SAMBUTAN UTK KE 26 PERINGKAT PAROKI MEMBAKUT

MEMBAKUT: Paroki St. Patrick Membakut telah merayakan Ulang Tahun Keuskupan Keningau kali yang ke 26 (UTK-26), Ulang Tahun Pentahbisan Menjadi Uskup bagi Bapa Uskup Rev. Datuk Cornelius Piong dan Perayaan Kaamatan Peringkat Paroki St.Patrick, Membakut pada 25 Mei 2019 yang lalu.

Perayaan ini telah diadakan di Gereja St. Mary Paung salah satu stasi luar bagi Paroki St. Patrick Membakut. Dihadiri lebih 300 orang umat sekitar paroki.

Bersempena dengan perayaan ini juga, Uskup bersama dengan Paderi Paroki St.Patrick, Rev. Fr. Benedict Daulis Runsab telah memberkati laluan Jalan Salib yang telah dibina di sekeliling kawasan Gereja St. Mary Paung

Pengerusi KUK St. Mary Paung, Sdra. Julius Maran berkata, “KUK St. Mary Paung amat berbesar hati dan berbangga kerana telah terpilih menjadi tuan rumah sambutan perayaan UTK-26.”

 Beliau juga berterima kasih kepada Uskup yang sudi datang melawat Gereja St. Mary yang jaraknya agak jauh dari gereja pusat. Beliau juga berterima kasih kepada semua pihak serta umat yang telah menyumbangkan tenaga, wang dan masa dalam mempersiapkan segala keperluan sambutan perayaan pada kali ini dan beliau juga meminta maaf diatas segala kekurangan yang timbul dan berharap agar semua umat dapat bergembira merayakan perayaan ini.

“Melalui perayaan UTK ini, umat bukan saja perlu bersyukur tetapi juga diajak dan diingatkan tentang peranan dan tanggungjawab sebagai umat dalam melaksanakan perancangan pastoral agar matlamat keuskupan iaitu mahu membentuk komuniti umat Allah yang komited dan efektif melayani KerajaanNya, dan dapat berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus dapat dilaksanakan.”Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP), Sdra. Samuel Kula Salimpah dalam ucapannya dan mengucapkan tahniah kepada Uskup yang menyambut ulang tahun pentahbisannya.

Beliau juga amat bersyukur kerana sambutan perayaan tersebut adalah ruang untuk merapatkan hubungan sesama sebagai satu keluarga besar Kristus, sambil mengekalkan identiti budaya tradisi masyarakat Kadazan Dusun dan mengucapkan tahniah kepada semua AJKT Pelaksana, tuan rumah perayaan dan semua umat yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan perayaan tersebut.

Paderi Paroki, Rev. Fr. Benedict Daulis Runsab pula berkata, selepas mendengar Firman Tuhan, semua umat perlu meneruskan usaha bersama agar mendapat keteguhan, dan pemantapan iman. Apabila wujud keinginan memantapkan iman, pasti ada juga keinginan untuk memajukan gereja. Khususnya di gereja St. Mary Paung, perkembangan iman umat yang menggalakkan. Itulah sebabnya ada keinginan untuk memperbaiki dan meluaskan bangunan gereja serta pembangunan fizikal yang lain.

Menurut Fr. Benedict lagi, walaupun kebanyakan pemimpin KUK, Komiti dan Kerasulan di Paroki St. Patrick Membakut adalah orang baru, itu tidak akan menghalang daripada melaksanakan perubahan yang diperlukan umat kerana pemimpin baru ini pasti akan mendapat bimbingan Roh Kudus melalui mesyuarat bersama umat dan pertemuan-pertemuan rohani.

Fr. Benedict kemudiannya mengumumkan Gereja KUK St. Thomas Moore Poring akan menjadi tuan rumah UTK-27 pada tahun 2020.

Uskup Cornelius Piong yang meraihkan ulang tahun pentahbisannya menjadi Uskup

“Dalam apa-apa perkara, berjalan bersama itu amat perlu. Oleh itu umat perlu fokus untuk menjadi umat Allah yang komited dan efektif. Ini memerlukan tanggungjawab setiap umat dan bukannya tanggungjawab beberapa pihak saja. Setiap umat perlu ada semangat kekitaan sebagaimana yang diajar oleh gereja melalui Konsili Vatikan-II.” Ujar Prelatus itu.

Bapa Uskup juga menekankan kepentingan umat untuk menyedari bahawa kesatuan dengan Yesus Kristus, pemantapan iman  dan tanggungjawab sosial adalah asas utama bagi gereja untuk berjalan bersama Yesus menuju kekudusan. Dengan menyedari peranan inilah, umat Allah dapat merealisasikan kerajaan Allah dalam masyarakat setempat.

Simbolik perasmian sambutan UTK-26 dan perayaan Kaamatan oleh Bapa Uskup dengan memalu gong  serta pemberkatan hasil tani.

Uskup memalu gong sebanyak tiga kali

Majlis kesyukuran diadakan di Balai Raya Kg. Paung sambil menyaksikan acara pemotongan kek perayaan, persembahan paluan gong serta persembahan pentas yang dipersembahkan oleh Komiti Kebudayaan Paroki St. Patrick Membakut serta belia dan umat dari KUK stasi luar paroki St. Patrick Membakut. Acara pentas ini juga diselang-selikan dengan cabutan tiket bertuah dimana dana terkumpul hasil jualan tiket bertuah ini akan digunakan untuk membina mini dewan terbuka gereja St. Mary Paung.

Acara pada hari tersebut berakhir pada jam 5 petang dengan doa penutup yang dipimpin oleh Rev. Fr. Benedict Daulis Runsab. KOMSOS St. Patrick Membakut.

Sharing is caring!

Leave a Reply