewan Paroki Holy Cross Toboh.

Pra PUKAT ini merupakan perkumpulan yang terakhir diadakan sebelum kemuncak PUKAT yang akan berlangsung pada 12-13 Oktober nanti

Dihadiri seramai kira-kira 300 umat daripada kedua-dua Paroki ini sudah pastinya melahirkan banyak buah fikiran serta idea sebagai antara bekalan bagi kemuncak PUKAT Keuskupan.

Didahului dengan doa pembukaan oleh Msgr. Gilbert Engan, dengan iringan lagu “Roh Kudus Datanglah” bagi membawa perwakilan yang hadir di dalam mempersiapkan diri memohon kuasa Roh Kudus menaungi serta membimbing perjalanan program Pra-Pukat.

Dalam program Pra-Pukat pada kali ini, ucaptama daripada Yang Mulia Bapa Uskup telah disampaikan oleh Msgr. Gilbert Engan, disusuli dengan Sesi Orientasi yang disampaikan oleh saudara Fredoline Umis, ahli Tim Ad-Hoc Pra PUKAT. Beliau membawa para perwakilan mengimbau kembali perjalanan iman Keuskupan Keningau 25 tahun yang lalu sejak penubuhannya pada tahun 1993.

Seterusnya dalam sesi bengkel yang dikendalikan oleh saudara Roney Alfred, moderator daripada Tim Ad-Hoc . Berpandukan pada dua soalan yang dikemukakan, cukup mencabar para perwakilan untuk menilai, merenung serta mengimani perjalanan iman sepanjang 25 tahun lalu dan merancang kembali perjalanan pastoral Keuskupan bagi 25 tahun akan datang berpusatkan pada tema “Umat Allah Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.”

Semasa sesi pembentangan bengkel, antara isu-isu yang menarik diketengahkan oleh wakil setiap kumpulan adalah isu pergaulan umat dengan para paderi, meminimumkan minuman alkohol di setiap program dan aktiviti sama ada di peringkat KKD mahupun kalangan umat terutama sekali bagi golongan para belia  bagi menjaga dan memartabatkan lagi imej Gereja Katolik.

Turut dibincangkan usaha-usaha untuk menggalakkan anak-anak untuk mengikut program keagamaan, pembangunan rohani, pembentukan iman dan banyak lagi untuk diterapkan kepada kanak-kanak sejak dari kecil lagi.

Msgr. Gilbert mengungkapkan kesyukuran dan terima kasih kepada perwakilan kedua-dua Paroki di atas penglibatan serta komitmen yang begitu tinggi ditunjukkan. Melalui pandangan serta idea-idea yang diutarakan sepanjang sesi bengkel ini, jelas sekali memperlihatkan bahawa umat peduli, sayang dan cinta akan Keuskupan Keningau. Diharapkan pada kemuncak PUKAT ke-11 peringkat Keuskupan nanti, akan membawa umat-umat untuk terus teguh, utuh dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan iman kepada Yesus Kristus di zaman yang semakin mencabar kini, bukan sahaja membentuk wadah perjuangan bagi Keuskupan untuk 25 tahun akan datang malah untuk selama-lamanya.- KOMSOS HCT